Friday, December 03, 2010

Cuti..\(^_^)/

Cuti Inter-semester

Hooray..hooray..hooray!! Alhamdulillah, akhirnya tinggal satu paper je lagi untuk kami, warga Diet Gen-5, tamatkan final exam. Agaknya sahabat-sahabat yang berbeza manhaj dan marhalah daripada kami masih punyai 2 atau 3 paper lagi untuk mereka ‘memerdekakan diri’. Hatiku berbunga riang. Timbul dilemma antara ingin meneruskan study ataupun bercanda-ria, mengemas barang-barang untuk dibawa pulang ke kampung halaman. Bukan apa, rasa rindu membuak-buak terhadap keluarga, terutamanya kepada ibu, ayah serta anak-anak buah. Hehe.. tapi disebabkan amanah yang digalas, perjuangan ini kan tetap diteruskan walau apa juapun godaan dan rintangan yang mendatang. Intuisiku mula berbisik, “Sabarlah, tinggal dua tiga hari saja lagi untuk kita akan bercuti.” Cuti bukan sekadar cuti inter-sem semata-mata. Bercutinya aku kali ini adalah bercuti daripada struggle study, bercuti daripada group study (GD), bercuti daripada task dan assignment yang diberi, bercuti daripada meeting-meeting society, bercuti daripada berprogram yang menjadikan diri busy serta bercuti daripada pelbagai responsibility dan liability yang lain lagi.


Namun, tidakkah terlintas di benak fikiran kita..ada apa dengan cuti?! Mengapa ramai orang yang sangat gemarkan cuti?! Kenapa kebanyakan daripada kita beriya-iya minta cuti..sehinggakan ada yang sanggup menipu disebabkan cuti?! Malahan, ada juga yang sanggup bermasam muka, bertikam lidah serta beradu tenaga semata-mata berebut cuti..Cuti nie sangat bernilai ke?! Atau ianya adalah suatu benda yang boleh dibawa ke lubang kubur?!


Ada Ke yang Tak Suka Cuti?!

Ada ke yang tak suka cuti? Tak suka berehat dari kesibukan, apa lagi keletihan..tak suka berpangku tangan dengan hanya kaki yang bergoyang..tak suka relax, dengan hanya duduk melepak.. Jawapannya..YA..tapi JAGHANG-JAGHANG atau KADANG-KADANG (bak kata Pak Belalang.hehe..). Sudah menjadi ghalib kehidupan, cuti dan kelapangan memang kesukaan dan keasyikan kepada manusia, kerana ianya sealiran dengan kehendak hawa nafsu di jiwa. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:


"Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka."

(An-Najm:23)

Cuti dan Dakwah

Sebagaimana insan-insan biasa yang lain, golongan yang diuar-uarkan memperjuangkan agama Allah, iaini mereka yang ingin mendaulatkan Islam sebagai kesyumulan kehidupan tidak juga terkecuali. Ada segelintir yang inginkan cuti rehat tatkala pengarahan yang diberikan terasa berat. Ada pula yang cuba-cuba untuk mengelak daripada tugas-tugas yang penting lagi mustahak. Jikalau menginfak, berusaha menginfak sesikit yang boleh, bukannya menginfak semampu yang boleh. Dan jikalau diberikan sesuatu tugas yang mudah, ringan serta tidak mengharapakan pengorbanan yang besar dan hasilnya mudah pula diperoleh, maka ramailah yang sanggup menurutinya. Firman Allah S.W.T:



"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta."

(At-Taubah :42)



Inilah yang menjadi api dalam sekam bagi diri kebanyakan da'i. Ramai yang dilihat ‘tersandung di pintu syurga’ tatkala kesenangan yang mudah diperolehi berada di depan mata. Tidak kurang juga yang futur tatkala da'wah menuntut pengorbanan yang tidak sedikit. Turut tidak dilupakan, yang gugur tatkala kehidupan yang senang terhidang untuk dijamah. Dan ramai pula yang terleka tatkala mendapat perjuangan yang santai sahaja.


Jadi, siapa aje yang tinggal untuk MELALUI KEHIDUPAN YANG SUSAH?! Siapa pula yang tinggal untuk MELAKUKAN PENGORBANAN YANG BESAR?! Siapa daripada kita yang tinggal untuk ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN?! Siapa aje yang tinggal untuk MENAPAKI JALAN YANG JAUH? Siapa pula yang tinggal untuk TERUS BER’AMAL TANPA MENGENAL ERTI SERIK DAN MUAL?! Rasanya cukuplah setakat ini untuk kita mencari dalil supaya didivertkan diri, sebaliknya rungkailah dalil agar terus mengfardhikan diri.


Lihatlah tarbiyyah dan da'wah baginda Rasulullah SAW. Nescaya ianya sudah cukup untuk mengajarkan kita erti perjuangan yang pasti menuntut pengorbanan yang bukan kepalang. Mari kita bersama semaikan kembali mutiara tarbiyyah baginda dan para sahabat dalam jiwa para da'ie hari ini. Agar kelak kita bukan hanya tinggal sebagai sejarah ketamadunan, sebaliknya sebagai pencipta sejarah kegemilangan. Janganlah kita menjadi golongan yang ‘digantikan’, tetapi jadilah kita golongan yang ‘menggantikan’.


Cuti dan ETP

Pernahkah anda dengar tentang ETP?! Rasanya, mesti pernah bukan (bagi mereka yang punyai sikap ‘aku pedulisme’ sahaja)?! ETP atau Pelan Transformasi Ekonomi yang dirangka kerajaan, bersempena dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu adalah bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara. Nampak brilliant lagi marvelous, bukan?! Tapi.. tahukah kalian semua apa strategi perancangan licik para pemerintah negara kita ini?!


Menurut laman web http://www.malaysiakini.com/, Malaysia bakal menjadi sebuah hab pusat hiburan malam bagi memangkin perkembangan industri percutian (atau dengan nama standardnya industri pelancongan) mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa. Semua hanya untuk memperkasakan sektor pelancongan atau percutian agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.


Jumlah pelaburan yang dijangkakan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan. Lebih mengejutkan lagi ETP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Maka ke sinilah wang rakyat hebat digunakan sebagai modal pertaruhan.



Langkah ini akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020. Pekerjaan yang jelas sudah terang lagi bersuluh ke arah mana panduannya kelak.



Bagi mencapai hasrat itu, proses peliberalisasian beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan. Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.



Inilah yang bakal terjadi dalam masyarakat kita. Kita semua sedia maklum kondisi masyarakat mutakhir ini. Pembunuhan yang kejam, pembuangan insan kecil yang tidak berdosa, perzinaan tidak mengenal siapa, penagihan dadah yang mengundang padah, pergaduhan dan perpecahan walaupun satu agama, dan banyak lagi kepekatan jahiliyyah yang terus berlaku bahkan terus melebarkan sayapnya.


Diri, Cuti dan Mati

Sanggupkah kita bercuti dalam ber’amal sedangkan kematian terus menerus mengintip dan memburu diri?! Peringatan Allah sampaikan kepada kita, yang seringkali diperingatkan dalam setiap khutbah jumaat:



"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan muslim."

(Al-Imran:102)


Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan berserah diri pada Allah. Jangan sampai kita mati dalam keadaan berserah diri pada dunia, pada kemaksiatan, pada nafsu serakah, pada kehidupan yang lalai, atau pada Tuhan selain dari Yang Maha Kuasa. Namun, bagaimana kita boleh pastikan bahawa waktu kematian kita akan berada dalam keadaan baik ‘amalnya?! Rasanya, anda semua tahu apa jawapannya. Firman Allah S.W.T:



"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya."

(AL-A'raf:39)



Bila saatnya tiba, tiada yang mampu menghalang. Ini merupakan peringatan kepada kita yang menunggu waktu dan ketika. Maka, kita tiada masa untuk bercuti dalam ber’amal. Jangan menyangka orang lain yang penuh dengan perlakuan dosa dan maksiat itu lebih hina daripada kita, kerana mungkin pengakhirannya.. dia sempat bertaubat pada Sang Maha Pencipta. Maka kesudahan mereka insya-Allah ‘bercahaya’. Dan jangan pula menyangka orang yang penuh dengan perlakuan ‘amal kebaikan sekarang akan berakhir dengan kesudahan yang menggembirakan. Jikalau mereka tidak mampu mengekalkan kesucian hati dan ‘amal seperti kini pada kemudian hari, maka tidak mustahil bagi mereka untuk menjadi golongan yang lebih teruk daripada orang yang difikirkan hina dari pandangan mata suatu ketika dahulu. Na'udzubillah.. Bukan mendoakan tetapi sekadar peringatan.


Mari kita sedari, kita sekadar menghitung hari, setiap kali matahari terbenam, bermakna satu hari telah hilang dalam perkiraan. Sentiasalah mengingati mati kerana ia sentiasa mengintip kita tanpa kita sedari.


‘Amalan Tanda Kesyukuran


"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

(Ibrahim: 7)


Teruskan ber’amal, sebagai tanda syukurnya kita kepada Sang Maha Pencipta kerana garap janji-Nya bagi orang-orang yang bersyukur adalah ditambahkan lagi nikmat mereka kelak. Nikmat tarbiyyah dan da'wah, kita cambahkan lagi kesuburannya, dengan ‘amal yang terbaik diiringi keikhlasan dilakukan semata-mata kerananya.


Sesungguhnya waktu cuti kita sudah hampir tiba, bahkan ada juga yang sudah mula percutiannya.. Percutian dari amanah selaku seorang pelajar, juga bermaksud percutian dalam bi'ah tarbiyyah, yang sentiasa ada untuk mendokong gerak kerja kita. Namun tanamlah sedalam-dalamnya ke dalam jiwa, bahawa 'amal kita bakal tiada cutinya. Tepuk dada, tanyalah iman kita. Bukannya diibarat seperti seorang tarzan, menepuk-nepuk dada lalu dilaungkan sekuat-kuat hatinya..=p.


Marilah bersama-sama kita buktikan rasa syukur atas segala nikmat yang terlalu banyak diberikan tidak terhingga. Nikmat-nikmat yang kita tidak akan mampu menghitungnya, apatah lagi membalasnya. Maka buktikanlah kesyukuran kita kepada Allah dengan meletakkan Allah lebih dari segalanya. Sembelihlah segala kecintaan yang mampu menggugat kecintaan kita kepada-Nya. Berdoalah agar Dia berikan kita kekuatan dalam usaha membuktikan rasa cinta dan syukur kita dengan perjuangan yang memartabatkan agama-Nya. Mari kita serahkan segala yang kita miliki kepada Allah buat selama-selamanya.


p/s: Entry ini sepatutnya dipostkan 2-3 minggu sebelum ini tetapi atas perkara-perkara yang tak dapat dielakkan, maka baru hari ini ianya berjaya dipost. Bersama menghayati erti pengorbanan yang sebenar..=)

No comments: