Friday, June 26, 2015

Muhasabah Awal Ramadhan



Ramadhan adalah waktu yang paling sesuai untuk bermuhasabah, dalam keadaan perut kita lapar, dahaga dan terhalang dari sedikit nikmat dunia moga-moga hati kita menjadi celik dan nampak apa yang tak kenanya dengan hidup kita. 

Cari apa yang tidak kena dengan ibadah kita ?


Tiap waktu cuba tambah ilmu dan berusaha memperbaiki ibadah kita. Apa yang masih kurang, tambahkan dan yang tidak betul, perbetulkan. 

Contoh ; Kenapa kita ghairah ke masjid untuk solat SUNAT terawih tetapi tidak ghairah ke masjid untuk soat FARDHU lima waktu? Kenapa kita sanggup beli kurma walaupun ada yang dikenakan GST sebab nak ikut sunnah tetapi tidak pula sanggup duduk makan berjamaah atau menjamu orang susah sedangkan itu adalah lebih sunnah. 

Diriwayatkan bahawa ;

كان ابن عمر رضي لله عنهما يصوم، ولا يفطر إلاَّ مع المساكين

Adapun Ibn Umar RA apabila bepuasa maka beliau tidaklah berbuka puasa kecuali dengan bersama-sama orang miskin. [Lathaif Al-Ma'arif, Ibn Rajab]

Juga diriwayatkan daripada salaf bahawa tidak ada seorang pun yang berpuasa di masjid nabi pada zaman mereka akan memakan makanannya seorang diri kecuali akan berkongsi dengan orang lain atau dicarinya orang untuk makan dengannya. 

Cari apa yang tidak kena dengan sikap kita ?


Kadang-kadang ibadah kita sudah bagus namun sikap dan cara berfikir kita pula banyak yang perlu diubah. 

Contohnya, kebersihan ialah sunnah tetapi berapa ramai yang membuang najis di tandas masjid tetapi tidak 'flush' ? Ada hadith meriwayatkan bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda:

“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Baginda menjawab : “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka”. [Riwayat Muslim]

Ia juga boleh membawa maksud haram dan berdosa menggotorkan tempat awam, menyusahkan orang dan sikap mementingkan diri sendiri. Kita juga suka bersedekah ke masjid, sedang masjid banyak yang sudah kaya-raya namun kita kurang bersedekah kepada sanak-saudara, jiran-tetangga, pelajar yang kesusahan, anak muda yang mahu bernikah dan mereka yang dalam kesusahan. Itu belum mereka yang tiap tahun membuat umrah sedangkan jiran sebelah rumahnya kelaparan dan ada adik-beradiknya yang tidak cukup makan!

Cari apa yang tidak kena dengan keluarga, masyarakat dan sekeliling kita?


Tiap kali Ramadhan, masjid cukup suka buat kuliah dan tazkirah utk orang ramai tetapi jarang yang mahu buat khidmat kepada masyarakat. Ziarahi jiran dan tetangga masjid dan jemaah yang sakit, melawat non-muslim dan ajak mereka menziarahi masjid, menyantuni kanak-kanak, sediakan tempat bermain untuk kanak-kanak atau ada yang menjaganya agar ibubapa senang solat, menyediakan sahur dan berbuka kepada orang susah dan mencari jalan bagaimana berkhidmat kepada umat dan menyebarkan dakwah Islam. Sebaliknya yang disibukkan buat ialah tahlil kepada orang mati, sedekah pahala yang tidak pasti dan buat makan-makan serta takirah atau ceramah yang kurang berkualiti. 

Itu belum bab politik apabila masing-masing menggunakan nass dan dalil agama untuk menghentam lawan masing-masing, berpecah sesama Muslim dan saling mencerca dan menghina pihak yang berbeza pendapat. 

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a, bahawasanya Rasulullah Salallahualaihiwassalam bersabda,

 لا تباغضوا ولا تقاطعوا ولا تحاسدوا ولا تدابروا وكونوا عباد الله إخوانا

"Janganlah kalian saling membenci, saling berdengki, dan saling bermusuhan. Jadilah kalian hamba Allah yang besaudara. [HR al-Bukhari] 

Manakala anak-anak muda pula jauh daripada sentuhan Iman dan agama, tertutup daripada mendapat hikmah tarbiyyah dan didikan orang tua sehingga merayau-rayau mencari arah tujuan dan haluan diri. Sedang kata sebahagian salaf terdahulu;

إن من نعمة الله على الشاب إذا تنسك أن يواخي صاحب سنة يحمله عليها

Di antara nikmat Allah ke atas para pemuda jika dia beragama ialah apabila dia dipersaudarakan (oleh Allah) dengan orang yang mengamalkan sunnah yang membawanya (membimbingnya) kepada al-sunnah.

