Tuesday, August 16, 2011

Apa Salahnya Sekali-sekala Berbuka di Gereja?!


Kisah dan Teladan di Bulan Ramadhan


Masuk hari ini, sudah 15 hari umat Islam di Malaysia menyambut Ramadhan al-Mubarak dengan pelbagai ragam penghayatan dan peristiwa suka-duka mengirinya, baik di dalam mahupun di luar negara.

Seperti biasa di negara ini, setiap kali Ramadhan, pasti akan ada anak Islam cedera kerana terlebih seronok bermain mercun atau terlalu kreatif mengubah suai meriam buluh bagi mendapatkan letupan yang paling memekakkan telinga.

Untuk bersimpati pada kes sebegini, membuang masa sahaja kerana semua sewajarnya tahu kesan dan akibat perbuatan masing-masing. Justeru sekiranya perkara buruk berlaku hasil daripada kelakuan sedemikian, perkataan paling wajar diucapkan adalah; “padan muka, siapa suruh pandai-pandai cari padah!!”

Bertemu Teman Lama


Dalam melaksanakan suatu urusan perniagaan di sebuah negeri di utara tanah air, Intuisiku kebetulannya sempat berjumpa dan beriftor dengan seorang teman yang sudah lama tidak ketemuan dan seperti biasa setiap kali bertemu, ada saja peristiwa semasa yang menjadi modal perbualan dan perbincangan. Akan tetapi kali ini, Intusiku dikejutkan dengan pertanyaan yang tidak diduga.

“Eh, mu tokse bukok poso kat gereja ko? Tok payoh susoh-susoh wak tubek pitih belanjo, siap buleh berjimat lagi. Bendonyo tok payoh, asal kito sudi masuk ke situ jah dan dengar gapo-gapo hok set-set situ ‘royak’. Pah, panda-panda lar kito lipat set-set dio. Hahahaha..”

Pertanyaan itu sungguh mengejutkan kerana Intuisiku yakin bahawa teman yang dimaksudkan sudah lama berkawan dan pasti tahu apa pendirian Intuisiku dalam hal berkaitan dengan agama mahupun bangsa, tanpa perlu bertanya sedemikian rupa, sekalipun untuk tujuan berseloroh.

“Mu jange wak gura boh, bendo-bendo gini. Mu nok kno serbu dengan Jabatan Agama Islam dan polis supo di Gereja Methodist Damansara Utama tu jugok ko?! Kalu nok, mu gi bukok situ, pah aku gi report ko ore Jabatan Agama.. buleh lar mu kno rigak ko set-set dio, supo dengan 12 ore Muslim hok nok kno dakwo tu. Hahahahahaha ..”

“Mitok maaf banyok lar, boh.. ambo tok terliur langsung.. tok kiro lar sedap ko, mahal setaro mano pun. Huhuhu..”

Sesungguhnya Intuisiku tidak pelik dengan pendedahan itu kerana ianya kes sudah terang lagi bersuluh memandangkan sudah ada beberapa badan mahupun individu sebelum ini yang cuba mendapatkan perhatian pihak berkuasa akan isu kes murtad  umat Islam yang berada pada tahap membingbangkan.

Begitu juga, sama ada perkara ini sengaja diputarbelitkan sebagai sebahagian daripada strategi politik menjelang pilihan raya, lalu ada saja yang mencari kesempatan untuk menuding jari terhadap pihak-pihak tetentu. Maka ianya bukanlah suatu perkara yang wajar untuk difikirkan kerana SETIAP SATU JARI YANG MENUDING KE ARAH ORANG LAIN, EMPAT LAGI AKAN MENUDING KEPADA DIRI KITA.

Ibrah daripada Sejarah


Rasanya semua orang tahu bahawa usaha untuk memesongkan akidah umat Islam di negara ini sudah berlangsung dengan rancaknya sejak kita masih dijajah oleh negara-negara kuffar lagi. Para mubaligh Nasrani (Kristian) telah menjadikan bantuan kewangan dan bimbingan sebagai strategi ampuh dalam memastikan misi penyebaran dakyah mereka berjaya.

Mubaligh-mubaligh Kristian ini bukan setakat membaptiskan umat Islam sahaja, malah SANGGUP TINGGAL BERSAMA-SAMA KELOMPOK SASAR, hatta DI ULU MANA SEKALIPUN SELAMA MANA YANG BOLEH BERBANDING PENDAKWAH ATAU PEGAWAI AGAMA ISLAM YANG SUSUP-SASAP LESAP SEBAIK SELESAI MENGISLAMKAN KELOMPOK SASAR.

Intusiku tidak mahu melihat  siapa salah, siapa benar dalam kes murtad kerana SELAGI MANA KUAT IMAN DI DADA, WALAU APA PUN YANG TERJADI, TIDAK MUNGKIN UMAT ISLAM BERPALING DARIPADA RAHMAT ILAHI, sekalipun ada yang yakin bahawa kemiskinan adalah pintu kepada kekufuran. Firman Allah S.W.T:
Katakanlah: ‘Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku.’"
(al-Kaafirun: 1-6)

Untuk mengatakan tiada kebenaran dalam dakwaan bahawa terlalu banyak karenah birokrasi yang terpaksa dihadapi golongan yang memerlukan ketika berurusan dengan badan kerajaan dalam mendapatkan bantuan, pasti boleh dipersoalkan kerana jika tiada angin yang menggongcang, masakan pohon akan bergoyang.

Keadaan untuk Dibimbangkan


Suatu yang pasti dan perlu dibimbangkan umat Islam, khususnya bangsa Melayu di negara ini, apa lagi pemimpin-pemimpin negeri mahupun negara daripada peristiwa serbu gereja terbabit adalah isu pencabulan Perlembagaan Persekutuan yang semakin menjadi lumrah kehidupan.

Artikel 3(1), status agama Islam sebagai agama rasmi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan larangan menyebarkan agama lain kepada umat Islam negara ini nampaknya sengaja dicabul serta sengaja diperlekeh.

Apakah  ini PETANDA SIKAP KETERBUKAAN PIHAK BERKUASA SENGAJA ‘DIPERMAINKAN’ DARI SEMASA KE SEMASA SEPERTI YANG DIPERLAKUKAN TERHADAP BAHASA MELAYU DENGAN MENAFIKAN HAKNYA SEBAGAI BAHASA PENGANTAR PENDIDIKAN melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1969?!=)




p/s: Ramadhan sudah mencapai ke pertengahannya. Jom sama-sama kita tingkatkan pahala & kurangkan dosa..=)

No comments: