Friday, September 14, 2012

Hari Raya Eksklusif untuk Orang Bertakwa Sahaja – Entry yang Tertunda




‘Aidilfitri’... sebutan yang sepatutnya menjadi buah mulut umat Islam seluruh dunia. Inilah sebutan yang mungkin boleh mengembalikan kita kepada penghayatan sebenar sambutan hari raya. Mengapa tidak, selepas berpuasa selama sebulan, mengekang nafsu, mengikis mazmumah, kini kita seperti dikembalikan kepada fitrah yang suci bersih. Itulah hakikat taqwa.

Ya... ‘Aidilfitri’            jika diterjemahkan dalam bahasa kita bermaksud ‘kembali kepada fitrah’ dan jika dikaitkan dengan ibadah puasa sebagai latihan, maka hasilnya umat Islam kembali kepada fitrahnya sebagaimana mereka dilahirkan. Sebagaimana bayi dilahirkan tanpa dosa, maka begitulah mereka yang berpuasa Ramadhan. Pada hari raya mereka kembali kepada bersih daripada dosa.

Tetapiu berapa ramai yang boleh mengekalkan kesucian dan kebersihan hati daripada dosa?! Usaha yang dilakukan sebulan dalam bulan Ramadhan, musnah hanya satu hari pada hari raya. Dosa sebelum Ramadhan disambung semula pada hari raya pertama. Makan minum sudah tidak berkira lagi. Malah pergaulan bebas tanpa batas, tabiat buruk memfitnah dan mengumpat subur semula.

Hari raya ini diraikan sebulan kerana Syawal adalah sebulan. Walaupun setiap hari tersebut dipenuhi dengan kunjungan kemesraan, menghubungkan silaturrahim disambut pula dengan ucapan “Selamat Hari Raya; Maaf Zahir dan Batin”, namun mereka tetap membawa dosa bersama. Jadi, sambutan hari raya telah mengembalikan mereka kepada dosa.

Fenomena Rumah Terbuka

Fenomena baru dalam amalan menyambut hari raya di negara kita telah banyak mengubah cara rakyat Malaysia berhari raya. Kalau dahulu, rumah terbuka hanya berlaku pada hari raya pertama iaitu semua rumah umat Islam dibuka kepada semua pengunjung terutama sanak saudara. Dan yang paling gembira ketita itu tentunya anak-anak kerana setiap kali mengunjungi rumah terbuka, mereka akan diberi duit raya walaupun sekadar 50 sen.

Suasana itu akhirnya berubah terutamnya di Bandar apabila rumah terbuka pada hari pertama tidak boleh diadakan kerana kebanyakan umat Islam di Bandar pulang ke kampong. Bagi menggantikannya, maka diwujudkan rumah terbuka selepas seminggu kembali ke Bandar. Cuma pada kali ini, hanya sanak saudara dan sahabat handai dijemput. Sedangkan jiran tetangga tidak dilibatkan sama.

Walaupun namanya rumah terbuka, konsepnya sudah berubah daripada konsep asalnya. Kalau dahulu, jiran dan sahabat handai boleh dating pada hari tersebut, tetapi kini semuanya mesti dijemput atau diundang terlebih dahulu. Lalu jiran yang tidak mendapat undangan, tidak berani berkunjung.

Selain itu, pemimpin tempatan juga turut membuat rumah terbuka untuk member peluang kepada rakyat atau orang yang berada di bawah lembayung pimpinannya untuk bermesra dengan mereka. Walaupun semua rakyat boleh dating berkunjung tanpa jemputan khusus, namun dek kerana kehadiran terlalu ramai, pemimpin tidak dapat beramah mesra dengan semua pengunjung. Malah kadang-kadang ada yang tidak dapat makanan.

Kalau begitulah keadaanya, sambutan hari raya yang disambut sebulan itu masih tidak mencapai objektifnya. Sambutan hari raya yang sepatutnya melahirkan rasa terima kasih dan syukur kepada Allah kerana dikembalikan kepada fitrah, telah bertukar kepada majlis dosa dan maksiat. Di mana silapnya sambutan hari raya di Malaysia?!

Layakkah Berhari Raya?!


Sebenarnya, sambutan hari raya yang kita sambut kini lebih kepada adat dan budaya yang langsung tiada nilai ibadah. Bayangkan berapa ramai yang bertakbir, bertasbih dan bertahmid pada malam hari raya?! Realitinya, lebih ramai yang membuat persiapan akhir menyambut raya; memasang langsir, mengemas rumah dengan susun atur yang baru dan sibuk memasak ketupat, lemang dan pelbagai juadah hari raya.

Malangnya pada pagi hari raya pula terlambat bangun lalu tergesa-gesa mandi dan terlupa niat mandi sunat hari raya. Kemudian tergesa-gesa pula ke masjid, lalu acara bersalaman dengan ibu bapa dilakukan tanpa terlebih dahulu bersarapan pagi sebelum ke masjid. Inilah ibadah yang sering mereka lupa kerana mengutamakan tradisi.

Semasa menunggu solat Aidilfitri dimulakan, ada jemaah yang tidak sama-sam bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Malah ada yang tidak tahu untuk menyebutnya dengan betul. Ada perkataan yang tidak boleh disebut dengan baik padahal mereka ada peluang untuk belajar.

Mengapa semua itu berlaku?! Ya, barangkali inilah cara orang yang menyambut tanpa takwa. Hakikatnya mereka sama-sama mahu meraikan kejayaan orang yan Berjaya beroleh ketakwaan. Walaupun mereka sendiri tidak layak berhari raya sebagai orang bertakwa, namun mereka tetap diberi peluang menikmati hari raya.

Aidilfitri memang selayaknya untuk orang yang beroleh takwa. Pada malam hari raya, mereka berazam untuk mengekalkan sifat takwa. Mereka sangat berhati-hati dengan dosa, tidak mahu terlibat dengan amalan yang boleh menimbulkan fitnah. Mereka amat takut kepada Allah lalu meninggalkan larangan Allah sepanjang masa.

Bagaimana kita pada hari raya ini?! Adakah kita memiliki takwa seperti yang dijelaskan di atas?! Percayalah, kalau kita sudah berpuasa dengan baik, pasti natijah takwa akan menghiasi kita. Setelah itu, sanggupkah kita merosakkan takwa itu dengan hanya satu hari pada hari raya?! Yang pasti, orang yan bertakwa tidak mungkin akan melakukan dosa sepanjang menyambut hari raya.

Hari Raya Sebenar


Menyedari keadaan di atas, marilah kita menyambut hari raya kali ini dengan menepati kehendak Islam, sekali gus dinilai sebagai ibadah. Untuk itu, hiasilah hari raya bermula malamnya dengan beberapa acara ibadah:

a) Penuhi malam raya dengan takbir, tasbih dan tahmid sebaik sahaja terbenam matahari akhir Ramadhan. Boleh lakukan di mana-mana sama ada sewaktu berziarah ataupun bersendirian. Amalan sunat ini akan tamat sebelum imam mengimamkan solat.

b) Saling menziarahi dan mengucapkan tahniah atau selamat hari raya, tanda gembira atas kejayaannya melepasi ujian puasa hingga beroleh takwa. Boleh kita gunakan ucapan lazim; “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.” Akan tetapi dicadangkan sedikit tambahan iaitu; “minal ‘aidin wa al-fa’izin, kullu ‘amin wa antum bikhair.” Maksudnya, semoga kita berada dalam klangan orang yang kembali kepada fitrah dan Berjaya, setiap tahun hendaknya kamu dalam kebaikan.

c) Boleh mulakan ucapan tersebut kepada yang lebih tua; isteri terhadap suami’ anak kepada ibu bapa, pekerja kepada majikan, rakyat kepada pemimpin dan akhirnya sesame sahabat handai juga kawan taulan.

d) Mandi sunat hari raya, walaupun wanita dalam haid.

Menghadiri tempat solat lebih awal untuk membolehkan mereka bertakbir dan mendengar khutbah raya, termasuk juga bagi wanita yang dalam keadaan haid.

e) Lakukan solat hari rayabagi yang boleh melakukan solat.

f) Memberi sumbangan raya keoada anak-anak terutama anak yatim.

g) Menunaikan zakat fitrah sebelum imam memulakan solat sunat hari raya.

Jika semua inidapat dilakukan oleh umat Islam, maka sepanjang hari mereka telah melakukan ibadah dan kebajikan. Namun jangan dilupa, ibadah fardhu tidak boleh diabaikan sama sekali. Inilah kesempurnaan ibadah dan kebajikan yang melengkapkan ketakwaan umat Islam.

Manakala pada hari kedua Syawal, tiada lagi sambutan hari raya secara berlebihan. Sebaliknya terus melakukan ibadah puasa Syawal selama 6 hari. Bahkan puasa ini amat dituntut oleh Rasulullah;

“Sesiapa yang telah berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari pada Syawal (puasa), maka ia seperti (pahala) puasa al-dahr (setahun).”
(HR al-Bukhari, no 6502)

Justeru mulakan dengan puasa sunat selepas sempurna Ramadhan. Bagi mereka yang perlu qada puasa Ramadhan, eloklah dahulukan qada daripada yang sunat ini. Demikianlah bagi melengkapkan puasa setahun seperti yang ditawarkan dalam hadith di atas.

Umat Berjaya


Umat Islam yang Berjaya menempuh Ramadhan dengan sempurna dan diikuti dengan amalan sunat di atas, pasti akan memiliki akhlak mulia. Mereka ini bukan sahaja berakhlak sesama manusia, berbudi bahasa, bertoleransi dan saling bertolong bantu sesame manusia, tetapi lebih utama mereka berakhlak mulia dengan Sang Maha Pencipta.

Inilah konsep takwa yang diinginkandaripada ‘madrasah’ Ramadhan. Mereka mungkin terlibat dengan amalan dosa sama ada dengan manusiadan lebih-lebih lagi dengan Allah. Bayangkan jikalau manusia sperti ini dapat dilahirkan daripada madrasah Ramadhah, pasti banyak kemajuan dapat dihasilkan di dunia ini.

Manusia tersebut sudah tentu umat Islam yang berjiwa kuat dan murni dalam mempertahankan kebenaran Allah. Ketika itu, umat Islam sudah ada kekuatan yang sukar ditandingi. Malah orang bukan Islam boleh meletakkan kepercayaan kepada umat Islam sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, umat Islam yang digambarkan di atas terlalu sedikit berbanding dengan golongan yang masih hanyut dalam kehidupan yang sia-sia. Mereka tidak mendapat manfaat daripada puasa yang dilakukan selama sebulan. Golongan inilah yang perlu disedarkan agar mereka semua boleh menjadi orang Mukmin yang bertakwa suatu hari nanti. ^_^y


No comments: