Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merakamkan rasa
terganggu dan terkilan dengan gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam
proses pengurusan Pilihanraya Kampus (PRK) UIAM oleh pihak berwajib.
Proses pembuangan undi bagi PRK UIAM telah berlangsung pada 25
September 2012 (Selasa) bermula jam 9.10 pagi dan berakhir pada jam 5.10
petang. Proses pembuangan undi dijalankan oleh jawatankuasa pilihanraya
kampus yang diketuai oleh Datuk Dr. Mizan Bin Hitam yang juga merupakan
Timbalan Rektor UIAM dengan kekuatan jawatankuasa seramai lebih kurang
300 orang staf.
Pengumuman keputusan PRK yang sepatutnya berlangsung pada pukul 6.00
petang ditangguhkan ke pukul 8.00 malam. Kira-kira jam 8.20 malam, Datuk
Dr. Mizan tiba ke tempat pengumuman keputusan iaitu di Dewan
Eksperimental (Experimental Hall) untuk mengumumkan keputusan.
Malangnya, Datuk Dr. Mizan sekali lagi bertindak melambat-lambatkan
pengumuman keputusan PRK dengan menganjurkan para mahasiswa untuk
berselawat. Beliau kemudiaannya membacakan kenyataan media yang telah
pihak beliau keluarkan kepada media yang dilakukan sebelum pengumuman
keputusan dibuat di hadapan para calon yang bertanding dan pelajar yang
mengundi.
Dalam kenyatan media yang beliau bacakan, beliau menyatakan masalah
‘failure data encryption’ berlaku dalam sistem e-voting. Beliau
memberikan beberapa contoh ketidak-selarian yang berlaku antara
peratusan pengundi dengan jumlah undian.
Justeru, beliau mengumumkan, pihak jawatankuasa pilihanraya kampus
mencadangkan untuk menangguhkan keputusan PRK dengan mengadakan
pilihanraya semula secara manual disebabkan masalah teknikal seperti
yang disebutkan tadi.
Sesi dialog diadakan selepas selesai pembacaan kenyataan media oleh
Datuk Dr Mizan. Polemik berterusan dan pelbagai persoalan dan cadangan
dikemukan oleh para mahasiswa UIAM dari kampus Gombak dan Kuantan atas
kemusykilan dan rasa tidak senang dengan pengumuman yang dilakukan.
Berhubung kejadiaan ini, mewakili kelompok mahasiswa yang sedar dan
prihatin, kami mengenalpasti empat permasalahan dan kemusykilan utama
yang perlu dijawab oleh pihak yang berwajib:
1. Pihak jawatankuasa PRK di bawah kepimpinan Datuk Mizan telah
secara pasti mengetahui masalah teknikal yang berlaku berkaitan polling
system sejak jam 6.00 petang iaitu pada waktu yang sepatutnya
pemngumuman keputusan PRK dibuat. Justeru, mengapa pihak berwajib
bertindak menzalimi para mahasiswa yang terpaksa menunggu lama menanti
pengumuman keputusan PRK tanpa sebarang notis segera penangguhan masa
pengumuman? Hanya setelah kira-kira jam 7.05 malam, barulah dimaklumkan
tentang sesi pengumuman ditangguh ke pukul 8.00 malam.
2. Mengapa pengumuman penangguhan keputusan PRK dimaklumkan kepada
pihak media terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada para calon dan
pengundi? Tindakan seperti ini menggambarkan sikap tidak profesional
oleh pihak berwajib kerana tidak mampu membuat pertimbangan awlawiyat
(keutamaan) kepada pihak mana harus dimaklumkan terlebih dahulu. Kami
berpandangan calon dan pengundi harus diutamakan kerana mereka terlibat
sebagai pemegang-taruh (stake holders) dalam PRK.Tindakan ini
menggambarkan seolah-olah pihak pengurusan PRK atau pihak pentadbir
tidak menghormati calon dan para pengundi.
3. Kami juga berasa hairan bagaimana media seperti NTV7 dan TV9 boleh
mengumumkan keputusan palsu di stesen masing-masing dalam slot berita
sedangkan menurut pihak pentadbir UIAM, kenyataan media yang dikeluarkan
secara rasmi oleh UIAM adalah sepertimana yang dibacakan. Menurut staf
UIAM yang menjaga jaringan media, wartawan NTV7 yang menerbitkan berita
palsu berkenaan PRK di UIAM diambil dari internet. Lihat, bagaimana
pihak media mencemar etika kewartawanan dan integriti dalam menyiarkan
informasi kepada rakyat.
4. Kami juga ingin menyatakan keraguan kami terhadap ketelusan proses
pilihanraya dijalankan. Penangguhan pengumuman keputusan dan sikap
melewat-lewatkan pengumuman yang dilakukan oleh pihak jawatankuasa PRK
membangkitkan kemusykilan apakah pihak yang terbabit mampu
mengurus-tadbir perjalanan PRK. Beberapa aduan diterima tentang
kekeliruan dan kesamaran yang berlaku dalam proses pembuangan undi.
Malah, terdapat beberapa informasi yang salah daripada staf yang
terbabit dengan proses pilihanraya yang menunujukkan ketidak-sediaan
pihak jawatankuasa PRK dalam menguruskan PRK di UIAM.
Oleh yang demikian, kami menyatakan beberapa tuntutan:
1. PRK yang bakal dijalankan semula mestilah telus dan profesional.
- Kami menuntut supaya mahasiswa juga menganggotai jawatankuasa PRK.
- PRK punya aturan yang jelas, telus dan tidak terdedah kepada sebarang kemungkinan manipulasi.
- Melibatkan wakil calon sebagai pemerhati sepanjang proses pembuangan undi dijalankan sehinggalah kepada proses pengiraan undi.
- Menukar pengerusi jawatankuasa PRK kampus UIAM, Datuk Dr. Mizan Bin Hitam
2. Memohon maaf secara terbuka dan bertulis kepada para calon dan mahasiswa yang mengundi kerana layanan buruk dan sikap tidak hormat kepada para mahasiswa UIAM kerana melewatkan pengumuman tanpa notis dan mengumumkan keputusan PRK kepada media sebelum para mahasiswa.
3. Atas nama pilihanraya yang telus dan adil, kami mendesak pihak
jawatankuasa PRK UIAM untuk mengeluarkan data-data pengundian yang
dikatakan bermasalah dengan secepat mungkin. Ini mampu membangkitakan
semula rasa yakin kami terhadap keboleh-upayaan pihak jawatankuasa PRK.
4. Menafikan berita palsu berhubung keputusan yang disebarkan melalui
media massa seperti NTV7 dan TV9 dan UIAM perlu mengambil tindakan
undang-undang yang sewajarnya terhadap pihak media yang terbabit untuk
membersihkan nama universiti yang dicemar dengan berita-berita palsu.
5. Kami menuntut agar hari pembuangan undi diisytiharkan sebagai hari
cuti bagi memudahkan semua mahasiswa dapat menjalankan tanggungjawab
mengundi dengan lancar.
Sekian, terima kasih.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Kelab Maaruf UIAM (MC)
Sumber: Harakahdaily (27 September 2012)
1 comment:
Hmmm.. UIA oh UIA..
Post a Comment