Monday, August 08, 2011

Ramadhan: Transformasi Fesyen


Ramadhan Oh Ramadhan



Kedatangan Ramadhan sentiasa dialu-alukan umat Islam di seluruh dunia. Kemeriahan suasanamya yang mekar dan meriah akan berterusan hingga saat menjelang Aidil Fitri.

Pada masa yang sama, setiap insan  juga digalakkan melipat-gandakan pahala sepanjang bulan mulia ini serta menjaga langkah dan tingkah laku, selain menahan lapar serta dahaga untuk memastikan ibadat itu dilaksanakan dengan sempurna dan diterima oleh-Nya.

 Banyak perkara yang perlu dielak, juga menahan nafsu dalam pelbagai aspek termasuklah dari segi etika berpakaian terutamanya kalangan wanita dengan menjaga kesopanan dalam penampilan gaya kerana ia boleh menjurus kepada perbuatan tidak bermoral.

Dalam Islam, tidak kira sama ada Ramadhan atau hari biasa, wanita WAJIB menutup aurat dan TIADA alasan untuk mengingkarinya. Namun bagi mereka yang MASIH BELUM melaksanakan tuntutan itu, etika berpakaian sepatutnya juga perlu diberi perhatian dan lazimnya, pada Ramadhan ini dapat dilihat ramai yang ‘mengubah’ penampilan masing-masing.

Jika pada hari biasa, ada wanita yang berpakaian seksi (baca seksa) dan menjolok mata, namun setiba saja Ramadhan, suasana tampak berubah seketika. MENGAPA?! SUDAH DIKURNIA HIDAYAH KAH MEREKA?! Jawapannya... hanya Sang Maha Pencipta saja yang LEBIH mengetahuinya. Bagi mereka mereka yang peka terhadap kehadiran Ramadhan, mereka sedia melakukan transformasi gaya dengan berpakaian lebih sopan dan sedap dipandang mata.

Namun tidak kurang juga yang buat tak tahu, endah tak endah dengan gaya santai dengan tidak menghormati etika berpakaian. Jika ada pun yang ‘menutup’ (baca membalut) aurat pula, masih TIDAK begitu SEMPURNA hingga menampakkan sebahagian susuk tubuh seksi atau helaian rambut.

Persoalannya, ADAKAH MEREKA AKAN TETAP MENJADI WANITA YANG MENGEKALKAN GAYA SEKSI atau HANYA BERSIKAP PURA-PURA SEMPENA RAMADHAN?! Kaca lensa intusiku meninjau pandangan masyarakat mengenai isu transformasi fesyen dan gaya sepanjang Ramadhan.

Dari ‘Banjaran’ ke ‘Lapangan’


Kakitangan syarikat swasta, Zaizarina Kamal (bukan nama sebenar), 24, berpendapat bahawa sewajarnya Muslim dan Muslimah sensitif terhadap ketibaan Ramadhan yang menuntut umat Islam menjaga adab dan tata susila termasuk cara berpakaian bagi mengelak berkurangnya pahala puasa.


“Bagi saya, gaya pemakaian terpulang pada diri masing-masing. Mereka seharusnya tahu gaya bagaimana yang bersesuaian. Cuma bagi wanita Muslimah, haruslah menghormati bulan yang mulia ini dengan berpakaian lebih sopan.”

“Cara berpakaian seseorang itu juga sebenarnya mencerminkan kematangan dan tahap kefahaman serta pengetahuan mengenai Islam,” katanya yang mengakui sebelum ini dikenali sebagai gadis lincah, liar, kaki disco serta berpakaian seksi.

Namun Zaizarina mendakwa, tabiat buruknya semakin dikikis dan kini lebih selesa mengamalkan gaya hidup serta menggayakan fesyen secara sederhana kerana kurang disenangi keluarga dan teman rapatnya.


“Ketika saya masih pelajar, kehidupan kelab malam yang liar dan culas menjadi sebahagian daripada rutin harian, malah ia seakan rumah kedua saya.  Dengan kehidupan sebegitu, gaya pemakaian saya turut berubah menjadi lebih seksi. Walaupun Ramadhan, ketika itu saya masih mengekalkan gaya seksi itu.”

“Usia meningkat membuatkan saya lebih matang, termasuk dari segi berpakaian. Saya juga lebih selesa berpakaian sopan dan berbaju kurung sekarang,” ujarnya lagi.

Lain pula ceritanya dengan pelajar Jurusan Undang-undang sebuah universiti tempatan, Suraya Alwi (bukan nama sebenar), 22, berkata, penampilan gaya sopan yang bersesuaian dengan adat ketimuran serta mengikut lunas Islam amat dituntut tidak mengira sama ada ianya Ramadhan atau pada bulan-bulan lain.

Katanya, hormat-menghormati antara satu sama lain terutama ketika Ramadhan menjadi salah satu amalan yang WAJIB dipraktikkan.

“Pakaian wanita yang menjolok mata kurang sesuai digayakan pada bulan Ramadhan. Malah, wanita Muslim juga tidak sepatutnya bergaya seksi atau menggayakan busana daripada fabric yang tipis untuk mengelakkan terserlahnya susuk tubuh mereka.”

“Saya suka bergaya dengan fesyen terkini. Selalunya saya akan memakai seluar, skirt atau gaun pendek, tetapi kerana menghormati Ramadhan, saya tidak mengamalkan gaya seperti itu,” katanya.

Anjakan Paradigme


Persepsi wanita Muslim yang suka dengan penampilan seksi (baca seksa) harus diubah kerana gaya seksi berlebihan mengundang pelbagai perkara negatif seperti kebarangkalian dirogol dan sebagainya berbanding mereka yang berpakaian sopan, lebih-lebih lagi mereka yang menutup aurat secara SEMPURNA.

Firman Allah S.W.T:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka meghentak kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung."
(An-Nur: 31)

Transformasi gaya atau perubahan dari segi pemakaian bukanlah sesuatu yang mustahil tetapi ia mengambil masa dan kesediaan secukupnya untuk berubah. Dengan peredaran zaman yang pesat, gaya pemakaian dan seni rekaan busana juga turut berubah. Lihatlah saja pada rekaan baju kurung, sebagai contoh.. dulunya hanya ada satu jenis sahaja, iaitu Baju Kurung Cekak Musang. Namun kini, pelbagai reka bentuk baju kurung diperkenalkan seperti Baju Kurung Kedah, Baju Kurung Pahang dan pelbagai lagi fesyen terkini yang mengagumkan.

Wanita masih boleh bergaya dan berfesyen mengikut peredaran zaman sebenarnya. Sekarang ini, banyak busana Muslimah yang tumbuh bagai cendawan tumbuh selepas hujan, tetap menyerlahkan keanggunan, kejelitaan dan elegen. Akan tetapi, ianya terpulang kepada kita sama ada untuk memilih busana yang MENUTUP AURAT DENGAN SEMPURNA ataupun pakaian yang MEMBALUT AURAT ‘NGAM-NGAM’  sahaja, untuk dijadikan pakaian harian kita semua.


p/s: alangkah baeknya jikalau transformasi fesyen ini berkekalan hingga ke akhir hayat para pelakunya dan bukan pada waktu Ramadhan sahaja..=)

No comments: