Telah datang kepada kita bulan
yang penuh barakah, bulan yag dinantikan oleh sekalian para solihin sejak zaman
berzaman. Disebut bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat menjadikan bulan Ramadhan
sebagai penanda dalam kehidupan mereka.
Enam bulan sebelum kedatangan
Ramadan masing-masing menanam harapan agar mereka akan sampai di bulan yang
mulia. Manakala dua bulan sebelum Ramadhan, masing-masing mula berdoa
sepertimana disebut;
“Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah
kami kepada bulan Ramadhan”.
Selepas Ramadhan pula,
masing-masing berdoa agar amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadhan diterima
oleh Allah SWT. Begitulah kehidupan Nabi SAW dan para Sahabat yang menjadikan
Ramadhan sebagai bulan yang ditunggu-tunggu mereka.
Di bulan Ramadhan inilah, Allah
telah menjanjikan bahawa amalan kebajikan akan digandakan tanpa had, sedangkan
amalan yang sama hanya digandakan samada 10 kali atau maksimanya 700 kali
ganda. Allah sendiri yang akan menentukan betapa ganjaran yang selayaknya
diterima oleh orang yang berpuasa itu. Ini dinyatakan dalam suatu hadith
Baginda SAW;
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan
dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang seumpamanya hingga tujuh ratus
kali ganda. Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa.
Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya.”
Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi
orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika
dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut
orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.’”
(HR. Muslim no. 1151)
Lailatul Qadar
Begitu juga dengan kedatangan
Lailatul Qadar yang ganjarannya disebut lebih baik dari 1000 bulan (lebih 83
tahun). Lailatul Qadar ini juga dikatakan dalam satu hadith yang sahih boleh
dicari pada sepuluh malam-malam akhir di bulan Ramadan khususnya pada
malam-malam ganjil sepertimana disebut. Hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina
Aisyah RA menyebut mafhumnya;
Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,
"Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari
terakhir bulan Ramadan".
(HR Bukhari)
Terlalu banyak untuk kita
nukilkan kelebihan dan keberkatan bulan Ramadan ini dan tuntutan kepada kita
untuk berlumba-lumba mencari ganjaran dan kelebihannya. Cuma, tidak begitu bermanfaat jika kita sekadar
dinukilkan kelebihan dan keberkatan bulan Ramadan ini jika hakikatnya kita
seharian tidak bersungguh-sungguh merebut kelebihan dan keberkatan ini.
Malang sekali umat Islam jika
kita mensia-siakan tawaran ganjaran hebat dari Allah SWT ini yang bukan sahaja
akan memberi kebahagiaan dan keberkatan hidup kita di dunia ini tetapi juga
akan memasukkan kita ke dalam Syurga FirdausNya yang hebat.
Perlukah Budaya Memainkan lagu promosi Raya Dihentikan?
Andai kata ada pasaraya
besar yang menjual pakaian misalnya ,di
negara kita yang memberi tawaran potongan harga sebanyak 80 atau 90 peratus
terhadap barangan jenama tersohor, nescaya akan berbondong-bondong di kalangan
kita pergi bahkan sanggup beratur berjam-jam untuk merebut kelebihan potongan
harga tersebut. Tetapi ganjaran yang
Allah berikan bukan 80 peratus atau 90 peratus tetapi tiada had dan bahkan
boleh melebihi 700 peratus. Kenapa kita tidak rebut kelebihan ini?
Sebaliknya apa yang kita mula
dengar hari ini bahkan sebelum mula berpuasa lagi promosi diskaun raya dan kini
lagu-lagu raya sudah mula berkumandang di pasar-pasaraya. Yang dibesarkan oleh masyarakat kita ialah sambutan Hari Raya, bukan
kelebihan Ramadhan itu.
Ini adalah satu budaya berupa
bid’ah sesat yang wujud dalam masyarakat kita sehingga kelebihan, kebesaran,
dan kemuliaan Ramadan mula luntur manakala keghairahan merebut Lailatul Qadar
pula semakin lesu. Jemaah masjid juga seolah-olah terpengaruh dengan budaya ini
sehingga menjadikan masjid-masjid semakin lengang berbanding di awal Ramadan
dahulu.
Budaya ini perlu dihentikan dan
semua pihak samada pasaraya-pasaraya, peniaga-peniaga dan stesen-stesen radio
sewajarnya bersama-sama mempromosikan kelebihan Ramadhan dan malam Lailatul
Qadar dan bukannya mempromosikan potongan harga barangan dan dendangan lagu raya
sahaja. Sungguh besar ganjaran diberikan kepada mereka yang mengajak orang lain
berbuat kebaikan apatah lagi berbuat kebaikan di bulan Ramadan.
Tuntasnya, iklan komersil yang
menyiarkan potongan harga atau penyiaran lagu-lagu raya mungkin boleh disiarkan
tetapi ianya haruslah berpada-pada. Jangan pula sampai hari raya itu dirai
dengan lebih gembira berbanding dengan ganjaran kelebihan Ramadan yang
dianugerahkan oleh-Nya.
Senyum.. ^_^v
No comments:
Post a Comment