Monday, October 20, 2014

I Want To Touch A Dog




“I Want To Touch A Dog”. Sebuah program yang dilaksanakan oleh mereka yang jahil agama. Jahil ilmu fiqh mazhab Syafie. Jahil ilmu 'uruf. Jahil ilmu fitnah khilafatul 'uruf. Jahil ilmu fiqh Aulawiyat. Dan segala kejahilan yang terkandung di dalamnya.

Program yang mampu mencipta fitnah (kekacauan dan kekeliruan) di kalangan orang awam yang kurang ilmu fiqh. Contoh fitnahnya, akan wujud mereka yang ingin sesuka hati menyentuh dan membelai anjing tanpa sebab, akan wujud mereka yang berniat untuk membela anjing sebagai haiwan dalam rumah untuk bermanja (asalkan boleh sertu lepas pegang, kononnya), dan bermacam fitnah lagi.

Kita menghormati pendapat mazhab lain yang menyatakan tubuh anjing bukan najis jika tiada didapati najis mughallazah (air liur dan tahi) pada tubuhnya. Namun kita juga harus menghormati pegangan 'uruf masyarakat setempat di mana Malaysia berpegang pada pendapat mazhab Syafie. Bila anda ada di rumah orang, anda tak boleh buat rumah dia macam rumah sendiri, tak gitu? Walaupun tuan rumah tu hormati perilaku dan perbuatan anda, namun tak bermakna dia redha anda melakukannya di dalam rumahnya.

Di sini saya menjelaskan kembali hukum mengenai anjing. Program pelik itu telah melanggar dua point yang saya berikan di bawah, iaitu point pertama dan kedua:

Hukum Menyentuh Anjing

1. Memang wujud khilaf di kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Secara ringkasnya, dalam mazhab syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah (Imam Nawawi, Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini), selain mazhab Syafie (yakni mazhab Hanbali, Maliki, Hanafi) menyatakan hanya air liurnya sahaja najis. Ini berdasarkan hadis:

“Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.”

[Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

Jadi, hukum menyentuh anjing memang ada khilaf. Yang pasti, haram SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis ke atas tubuh kita. Jadi, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita basah/lembap/berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.

Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab Syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya.

**Dalam program tersebut, adakah peserta dan trainer yakin sepenuh jiwa anjing tersebut tidak menjilat tubuhnya? Dan adakah semua mereka yakin benar anjing atau tangan mereka dalam keadaan kering? Jika tak yakin, bodoh namanya. Jika pegang pada "alaaa.. lepas pegang boleh sertu (samak ikut sesetengah pemahaman orang)", ikut hukum fiqh, sengaja meletakkan diri dalam keadaan menyusahkan juga dibenci agama.

Hukum Membela Anjing

2. Namun tiada khilaf dan telah ijmak (sepakat) antara semua ulama-ulama muktabar muttaqaddimin dan mutaakhirin bahawa, tidak dibenarkan seorang Islam untuk membela anjing menjadi haiwan belaan, sebagaimana kita bela kucing, yang kita peluk, cium, belai dan sebagainya, KECUALI membela atas 5 sebab yang dibenarkan, iaitu:

i. Untuk menjaga harta
ii. Untuk menjaga tanaman
iii. Untuk menjaga ternakan
iv. Sebagai anjing untuk memburu
v. Menjaga keselamatan keluarga

Nabi SAW bersabda:

 "Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath."

[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: 

"Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya."

[Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]

Juga daripada Ibnu Umar berkata:

"Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak."

[Riwayat Muslim no. 1571]

"Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan (harta/keluarga/diri/ternakan/ternakan), maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari"

[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: 

“Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar"

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Syaratnya:

1) HARAM bela anjing di dalam rumah
2) WAJIB beri makan minumnya
3) HARAM mendera atau mencederakannya
4) HANYA atas 5 sebab di atas sahaja

**Peserta-peserta program tu dah peluk, sentuh, belai anjing. Adakah ia dibenarkan? Tidak sama sekali.

3. Walaubagaimanapun, anjing tetap bukanlah haiwan yang wajar dicaci, dihina, dibelasah, dibunuh sewenangnya, dipukul, diseksa atau apa sahaja salah laku. Anjing tetap haiwan yang wajar diberi kasih sayang dan belas ihsan, kerana ia tetap makhluk Allah. Telah ada hadis panjang mengisahkan tentang seorang yang banyak dosa, yang memberi anjing minum, dimasukkan ke syurga kerana pahalanya memberi minum kepada anjing itu. Namun dalam hadis tu takde pun kata si pemberi minum tu peluk cium belai anjing tu. Cukup sekadar memberi keperluan kepada anjing kita dah dapat pahala.



Rujukan:

Halal wa Haram fi al-Islam (Prof Dr Yusof al-Qaradhawi)
Mughni Al-Muhtaj (Imam Nawawi)
Haza Halal wa Haza Haram (Abdul Qadir Ahmad 'Ata)


Sumber: Ustaz Khairul Afendy

Tuesday, October 14, 2014

Bajet 2015: Mampukah Anak Muda Akhirnya Membeli Rumah?!




Kelihatannya Bajet 2015 adalah suatu bajet yang menarik, seperti menariknya juga warna jingga terang Baju Melayu yang dipakai oleh YAB Perdana Menteri di Parlimen Jumaat lalu. Satu persatu insentif, bantuan dan ‘hadiah’ diumumkan dalam Bajet 2015 untuk rakyat. Saya pasti, seperti juga saya pada mulanya, ramai anak muda yang teruja dengan pengumuman yang dibuat minggu lalu. Perluasan program MyBrain, pengurangan kadar cukai pendapatan dan juga projek 1Malaysia Youth City adalah antara cadangan Bajet 2015 yang menarik minat ramai anak muda.

Skim Perumahan Belia: Suatu Inisiatif Baru?

Sebetulnya, kandungan Bajet 2015 yang paling disebut-sebut ialah Skim Perumahan Belia (SPB) iaitu sebuah skim pembiayaan pemilikan rumah yang ditawarkan kepada belia berkahwin dan berumur 25 hingga 40 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000. Skim ini disediakan untuk pembelian rumah pertama yang bernilai tidak melebihi RM500,000 dengan tempoh bayaran hingga 35 tahun, tanpa perlu mengeluarkan deposit. Selain daripada syarat skim ini yang agak ‘ringan’, kerajaan juga berjanji akan memberi subsidi RM200 sebulan kepada peminjam selama 2 tahun pertama bagi mengurangkan beban ansuran bulanan. Semuanya kelihatan sungguh mengiurkan.

Namun, mari kita mengimbau kembali Bajet 2011. Ketika itu Dato’ Sri Najib Razak juga ada mengumumkan suatu skim yang hampir sama seperti SPB iaitu Skim Rumah Pertamaku (SRP). SRP ditawarkan kepada belia dengan pendapatan bawah RM3,000 sebulan untuk membeli rumah bernilai tidak melebihi RM220,000 tanpa perlu mengeluarkan deposit. Skim ini juga mendapat reaksi yang cukup positif seperti juga reaksi belia terhadap SPB kali ini. Persoalannya, adakah SRP berjaya untuk membantu anak muda memiliki rumah sendiri?!

Pencapaian Skim Rumah Pertamaku

Pada 14 Mac 2012, Bank Negara telah mengumumkan bahawa selepas setahun dilancarkan, hanya 1,062 permohonan telah diterima. Daripada jumlah ini, cuma 37% permohonan telah diluluskan, manakala 48% lagi permohonan ditolak kerana tidak mencapai kelayakan kredit yang minimum. Perkara ini sebenarnya sudah dijangka memandangkan syarat had pendapatan RM3,000 adalah terlalu rendah untuk membolehkan seseorang membeli rumah sendiri, lebih-lebih lagi dengan beban kewangan lain seperti hutang PTPTN, pinjaman kereta dan pembayaran kad kredit. Sebagai contoh, pinjaman sebanyak RM220,000 selama 30 tahun pada kadar 4.8% (iaitu BFR-1.8% semasa BFR berada pada 6.6%) akan memerlukan peminjam membayar sebanyak RM1,154 sebulan, iaitu sebanyak hampir separuh daripada gaji bulanan seorang anak muda yang berpendapatan RM2,500 sebulan. Malah, jika ditambah dengan komitmen kewangan sedia ada untuk membayar hutang PTPTN dan pinjaman kereta, semakin sedikit anak muda yang mampu untuk mendapat kelulusan bagi pinjaman tersebut. Oleh sebab itu jugalah kerajaan telah bertindak untuk menaikkan had kelayakan gaji kepada RM5,000 sebulan dan had jumlah pembiayaan kepada RM400,000.

Faktor Kos Pembiayaan

Selain itu, Skim Rumah Pertamaku juga agak kurang menarik minat anak muda kerana kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan adalah sangat tinggi berbanding pembiayaan perumahan biasa. Kebanyakan bank menawarkan kadar keuntungan sekitar BFR-1.8% (BFR bermaksud Base Financing Rate, iaitu terma perbankan Islamik yang sama maksud dengan BLR, Base Lending Rate). Kadar BFR-1.8% adalah tinggi jika dibandingkan dengan BFR-2.5% yang dapat ditawarkan oleh bank bagi pembiayaan perumahan biasa, iaitu berbeza sebanyak 0.7%. Sebagai contoh, berdasarkan kadar keuntungan di atas dan BFR semasa pada 6.85% , jumlah bayaran bagi pembiayaan sebanyak RM300,000 selama 30 tahun adalah seperti berikut:

Skim Rumah Pertamaku - RM1,620 sebulan, RM583,000 keseluruhan
Pembiayaan rumah biasa – RM1,340 sebulan, RM514,000 keseluruhan (termasuk 10% deposit yang dibayar di awal pembiayaan).

Dengan perbezaan bayaran bulanan sebanyak RM280 dan bayaran keseluruhan sebanyak RM69,000, jelaslah bahawa Skim Rumah Pertamaku adalah jauh lebih mahal. Justeru, Skim Rumah Pertamaku kelihatan umpama sebuah usaha gajah putih yang bertujuan untuk menunjuk-nunjuk bahawa kerajaan telah membantu anak muda, walhal sebenarnya ‘bantuan’ ini lebih banyak menekan mereka.

Faktor Harga Rumah


Faktor kos pembiayaan juga bukanlah satu-satunya punca tidak ramai anak muda yang mampu membeli rumah. Walaupun wujudnya skim pembiayaan mudah untuk anak muda seperti Skim Rumah Pertamaku dan Skim Pembiayaan Belia, harga rumah yang melampau tetap merupakan faktor utama ketidakmampuan anak muda untuk memiliki rumah. Skim pembiayaan rumah ini cumalah suatu alat untuk membeli rumah. Jika harga rumah yang ada adalah di luar jangkauan kadar gaji mereka, bagaimana anak muda mampu membeli rumah?

Di sebalik keghairahan bercerita tentang Skim Perumahan Belia, PR1MA, Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat, Rumah Idaman Rakyat, Rumah Aspirasi Rakyat, serta Rumah PPA1M, Bajet 2015 sebenarnya gagal untuk memperkenalkan langkah drastik untuk mengawal kenaikan harga rumah yang semakin mambantutkan kemampuan anak muda memiliki rumah di negara sendiri. Kami sebenarnya jangkakan kerajaan melalui Bajet 2015 akan mengawal harga rumah yang melambung naik akibat pengaliran modal asing dan aktiviti spekulasi dengan mengenakan “Real Property Gains Tax” (RPGT) yang lebih ketat dan juga dengan memperkenalkan “Capital Gains Tax” (CGT). Anak muda pastinya amat gembira jika golongan spekulator hartanah dikekang dengan dikenakan RPGT sehingga 50% jika mereka menjual rumah dalam tempoh yang singkat (contohnya dalam masa 5 tahun dari tarikh pembelian). Namun, jangkaan kami meleset sama sekali, dan nampaknya selepas ini kami akan terus menjadi penonton sahaja di kala golongan kaya dan hartawan asing menikmati untung dari pelaburan hartanah di Malaysia yang sangat lumayan ini. YAB Perdana Menteri juga berkata CGT akan menyebabkan pelabur asing lari, sedangkan negara-negara maju yang punya CGT terus menikmati kemakmuran ekonomi.

