Percayalah,
kekadang manusia hanya inginkan ‘didengar’ bukan penyelesaian. Kerana
dengan didengar, manusia terasa dihargai, disayangi dan dihormati. Jika
kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak perlu
melakukan apa-apa, cuma dengar…
Saya sendiri menempuh pelbagai kesalahan
dan kesilapan dalam hidup akibat tidak mendengar. Sangka saya, dengan
berkata-kata kita boleh meraih kemesraan. Rupa-rupanya tidak. Kita akan
lebih dicintai, jika kita menjadi pendengar.
Kita pernah mendengar di corong radio
apabila masyarakat menghubungi pakar motivasi, ulama, ustazah dan
pendakwah… Acapkali mereka bukan meluahkan masalah. Mereka hanya
bercakap dan bercakap… mengapa? Ya, mereka hanya ingin didengar.
Alangkah indahnya jika kita punya masa
dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk
didengar ialah petanda kehausan kasih sayang dan cinta. Manusia
tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala
dan semua. Sekali lagi, bukan inginkan penyelesaian tetapi hanya
inginkan penghargaan dan kasih sayang.
Mari pada hari ini, kita bertekad untuk
menjadi pendengar. Ketapkan mulut dan bukakan hati dan telinga untuk
mendengar. InsyaAllah, kasih sayang akan bertaut dan berbunga kembali.
Jangan biarkan isteri, suami, anak, pelajar, pekerja, pengikut dan
pesakit kita ternanti-nanti… mulakanlah tugas cinta yang pertama: Just
listen…hanya dengan mendengar.
Dari saya, hanya seraut catatan.
HANYA DENGAN MENDENGAR…
Manusia memerlukan didengar kata-katanya
sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad,
sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah
emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi
manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal
mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang
begini, akan gagal dalam hidupnya.
Peri pentingnya didengar dalam hidup
seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui
kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta yang pertama ialah
mendengar.”
Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih
yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru,
dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum.
Orang yang banyak mendengar akan banyak
belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak
pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana
itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik,
kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakan
manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang
lain.
Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi
tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan.
Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak
berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam
itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah
terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai:“Diam itu banyak hikmahnya
tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.”
Cuba lihat orang di sekeliling kita dan
lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata?
Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti
berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita
mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?
Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama
serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar.
Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor,
jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati
aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam
kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!
Apakah dengan mendengar kita menjadi
hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita
sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk
(rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang
mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik
berkata-kata.
Semakin banyak kita belajar semakin
banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita
miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia.
Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu
itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?
Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga
bersifat Maha Mendengar – “sami”. Dan salah satu nama Allah yang baik
dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan,
kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa,
tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu
mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia
akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali
sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah bersedia mendengarnya bila-bila
masa sahaja.
Jika ada jutaan manusia mengadu dan
merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan
terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang
terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien
yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak. Inilah kehebatan
Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu
mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!
Allah mulia dan agung kerana kesudian
dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga
jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia
lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan
semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras.
Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan
seorang hamba. Allah Maha Adil…
Seorang pesakit, datang merintih kerana
penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara…
Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah
mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah
hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap
sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk
mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang
memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan
sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!
Sebaliknya, manusia terlalu ego dan
bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang
yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu.
Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil
lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat
menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan
tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling
dan menunjukkan reaksi selamba.
Namun tidak begitu keadaannya pada insan
bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak
mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun,
baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat
mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi
Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat
sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya
ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang
lebih tepat itu!
Itulah Rasulullah saw yang paling
berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah,
malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah
setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika
dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan,
maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput
bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan
kita.
Anda tidak perlu banyak cakap untuk
disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata
orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh
simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak
menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin
katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan
menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi
salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.
Dengarlah bisikan orang di sekeliling
kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa
banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan
yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak
bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang,
dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba
tahu…
Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan
dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri
nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya
gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam
kehidupan dan pergaulan.
Sumber: genta-rasa.com/2013/01/17/just-listen-hanya-dengan-mendengar/#more-2401
No comments:
Post a Comment