Hampir setiap kali Ramadhan setiap tahun, stesen TV menyediakan berpuluh program khusus dan istimewa SEOLAH-OLAH UMAT ISLAM MEMPUNYAI BANYAK MASA UNTUK MENONTONNYA. Sama juga situasinya dengan Aidil Fitri yang bakal tiba, channel TV dijangka akan sarat dengan program raya. Ia seolah-olah suatu pembentukan budaya baru untuk umat Islam yang diwujudkan oleh saluran TV.
Pada bulan puasa, kita digalakkan untuk melakukan ibadat sebanyak mana yang boleh kerana Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Amalan-amalan sunat dikatakan sama seperti amalan wajib pahalanya, apa lagi amalan wajib yang berlipat kali ganda ganjarannya andai ianya dilakukan di bulan Ramadhan. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:
”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”
(HR Bukhari & Muslim)
Akan tetapi, ada yang mengatakan bahawa PROGRAM TV MENJADI GODAAN BESAR KEPADA UMAT ISLAM UNTUK MELAKUKAN IBADAT DALAM BULAN YANG PENUH RAHMAT INI DENGAN SEBANYAK YANG BOLEH.
Agak signifikan juga dengan program raya. Pada Aidil Fitri nanti, kita digalakkan menziarahi sanak-saudara dan teman-taulan. Namun kebanyakan orang akan menjadi berat punggung kerana dikatakan lebih suka menatap pelbagai program ‘khas’ raya. Bagaimanapun, banyaknya program TV pada Ramadhan dan Aidil Fitri bukanlah boleh dijadikan alasan kukuh untuk kita tidak beribadat atau mejalin hubungan silaturrahim, kerana dalam hal ini, PUCUK PANGKALNYA ADALAH BERGANTUNG KEPADA HATI KITA SENDIRI.
Takde Beza Pun!!
Kesempatan menonton beberapa program ‘khas’ seperti drama atau telefilem yang berbeza dengan program-program TV biasa. Imej Islam dalam drama yang kononnya Islamic sudah kelihatan terlalu klise atau stereotype saja. Orang Melayu Islam akan ditonjolkan dengan imej BERBAJU MELAYU ATAU BERJUBAH, BERKAIN SARUNG ATAU BERKAIN PELIKAT DENGAN BERSERBAN LILIT DI KEPALA ATAU BERSELIMPANG DI DADA UNTUK MENGGAMBARKAN GOLONGAN WARA’ DAN ‘ALIM. Imej ini selalunya watak imam.
Itu semua bukanlah suatu kesalahan. Tak salah apa-apa pun. Cuma dalam mengerjakan ibadat harian seperti bersolat, apa yang penting pakaian kita mestilah bersih daripada najis dan boleh menutup aurat. Jadi, apa salahnya kalau dipaparkan lelaki bersolat dengan t-shirt biasa atau baju kemeja berlengan pendek, misalnya, dan berseluar jeans menjadi imam dalam suatu jemaah di masjid atau di surau.
Kalau tak, susahlah. Setiap kali hendak bersolat jemaah, kena tunggu seseorang yang lengkap berpakaian serban, berbaju Melayu dan berkain pelikat atau berjubah! Dalam drama TV kita ini, SEOLAH-OLAH KALAU TIADA IMEJ SEBEGINI, MACAM TIDAK SAH SOLAT JEMAAH BERKENAAN. Begitu juga dengan watak perempuan Islam yang semestinya ditampilkan dengan berhijab atau bertudung. Alangkah bagusnya jikalau PELAKON YANG BERTUDUNG ITU SEMEMANGNYA ORANG YANG BENAR-BENAR BERTUDUNG, BAIK DI LUAR MAHUPUN DALAM DRAMA YANG DIBINTANGINYA.
Kadang-kadang penonton berasa tertipu pula kerana dalam drama, pelakon wanita ditonjolkan dengan imej yangsungguh murni, bertudung litup, lemah-lembut dan sungguh berakhlak. NAMUN HAKIKAT SEBENAR ADALALAH SEBALIKNYA.
Intuisiku bukan hendak katakan pelakon wanita dalam drama atau filem yang bertemakan keagamaan ini tidak baik. Cuma lazimnya, pemakaian mereka secara realitinya memang jauh panggang daripada api dengan watak-watak yang mereka bawakan dalam drama atau telefilem yang kononnya Islamic.
Intuisiku juga amat bersyukur kerana semakin ramai artis yang ‘mendapat’ hidayah untuk mengerjakan ibadat dengan sempurna selepas mendakwa selama ini mereka seolah-olah berada dalam ‘kesesatan’ atau ‘kejahilan’. Syabas kepada artis seperti Bob Lokman, Syam Kamikaze, Catriona Rose Bahrain, Azmi Mustafa, Wardina Saffiyah, Razzi Melissa dan sebagainya, mudah-mudahan akan menjadi ikutan kepada rakan artis yang lain untuk menjadi Muslim atau Muslimah yang bertakwa kepada Allah.