Isu Gymnastik, Kun Anta, gejala selfie, dubmash, buat video gedik di youtube, Macam cantek jer, tutorial pakai kain pelikat, buli kawan di sekolah, gila artis Korea, khayal dengan novel suamiku encik ketam, gadis bertudung main gitar jadi penyanyi, purdah bermaskara dan gedik, 3gp video lucah, Gangnam style, Sakitnya Tuh disini, salafi vs sufi, anti hadith, anti-tesis, sosialis, liberal, syiah, candy crush dan bermacam lagi....

Kata Syeikh Sulaymaan al-'Alwaan, pakar hadith daripada Arab Saudi.

التوحيد إذا لم يمارسه المسلمون عملياً في حياتهم لم تثمر كلماتهم ولا كتاباتهم ولا تصوراتهم ولم يحصل لهم التمكين

"Tauhid apabila tidak dilatih dan diamalkan oleh kaum muslimin dalam hidup mereka maka ianya tidak akan membuahkan hasil pada ucapan, penulisan dan pandangan mereka dan mereka tidak akan mencapai kekuatan."

Banyak lagi yang perlu kita muhasabah..~

Idea Asal: Ustaz Emran Ahmad



p/s: jika kita boleh jadi 'baik' pada bulan Ramadhan, takkanlah tidak boleh pada bulan-bulan selainnya.. ^_^v

Saturday, June 13, 2015

Tarbiyyah, Hati dan Kecewa..~



Puncak kepada proses tarbiyyah sebenarnya adalah kebersihan hati.

Bersihnya hati dari cengkaman dunia dan kepentingan diri sehingga dunia tidak dapat mengapa-apakan hati kita; dihina, dipuji, dikritik, disanggah.. semuanya menjadi bahan muhasabah untuk mendekatkan diri pada Allah.

Hati sentiasa terbuka luas untuk menerokai hikmah dan iktibar. Bahkan nikmat kedua terbesar setelah nikmat Iman dan Islam menurut Ibnu Taimiyah ialah kefahaman yang betul dan hati yang bersih.

Kefahaman yang betul meluruskan jalan hidup manakala hati yang bersih yang hanya menginginkan keredhaan Allah menjadi sumber tenaga untuk menghadapi segala tekanan dan ujian perjuangan dengan sabar dan redha.

Alangkah indah munajat Rasulullah SAW setelah dihina dan disakiti di Taif. Dunia benar-benar tidak mampu berbuat apa apa.

وَهَوَانِي عَلَى النّاسِ يَا أَرْحَمَ الرّاحِمِينَ أَنْتَ رَبّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبّي ، إلَى مَنْ تَكِلُنِي ؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهّمُنِي ؟ أَمْ إلَى عَدُوّ مَلّكْتَهُ أَمْرِي ؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِك عَلَيّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي ، وَلَكِنّ عَافِيَتَك هِيَ أَوْسَعُ لِي ، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِك الّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظّلُمَاتُ وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَك ، أَوْ يَحِلّ عَلَيّ سُخْطُكَ لَك الْعُتْبَى حَتّى تَرْضَى ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوّةَ إلّا بِك

“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkaulah Tuhan golongan yang lemah dan Engkau juga Tuhanku. Kepada siapa Engkau serahkan aku ?

Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripadaMu lebih melapangkan aku.

Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaanMu terkena kepadaku. Engkau berhak untuk mencela aku sehingga Engkau redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”

Nota Siku



Allah sahajalah yang takkan jemu dengan kita. Dia sahajalah yang mempunyai kekuatan untuk memberikan kekuatan. Dialah sahaja yang menjadi tuan kepada kesedihan untuk memanggil kesedihan pergi dari membaluti diri kita.

Kadang kita terlalu fokus kepada manusia. Mencari perhatian mereka. Berusaha bermati-matian memuaskan hati mereka. Buat apa mereka suka, menjauh dari apa yang mereka tidak suka. Walau kita terluka. Sedangkan mereka juga bergelut mencari bahagia, lari dari kesedihan, dan sibuk memikirkan diri masing-masing. Bila kita berduka dan keresahan, mereka belum tentu ada. Bila kita mengadu dan memberikan luahan, mereka belum tentu memahami.

Tetapi Allah pasti faham dengan kita. Dia sentiasa ada. Tinggal apakah kita pergi kepada-Nya? Apakah kita bersungguh menggapai redha-Nya?