Faktor Pendapatan

Antara sebab lain anak muda hari ini gagal untuk membeli kediaman mereka sendiri ialah kerana jumlah pendapatan yang mereka terima. Kadar kenaikan gaji dari tahun 2010 ke 2013 secara puratanya cuma sekitar 4% sahaja, dan tersangat rendah jika dibandingkan dengan kadar kenaikan harga rumah yang mencecah 40% antara tahun 2010 dan 2014. Berdasarkan kiraan ringkas saya, seorang anak muda bergaji RM4,000 dan memiliki pinjaman bagi kereta Proton Persona hanya akan mampu untuk membayar ansuran bulanan di bawah Skim Rumah Pertamaku bagi rumah berharga RM320,000 sahaja. Pada hari ini, adalah amat sukar untuk mencari kediaman yang selesa dalam lingkungan harga tersebut.

Dalam Bajet 2015, disebut bahawa kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan komponen gaji daripada keseluruhan KDNK kepada 40% menjelang 2020. Berdasarkan laporan ekonomi pada tahun 2013, saiz komponen gaji per KDNK adalah sejumlah 33.6% sahaja. Jadi, kerajaan sebenarnya meletakkan sasaran untuk menaikkan saiz komponen gaji per KDNK hanya sebanyak 6.4%, dan ia akan mengambil masa selama 6 tahun! Angka 40% itu sebenarnya adalah sangat rendah jika hendak dibandingkan dengan Norway (51.3%), Sweden (53.8%) dan Australia (48.7%). Justeru, sebagai negara yang mempunyai aspirasi untuk menjadi Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2020, adalah mengejutkan apabila agenda meningkatkan pendapatan rakyat dalam bentuk gaji dan upah tidak menjadi elemen utama dalam pembentangan Bajet 2015 baru-baru ini. Malah, sasaran 40% itu pula tidak disertakan dengan sebarang rancangan yang jelas tentang langkah yang perlu diambil untuk mencapainya.

Saya kira tidaklah perlu saya panjangkan isu ini kerana dengan gaji minimum yang dijangkakan sekitar RM700-RM900 dan gaji graduan yang hanya RM1,500-RM2,500, sudah terang lagi bersuluh bahawa ramai anak muda tidak akan mampu untuk menikmati faedah yang ditawarkan oleh bajet kali ini.

Mata Kami Sentiasa Terbuka

Anak muda hari ini tidak sama lagi seperti anak muda sebelum ini. Anak muda hari ini lebih terdedah dengan pelbagai perspektif di samping maklumat yang sentiasa di hujung jari. Walaupun kerajaan melalui Bajet 2015 menawarkan pelbagai ‘hadiah’ yang tampak menarik, kami tetap akan menilainya secara objektif. Setiap perincian bagi tawaran dalam Bajet 2015 akan kami tekuni demi untuk memastikan yang kami sebenarnya beroleh manfaat, bukannya mudarat, terutamanya untuk jangka masa panjang. Seperti yang telah diketahui tentang kebanyakan projek-projek lain di Malaysia, semua perkara biasanya nampak bagus bila di atas kertas, namun bila tiba masa pelaksanaannya, satu persatu masalah akan timbul.

Akhir kata, kami menyambut baik pengumuman usaha kerajaan dalam Bajet 2015 untuk membantu anak muda memiliki rumah sendiri. Tetapi kami juga berharap agar pihak kerajaan meneliti setiap usaha yang telah diumumkan dengan lebih rapi, dan dapat mendatangkan penyelesaian yang lebih utuh dan menyeluruh. Jangan biarkan pengumuman bantuan perumahan dalam Bajet 2015 kali ini sekadar menjadi gajah putih sekali lagi. Yang pasti, anak muda hari ini akan terus memerhati.

 

Nukilan,
Ikmal Ameen,
Presiden,
Halaqah of Young Professionals in Management, Economics and Finance (HANEEF)

Monday, October 06, 2014

Dunia Islam dan PAS



Apa yang berlaku dalam Politik Dunia Umat ISLAM ini, saya lebih suka untuk menamakan pertembungan yang ada pada hari ini sebagai pertembungan:

Post-Islamisme Vs Harakah Islamiyah

POST-ISLAMISME yang dimaksudkan ialah golongan yang memakai ‘metode’ yang disarankan oleh ilmuaan barat seperti Oliver Roy dan ilmuan IRAN yang terbuang Asef Bayat. Walaupun mereka mungkin menafikan bahawa mereka meniru ‘metode’ yang dinamakan oleh Oliver Roy ini, Namun, secara amalinya, mereka melaksanakan tanpa sedar.

Mereka juga telah diklasifikasikan dalam RAND, ISLAMIC Civil Democratic Report yang telah dikeluarkan pasca 9/11.

Perkembangan dan kesabaran Ulama’ ISLAM yang tegas dengan Prinsip dan Dasar perjuangan ISLAM, sebenarnya telah meletihkan Barat dalam pertembungan ini. Mereka tidak mampu menumpaskan gerakan ISLAM yang berpegang teguh kepada ISLAM. Oleh itu, mereka pula mencari kaedah yang lebih lembut yang akhirnya dapat memujuk majoriti Pejuang ISLAM kendur terhadap serangan pemikiran Mereka.

Dalam sudut yang lain, ada di kalangan pejuang ISLAM yang muda telah merasakan penat dan terasa kemenangan agak jauh, sedangkan Barat baru hanya menikmati kejayaan DUNIA tidak sampai dalam satu abad. Kemakmuran Dunia yang dinikmati sekarang baru bermula sejak 1970-an selepas Perang yang panjang dengan Dunia ISLAM dan timur. Pertembungan pasca 9/11 agak berubah apabila Dunia memasuki abad ke 21. Oleh kerana pertembungan hebat Gerakan ISLAM dan penjajahan baru Barat melalui Ilmu dan budaya. Barat mula menyedari keperluan untuk melambatkan kebangkita ISLAM dengan membiarkan Pejuang ISLAM kekal dalam dilema prinsip dan strategi. Maka dibuka meda Demokrasi Liberal kepada Dunia ISLAM supaya Pejuang ISLAM melonggarkan prinsip dan Strategi tanpa Sedar.

Perubahan politik di Turki dan Tunisia dijadikan Modal dan contoh untuk pelaksanaan Liberalisasi Politik ISLAM melalui Demokrasi. Kejayaan sedikit ini dijadikan rujukan untuk menggantikan pandangan ISLAM terhadap nasihat Quran dan Sunnah. Akhirnya, pejuang ISLAM lebih memandang kejayaan Dunia daripada melihat keridhaan ALLAH dalam perjuangan.

Inilah yang berlaku pada PArti Al-Istiqlal di Morocco, Parti AKP di Turki, An-Nahdoh di Tunisia, PKS di Indonesia.

Malah dalam isu yang berlaku di Yemen melibatkan parti ISLAH pimpinan Dr Majid Az-Zindani, berlaku juga pertembungan islamis ‘Democrate’ dengan ‘harakiyyun’ dalam melihat peluang dalam Demokrasi.

Kritikan dan kata kata Pedas terhadap keputusan Ikhwan Muslimin di Mesir juga menjadi tanda tanya terhadap perkembangan sahabat sahabat di Mesir. Kita melihat bagaimana terdapat perpecahan dalam membuat keputusan ketika Pilihanraya Presiden dua tahun yang lalu. Kelibat Abdul Mun'im futuh dalam Perebutan kerusi Presiden menandakan bahawa Ikhwan Muslimin juga tidak terlepas dari mengalami pertembungan dalaman antara democrat dan harakiyyun.