Cuma daripada kenyataan demi kenyataan yang disiarkan media, ia member gambaran bahawa Islam itu sangat sukar untuk diamalkan atau susah dikerjakan kalau mereka sedang bekerja sebagai seorang artis. Misalnya kalau berlakon, susah hendak mengerjakan solat waktu itu kerana pengarah mahu menyiapkan penggambaran.
Intuisiku berharap agar pengalaman artist yang berasakan suatu ketika pernah berada dalam ‘kejahilan’ itu boleh diangkat dan diceritakan dalam bentuk drama TV. Biar orang ramai faham betapa menjadi artis ini sebenarnya sejenis pekerjaan yang sangat banyak godaan dan cabaran sehingga amat sukar untuk mengerjakan segala suruhan sang Maha Pencipta seterusnya menjadi umat yang bertaqwa.
Asyik-asyik yang Nie Je Temanya!!
Kebanyakan drama atau telefilem yang disiarkan kini juga dirasakan terlalu sempit dari segi skop tema yang dipaparkan, atau dengan kata lain, masih membawa cerita ‘biasa’. Walaupun berlatarbelakangkan Islam, tema yang diangkat menerusi drama atau telefilem ini adalah tidak luas dan tidak pula terbuka. Malah, PROGRAM KEISLAMAN KITA PULA MASIH MENGANGKAT ISLAM ITU MELAYU DAN MELAYU ITU ISLAM.
Jikalau ada cerita mengenai seorang non-Muslim hendak memahami dan mendekati Islam, kisah penceritaanya masih lagi klise. Perasan tak, MESTI LELAKI ATAU WANITA NON-MUSLIM AKAN JATUH HATI LALU BERKAHWIN DENGAN WANITA ATAU LELAKI YANG KONONNYA BANYAK MEMBIMBING DALAM ISLAM, kan?!=p
Pernah seorang kawan wanita non-Muslim secara berseloroh berkata, dia takut kalau-kalau hendak memahami Islam dengan seorang jejaka Muslim, nanti akhirnya akan jatuh hati lalu berkahwin dengan lelaki itu pula, seperti yang kerap dipaparkan dalam drama atau telefilem kita.
Seperkara yang perlu diberi perhatian dalam setiap produksi bertemakan keagamaan, tolonglah senaraikan individu atau sumber yang menjadi rujukan pada kredit drama, telefilem atau filem bertemakan Islam ini. Bukan setakat nama pelakon atau tenaga produksi saja. Bukan apa, Intuisiku pernah terlihat ADA TERJEMAHAN AYAT AL-QURAN KETIKA INTRO SEBUAH DRAMA YANG DIPETIK DARIPADA SURAH ‘AL-KANKABUT’. Masalahnya, ada ke surah-surah dalam al-Quran yang bernama sedemikian? Malah, ada juga HADITH-HADITH DAIF DAN MAUDU’ YANG ENTAH DARI MANA SANADNYA, MENJADI SUMBER RUJUKAN PARA PENGARAH DAN KRU PRODUKSI. Para hukama’ pernah berkata:
(Kapten Hafiz Firdaus Abdullah – 7 Tipu Daya Syaitan ke Atas Umat Islam)
Rasanya sudah tiba masanya semua stesen TV mewajibkan kepada semua syarikat penerbitan program TV supaya meletakkan nama ‘pakar’ agama yang menjadi tempat rujukan atau penasihat ke atas produk yang mereka terbitkan. Dalam drama Islamic daripada Indonesia, Intuisiku dapati mereka meletakkan 2 atau 3 individu seperti ustaz, imam atau mereka yang ‘arif dalam bidang agama sebagai penasihat atau rujukan produksi mereka.
Perkara ini boleh dijadikan satu peraturan baru oleh stesen TV seperti TV al-Hijrah dan saluran Astro Oasis mahupun channel-channel Media Prima yang mana setiap drama bercirikan keislaman diwajibkan meletakkan nama penasihat keagamaan yang diiktiraf. Stesen ini juga boleh memainkan peranan dalam memperbetulkan tanggapan bahawa pengertian Islam itu sungguh meluas, tidak menyusahkan umatnya tetapi besar nikmatnya kalau tekun mengerjakan dan mengamalkan dengan ikhlas.
Bersempena dengan Ramadhan ini, kita tidak perlukan terlalu banyak program yang kononnya Islamic , tetapi tidak memberikan impak kepada penonton. Biarlah jumlahnya sedikit atau berpada-pada, tetapi setiap kali ditonton, ia benar-benar meninggalkan kesan dalam sanubari penontonnya.
Formulanya cukup mudah.., walaupun kita hendak cepat sembuh daripada sesuatu penyakit, tidak semestinya doktor akan memberikan terlalu banyak ubat..=)
p/s: Sekali lagi Ramadhan bakal melabuhkan sayapnya..entah kita akan bertemu Ramadhan yang akan datang entah kan tidak. Jadi sama-samalah kita muhasabah diri sejauh mana kita dapat merebut peluang yang telah ada di depan mata..=)
p/s: Sekali lagi Ramadhan bakal melabuhkan sayapnya..entah kita akan bertemu Ramadhan yang akan datang entah kan tidak. Jadi sama-samalah kita muhasabah diri sejauh mana kita dapat merebut peluang yang telah ada di depan mata..=)
No comments:
Post a Comment