Kadang bersungguh mencari manusia yang belum tentu ada untuk kita, hingga mengabaikan Allah yang pasti ada buat kita. Itu antara puncanya kita jatuh dalam keresahan, kegelisahan, dan tidak tenang jiwa kita.



p/s: Cara yang paling mujarab untuk menghadapi manusia yang sedang bertalu-talu meluahkan kemarahan dan kekecewaannya ialah dengan berdiam diri dan jangan dilayan. Makin dilayan nanti tambah menjadi-jadi ragamnya. Sampai masanya dia akan diam sendiri.. ^_^v

Friday, May 22, 2015

Whatsapp dan Baik Sangka




Dewasa ini, teknologi semakin lama membuatkan sebahagian dari kita semakin SUSAH untuk bersangka baik.
 

Contohnya, aplikasi ‘whatsapp’.

Kalau dulu ada ‘last seen’, orang masih boleh terima lagi walaupun masa itu adalah sedikit  sangka buruk.

Tetapi selepas ada ‘double blue-ticks’ ataupun ‘right biru’ dalam ‘whatsapp’, semakin susah kita nak sangka baik. Macam-macam kita sangka buruk bila nampak ‘right biru’ tetapi orang tersebut tidak ‘reply’, malah sampai tahap FITNAH pun ada.

Manalah tahu orang tersebut tengah makan, sempat baca sahaja dan tangguh niat nak reply whatsapp kalian disebabkan tangannya masih kotor dan tidak sampai hati hendak kotorkan ‘iphone 9’ yang baru sahaja dibeli pada pagi tadi di Lowyat tingkat 4 sebelah kedai Samsung

Atau mungkin orang tersebut baru hendak solat, terbaca sekejap ‘whatsapp’. Ingatkan tazkirah, rupa-rupanya kalian bertanya apa yang sedang dibuat. Hendak dibalas, takut kantoi kerana baru hendak qada' solat Subuh pukul 12 tengah hari. Jadi ditangguhnya sekejap, tunggu lepas solat baru balas. Tiadalah dia menipu dengan berkata mahu Solat Dhuha kononnya, padahal qada' solat Subuh.

Malah mungkin juga dia tengah nyenyak tidur, tetapi jenis ‘species’ yang sensitif dengan bunyi dan vibrate. Bila kalian hantar whatsapp, dia terasa vibrate whatsapp dan bangun serta sempat buka whatsapp dengan mata tertutup. Akhirnya hanya mampu membaca dengan gaya mata kuyu mamai tetapi malas hendak reply sebab takut nanti reply dengan jawapan yang mengarut.

Boleh jadi juga dia tengah masuk tandas dan ‘melepaskan hajat’. Sekali kalian hantar pesanan  whatsapp padanya tanya dia tengah buat apa. Memang ‘kompem’ tidak akan  dibalasnya pada masa itu, kerana dia sedang ‘menumpukan perhatian’. Takkan la nak reply;

"Aku tengah melepas  ni. Ada hal apa?"

Mungkin juga orang itu tengah drive kereta, berani baca sahaja tetapi tidak berani reply kerana takut terbabas melanggar divider, sampai masuk gaung lalu terpatah tulang rusuk kiri dan terkeluar tulang bahu hingga usus besar pecah..... (arggh, tidak perlu diceritakan kisah ngeri apa yang berlaku seterusnya. Tak sesuai untuk budak-budak yang tiada whatsapp.

Sebenarnya, banyak lagi kemungkinan yang berlaku jikalau kalian nampak double blue-ticks dalam whatsapp, tetapi orang itu masih tidak reply lagi walaupun sudah beberapa jam ataupun beberapa hari berlalu. 

Mungkin juga dia lupa hendak reply kerana tangguh niat hendak reply masa baca whatsapp itu.

Justeru, marilah kita bersangka baik selagi mana boleh bersangka baik. Jangan biarkan teknologi membuatkan kita memfitnah orang lain tanpa sebab.



Senyum..=)


p/s: maaf jikalau ada kata-kata atau ayat-ayat yang dilihat 'kurang senonoh'..'Intuisiku' sedang mencuba gaya penulisan yang baru..semoga Allah ampunkan dosa ‘Intuisiku’ serta kita semua..

Sunday, May 10, 2015

Antara Sutra dan Bulan

Artist: Damasutra




Dan selembut bak sehalus sutra
Desiran angin terasa
Dan rembulan menatap riang
Ke wajah malam asyiknya

Di antara sutra dan bulan
Terlihat wajahmu kasih
Sedang merenungku
Dalam dilema rindu
(Pasrah cintaku)

Di antara lembut dan halus
Engkau bisikkan sesuati
Di antara engkau dan aku
Masih kau pendam rahsia

Mengapa antara kita
Engkau masih berahsia masih
Sedangkan aku
Engkau biarkan lesu

Ketuk bukalah pintu
Atau jendela waktu
Buka pintu kasihmu
Agar kasih bertemu
Restulah hulurkan tanganmu

Kasih aku merayu
Kasih usah membisu
Kasih aku menunggu
Tanpa ku rasa jemu

Sunday, April 26, 2015

Usrah Itu Keluarga?!


Bismillah..Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga Baginda dan para sahabatnya.

Setiap manusia mempunyai kecerunan dalam sesuatu hal berdasarkan minat hatinya. Minat ini boleh dipupuk ataupun bersifat semulajadi. Sesetengah meminati seni muzik, maka ia akan berterusan mendengar alunan muzik. Sesetengah meminati seni masakan, maka ia akan berterusan memasak. Minat kepada sesuatu bersifat subjektif. Maka, meminati usrah juga boleh dikira sebagai salah satu cabang kecerunan seseorang biarpun tidak terlalu jelas (obvious) berbanding contoh minat tadi.

Dalam gerakan dakwah, usrah merupakan tunjang utama yang digariskan sebagai satu elemen penting. Setiap ahli diwajibkan untuk mengikutinya. Namun, tidak semua ahli dakwah tersebut mempunyai kecerunan minat terhadap usrah kerana mempunyai latar belakang yang berbeza-beza.

Pertembungan

Di sini, berlakunya sedikit pertembungan di antara minat dan kepentingan usrah. Kerana kurangnya minat maka gerak kerja tersebut berlaku secara tidak konsisten. Sedangkan dakwah dan isinya merupakan sesuatu yang tidak statik dan terus berjalan. Ketidakseimbangan ini membawa kepada kekukuhan organisasi dakwah semakin rapuh.

Mendefinasi Kembali

Sahabat, ayuh kita mendefinasi kembali makna usrah itu. Usrah merupakan ikatan persefahaman atau perpaduan sesama ahlinya ke arah keharmonian agama dalam keadaan penuh mahabbah. Imam Hassan Al-Banna menggariskan tiga Rukun Usrah iaitu Ta'aruf, Tafahhum dan Takafful. Bagaimana ingin mengenal jika jarang bertemu. Pertemuan merupakan kunci ta'aruf. Bagaimana ingin tahu persefahaman jika tiada perbezaan. Rancakkan perbincangan ilmiah agar bertemu titik persamaan. Jika mantap keduanya maka apabila jarang bertemu ia akan menambah rindu, kurang perkongsian terasa serba kekurangan. Dengan itu, timbullah rasa tanggungjawab terhadap saudaramu. Saling melengkapkan terhadap diri masing-masing akan cuba dibina agar pertemuan, perbincangan dan perkongsian itu terjalin semula. Adakah dirimu merasai perasaan sesubur itu?

Membina Ukhuwwah

Sistem usrah membina ukhuwwah yang mantap jika sistemnya disusuri dengan nurani. Dari hal luaran sehingga dalaman mampu dikongsikan. Kesulitan didengari dan diteliti untuk diselesaikan. Ini akan menambah kepercayaan sesama ahli usrah. Tambahan pula, hati dan jiwa telah ditautkan dengan 'aqidah yang sama. Ketahuilah, ukhuwwah ini adalah anugerah dari Allah. Dalam Surah Al-Anfal:62-63 Allah menyebut,

"...Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan(sokongan) orang-orang yang beriman. Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara(hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Ketinggian nilai ukhuwwah inilah yang menjadi ketakutan musuh-musuh Islam kerana mereka terlalu mendambakan untuk melihat perpecahan demi perpecahan berlaku di antara kita. Allah telah mengiatkan kita dalam firman-Nya..

"Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan..."

Benarlah kata-kata Imam Al-Banna kepada Ikhwan;

" Berkasih-sayanglah antara kamu sama lain, berusahalah ke arah ikatan sesama kamu. Ia adalah rahsia kekuatanmu dan tonggak kejayaan kamu. Thabatlah kamu sehingga Allah membuka pintu hati antara kamu terhadap agama yang hak, sesungguhnya Allah Maha Pembuka"

Sahabat, benarkah usrah itu keluarga? Jawapanku..Ya, Benar!! Kerana kita berkasih sayang didalamnya.

p/s: rasanya, usrahlah jalan keluar kepada polemik yang melanda Gerakan Islam sekarang ini..~



Idea Asal: John al-Farouq