Di Malaysia juga, dalam parti PAS sendiri, transformasi ini sedang berjalan. Sekiranya kita tidak menyedari hal ini dan gagal menghalang. Maka, tidak hairanlah sekiranya PAS juga akan meninggalkan Dasar di atas kertas semata mata. Post-ISLAMISME yang berlindung di sebalik prinsip Demokrasi ini, cuba memaksa PAS untuk mengendurkan Prinsip dan Dasar agar mereka boleh mendapat untung dan Menang dalam waktu yang Singkat. Pertimbangan perjuangan tidak lagi dilihat pada taabudi perjuangan ISLAM.

Perkembangan Isu MB Selangor, membuktikan bahawa golongan POST-ISLAMISME gagal mendatangkan Hujah untuk menidakkan Hujah yang didatangkan oleh Presiden PAS dan Majlis Syura Ulama dalam mempertahankan keputusan Asal mengekalkan MB sekiranya tiada maslahah yang besar. Malah, mereka dengan berani menggunakan hujah yang amat Lemah dalam perbahasan Muktamar PAS kali ke 60 baru baru ini. Kita melihat ucapan bahas wakil Muslimat, yang meminta untuk ditimbangkan Wanita sebagai MB, telah menggunakan hujah zaman dan waqii , sedangkan zaman dan Waqii perlu juga dinilai dengan fiqhul Nusus yang terdapat dalam fekah ISLAM.

Dalam majlis yang sama, Perwakilan dari sebuah negeri selatan, Berulang kali mengolah pertukaran Nabi dan Zaman sebagai satu fitrah alam. Namun, pengolahan hujah tersebut di awang awangan, menggambarkan bahawa ada niat di sebaliknya supaya TG Presiden PAS, menyedari mesej sebenar disampaikan ialah supaya TG Presiden meletak jawatan kerana zaman beliau tidak lagi sesuai.

Maka, saya menyeru kepada semua yang cintakan PAS dan ISLAM. Kembalilah untuk mengkaji dan muhasabah perjuangan kita. Apakah kita berjuang untuk kemenangan yang singkat dengan mengorbankan prinsip?

Atau kita sanggup berhadapan dengan ALLAH untuk dipersoalkan atas kemenangan yang dicapai tanpa perjuangan yang betul atas Manhaj yang Menjadi Sunnah para pejuang-NYA.

Nukilan,
Ahmad Hakimi Othman,
NKP Kuala Selangor.


Wednesday, October 01, 2014

Wabak Sepanjang Jalan



Semua orang yang berjuang mengharapkan diri mereka "ISTIQAMAH" dalam perjuangan Islam, tetapi mereka juga perlu ingat dalam perjuangan, ada "UJIAN-CABARAN-HALANGAN" yang perlu mereka hadapi.

Antara halangan dan cabaran yang perlu ditempuhi adalah
penyakit "AL-FUTUR", al-futur adalah wabak yang akan menyerang orang-orang yang mahu berjuang.

"AL-FUTUR" bermaksud TERPUTUS/BERHENTI/BERTANGGUH/MALAS, penyakit atau wabak ini mungkin akan menimpa amilin.

Lihat samada penyakit ini ada pada kita atau tidak sebagai pejuang Islam, penyakit ini ada peringkatnya:

1. Peringkat Paling Rendah: Memilik sifat malas untuk berjuang, ambil ringan dengan kerja-kerja perjuangan, dan suka bertangguh dalam melakukan gerak kerja Islam.

2. Peringkat Paling Tinggi: Dia menghilangkan terus diri dia dari perjuangan Islam, masih hidup tapi tidak mahu berjuang menegakkan agama Allah, tidak mahu bersama dengan "JEMAAH ISLAM", tidak mahu langsung terlibat dengan kerja-kerja menegakkan agama Islam.

3. Peringkat Yang Bahaya: Pada permulaannya bersama dengan perjuangan Islam, selepas itu memalingkan diri dengan menyertai kumpulan yang menjadi musuh Islam.


Perkongsian didalam program Ijtima' Tarbawi daripada;

 Al Fadhil Ustaz Zuridan Md Daud,
 AJK Dewan Ulama' Pas Pahang.
 & AJK Dewan Ulama' Pas Pusat.


|| TERUS BERISTIQAMAH ||