Monday, October 22, 2012

Graduasi dan Kaderisasi Universiti : Apa Makna Ijazah Berjela Panjang Jika Gagal Mematangkan Fikiran




Tidak kurang daripada 40000 anak muda mula memasuki semua universiti tempatan sama ada awam atau swasta pada awal September lepas. Bermula pada penghujung September pula, hampir semua universiti telah, sedang dan akan mengadakan konvokesyen untuk mereka yang tamat pengajian. Mereka yang mula memasuki pengajian tahun ini pula akan menamatkan pengajian dan mula memasuki dunia pekerjaan dalam tempoh 3 atau empat tahun daripada sekarang.

Tentu sahaja persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan akan timbul dan pelbagai alasan akan diberikan untuk mereka yang gagal mengisi peluang pekerjaan yang ada. Pelbagai pihak akan dipersalahkan dan tidak kurang juga yang menuding jari kepada pihak tertentu, sama ada university, malah kerajaan yang dikatakan gagal menangani isu ini dengan berkesan.

Apa Tujuan ‘Masuk’ Universiti?!


Sebenarnya perkara paling asas untuk difahami ialah tujuan seseorang itu ‘memasuki’ universiti, sama ada untuk menguasai ilmu atau hanya sekadar untuk mendapatkan ijazah atau diploma yang menjadi ‘prasyarat’ dan ‘tiket’ untuk bekerja. Malah ijazah dan diploma juga dikatakan menjadi kayu ukur penguasaan ilmu oleh seseorang, apatah lagi jika memiliki ijazah seperti sarjana dan doktor falsafah.

Hakikat sebenarnya ialah ijazah bukanlah kayu ukur terhadap penguasaan ilmu seseorang. Apalah maknanya ijazah yang berjela jika gagal untuk menjadikannya seseorang yang mampu berfikir apatah lagi untuk menyelesaikan masalah. Apalah maknanya ijazah jika pemiliknya hidup dalam duniannya sendiri tanpa berupaya untuk mengubah diri mahupun mereka yang berada di sekelilingnya.

Lebih malang lagi, jika ijazah yang dimiliki tidak mampu menjadikannya seorang manusia mampu berfikir dan membezakan atara kebaikan dengan keburukan, apa lagi untuk menjadi seorang pemimpin yang dapat memimpin orang lain dalam membangunkan masyarakat dan Negara.

Perkara ini perlu disedari seawal mungkin dan mereka yang ‘memasuki’ universiti harus sedar dari awal lagi bahawa yang dikejar bukan sekadar sekeping ijazah atau diploma, tetapi ilmu yang mampu menjadikannya seorang yang berupaya berfikir dan melakukan perubahan, mematangkannya dan menjadikannya seorang yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Ilmu bukan hanya apa yang diajar di bilik kuliah atau di makmal, tetapi harus diterokai sejauh mungkin melalui pengalaman, pergaulan dan pembabitan dalam pelbagai aktiviti yang dapat mematangkan diri dan berbeza daripada sebelumnya, bijaksana dalam membuat pertimbangan serta sentiasa menjadikan ilmu dan fakta sebagai asas pertimbangan.

Manfaatkan Kemudahan Universiti


Universiti mempunyai banyak kemudahan untuk dimanfaatkan siswa dan siswi, daripada menguasai pelbagai bahasa yang ditawarkan khususnya secara formal sehingga kepada keberanian untuk bertutur dalam bahasa bukan bahasa ibunda dengan rakan yang mempunyai minat yang sama.

Anak muda yang ‘memasuki’ universiti juga harus bijak memilih kawan yang dapat membantu mereka lebih berjaya dalam pelajaran mahupun meningkatkan sahsiah diri tanpa mengetepikan jati diri, budaya, adab susila dan kesopanan. Malangnya ada segelintir siswazah yang memilih untuk bergaul hanya dalam ‘kelompok sendiri’ yang mengehadkan proses sosialisasi diri.

Sebaliknya siswa dan siswi kita wajar menjadi seorang ‘usahawan’ yang bijak mengambil peluang dan kreatif dalam mengambil kesempatan untuk diri dan mereka yang berada di sekitar. Seorang ‘usahawan’ ialah mereka yang berupaya mengambil peluang daripada setiap apa yang ada di sekitarnya lalu menukarnya kepada sesuatu yang baik dan member faedah.

Hal ini harus dibangunkan seawal mungkin, tatkala mula menjejakkan kaki ke kampus. Lihat sekeliling dan cuba bangunkan apa saja peluang yang ada sebagai seorang ‘usahawan’. Tetapkan tekad dan hati bahawa yang ingin dicapai bukan hanya segulung kertas bergelar ijazah tetapi bagaimana university dapat membantu diri menjadi seorang ‘usahawan’ yang Berjaya pada masa depan.

Jika selama ini university melalui persatuan dan pertubuhan pelajar mengadakan program anak angkat di kampung pedalaman, mungkin sudah sampai masanya diadakan pula anak angkat di kalangan usahawan dan korporat bagi menimba pengalaman dan belajar untuk berniaga dan menjadi usahawan pada masa hadapan.

Selagi anak muda ini ditekankan kepad bekerja dengan orang lain dan ijazah hanya menjadi tiket untuk mendapatkan pekerjaan, selagi itu kita terus berhadapan dengan masalah sama.





p/s: Alhamdulillah wa syukurillah.. setelah 24 tahun ‘belajar’ di Universiti Kehidupan (Kampus Dunia), akhirnya ‘intuisiku’ secara telahpun bergelar seorang graduan secara rasminya pada 8 Oktober 2012. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sama-sama membantu di sepanjang tempoh pengajian ini, khususnya kepada Ummi dan Abah yang menjadi pendidik, merangkap mentor, juga teman sejak ‘intuisku’ dilahirkan. Kepada semua ahli keluarga, sanak saudara, guru-guru, para pensyarah, seniors, juniors, rakan-rakan seperjuangan serta siapa-siapa yang turut membantu samada langsung mahupun tidak tidak langsung, tiada kata lain yang dapat ungkapkan melainkan “terima kasih”. Hanya Allah sajalah yang membalas budi dan jasa yang kalian taburkan. Walau bagaimanapun, ini bukanlah bererti sebuah pengerakhiran, bahkan ianya adalah suatu permulaan. Perjuangan masih panjang, masih perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan dan nafas masih dipinjamkan oleh TUHAN.
Ingatlah walau siapa pun kita, walau apa pun pekerjaan kita, yang penting jadilah insan berguna dan memberi manfaat kepada mereka yang ada di sekeliling kita..^_^y

No comments: