Mutakhir ini, timbul isu mengenai
pemakanan dan masalah obesity yang
dihadapi oleh kanak-kanak sekolah. Dikatakan kebanyakan makanan di kantin
sekolah penyumbang besar kepada masalah tersebut.
Justeru, kerajaan mengambil langkah
menetapkan jenis-jenis makanan tertentu sahaja yang boleh dijual di kantin
sekolah, dengan harapan kanak-kanak sekolah tidak terdedah kepada bahaya
pengambilan makanan yang kurang berzat dan menggemukkan.
Persoalannya, adakah masalah obesity
atau kurang khasiat semata-mata yang patut dirisaukan ibu bapa?!
Sebenarnya, ada satu lagi perkara
penting yang mesti diberi tumpuan, iaitu status halal makanan itu. Sebagai ibu
bapa, kita perlu mengambil berat soal pemakanan yang masuk ke dalam perut
anak-anak yang kemudian menjadi darah daging mereka. Ia bukan cukup sekadar member
makan dengan tujuan mengenyangkan perut, malah apa yang lebih penting adalah
makanan tersebut halal dan baik (tayyibah),
sebagaimana yang dituntut oleh Allah s.w.t.:
“Hai
sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi,
dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya
syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
(al-Baqarah:
168)
Makanan yang halal dan baik akan
member kesan yang baik kepada keturunan dan generasi akan datang, termasuk
anak-anak kita. Oleh hal demikian, apa yang perlu dititikberatkan dalam soal
pemakanan anak-anak setiap masa ialah beberapa aspek berikut:
Halal
Makanan yang dimasak ataupun dimakan
itu mesti halal dan tidak meragukan. Misalnya daging atau ayam, seharusnya ia
dibeli di pasar-pasar pemilik dan penjualnya terdiri daripada orang Islam.
Begitu juga selain halal, kita juga
sedapat mungkin pastikan ianya bersih dari sudut syariat. Contohnya ayam
sekalipun disembelih cara halal, tetapi ada juga kes cara membasuh dan
membersihkannya tidak menurut syariat.
Sumber wang atau pendapatan yang
diperolehi ibu bapa setiap bulan juga mestilah halal. Wang itulah kelak akan
dibelanjakan untuk segala urusan rumah termasuklah perbelanjaan makanan. Maksud
halal di sini ialah pendapatan ibu dan ayah hendaklah tidak bercampur dengan
unsure-unsur yang haram. Misalnya pendapatan bukan daripada hasil rasuah, menipu
atau mengambil hak orang lain.
Ibu bapa yang bekerja perlu amanah
dan jujur dalam kerjaya mereka. Jauhi budaya ‘curi tulang’ ketika bekerja
dengan berbual kosong atau melayari internet
tanpa tujuan. Dikhuatiri hasil pendapatan yang diperolehi telah bercampur syubhah. Ia sepatutnya terhasil daripada
usaha yang halal lagi berkualiti. Dengan wang tersebutlah kita member makan dan
membesarkan anak-anak. Bagaimana jika makanan yang diberikan itu tidak halal di
sisi syariat?!
Sumber pendapatan yang tidak halal
membawa kepada tiada keberkatan dalam hidup kita. Ia member kesan negative dalam banyak perkara, misalnya kepada jiwa
iaitu rasa tidak bahagia, selalu resah, rasa tidak cukup dengan rezeki dan
pelbagai masalah sering melanda.
Sebaliknya jika sumber itu halal,
makanan halal itu membantu anak-anak tetap berbuat ma’ruf selama mereka hidup, serta Berjaya di dunia akhirat.
Doa juga terhalang apabila harta dan
makanan tidak halal. Ini pernah berlaku pada zaman Nabi Musa a.s.; ada seorang
lelaki telah berdoa dengan bersungguh-sungguh. Namun doanya tidak diterima oleh
Allah. Baginda menjadi hairan mengapa terjadi demikian.
Nabi Musa pun bertanya kepada Allah
sebab doa lelaki tersebut tidak diterima lalu Allah menjawab bahawa di dalam
perut, rumah serta pakaiannya terdapat sumber-sember yang haram.
Inilah antara penyebab doa tidak
diterima. Bukan setakat doa tidak diterima, makanan haram juga boleh
menyebabkan kita dan anak-anak terseksa di neraka. Na’uzubillahi min zaalik..
Baik
(Tayyibah)
Ibu bapa perlu mengetahui asas-asas
makanan yang baik untuk penyediaan makanan harian. Bukan sekadar lazat, tetapi
hendaklah berzat dan baik untuk kesihatan. Mereka perlu mengetahui kandungan
karbohidrat dan protein yang perlu ada dalam pemakanan anak-anak. Mereka juga perlu
mendisiplinkan pengambilan gula dan lemak supaya anak-anak tidak mengambilnya
secara berlebihan. Insya-Allah cara pemakanan yang diamalkan secara sihat
setiap hari akan diwarisi oleh cucu-cicit kita kelak.
Erti kata tayyibah juga perlu merangkumi cara penyediaan makanan, cara
memasak, cara menjual dan menghidangkannya. Apakah bahan-bahan mentah dicuci
dengan laluan air bersih atau direndam sahaja?!
Kita sering mendengar keluhan ibu
bapa tentang anak-anak yang tidak mendengar nasihat, cepat panas baran, degil
dan sebagainya. Sebenarnya moral anak-anak juga dipengaruhi oleh jenis makanan
yang kita sajikan setiap hari. Mungkin salah satu sebabnya adalah kerana
makanan yang disediakan tidak halal atau tidak baik.
Alangkah baiknya ketika mengadun kuih
atau mengacau gulai, dimulai dengan bacaan basmalah serta diiringi dengan
selawat atau zikir-zikir. Doakan semoga makanan tersebut memberi kebaikan
kepada tubuh anak-anak untuk rajin beribadah serta mendapat keberkatan dalam
hidup.
Antara contoh penjagaan di sudut
kesihatan pula, sebaik-baiknya cara memasak yang sering disarankan oleh
dietitian atau pakar pemakanan ialah memasak dengan cara membuat sup, mencelur,
merebus, membakar, memanggang dan mengukus. Makanan yang disediakan dengan cara
sebegini lebih segar dan dapat mengurangkan penggunaan bahan yang tinggi lemak,
kolesterol, pengawet, perisa dan pewarna tiruan.
Kreativiti
Ibu bapa mesti rajin memasak untuk
anak-anaknya. Sama ada sedap atau tidak, usaha untuk memberikan kegembiraan
atau kasih-sayang melalui masakan kepada anak-anak tidak ternilai harganya.
Kita sering mendengar ungkapan
anak-anak walaupun yang sudah dewasa seperti; “Masakan yang paling sedap ialah
masakan emak”, “Teringat masakan emak” dan sebagainya. Walaupun masakan si ibu
itu biasa-biasa sahaja, namun ia terasa enak apabila dihidangkan dengan penuh
kasih-sayang. Oleh sebab itu, anak-anak
yang selalu memakan masakan ibu pasti selalu mengingatinya.
Ibu bapa juga perlu kreatif dalam
menyediakan hidangan. Ini kerana ada di antara anak-anak yang memilih-milih
makanan seperti tidak suka makan sayur ataupun ikan. Mereka lebih gemar
menyantap hidangan ayam segera atau makanan berasaskan ayam. Maka ibu boleh
menyediakan sup dengan bebola ikan yang dibuat sendiri (home-made). Jika anak-anak tidak suka sayur, maka ibu boleh mencuba
sayur berinti ayam atau krim yang lazat dan sebagainya. Ia lebih berkhasiat dan
tiada bahan pengawet. Boleh juga dihidangkan drngan hiasan dan jus buah-buahan.
1 comment:
Betul2 bukan sekadar tapi haruslah bernutrisi :-)
Terima kasih utk perkongsian ilmu
Post a Comment