Monday, September 24, 2012

Pilihan Raya Kampus (PRK): Mahasiswa Perlu Bijak Memilih Pemimpin untuk Jamin Kebajikan Terbela


PRK Datang Lagi!


Kelmarin, 5 buah universiti memilih untuk menjalankan proses membuang undi. Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem), mendahului senarai 25 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang akan memilih barisan kepimpinan pelajar. Diikuti pada 25 September ini, 20 lagi IPT akan menyusul dengan hari pembuangan undi masing-masing.

Pilihan Raya Kampus (PRK) kali ini juga adalah yang pertama diadakan selepas pindaan Rang Undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan 2012), yang membenarkan pelajar universiti memegang jawatan dalam mana-mana persatuan atau pertubuhan di dalam dan di luar kampus.

PRK memang menjadi tumpuan pemerhati, penganalisis serta ‘pemain’ politik, malah ia dianggap cerminan kepada kecenderungan generasi muda khususnya mahasiswa terhadap ideologi politik pilihan.

Pengaruh Politik Luar 


 Sepanjang tempoh penggal kepimpinan mahasiswa sesi lepas, pelbagai insiden berlaku. Daripada kejadian ‘mogok jam 2 pagi’, pemberian ‘cuti rehat’ kepada seorang tokoh akademik di sebuah IPT, demonstrasi menuntut kebebasan akademik, pembuangan kolej pelajar-pelajar serta penggantungan seorang mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Indris (UPSI), ‘perkampungan’ menuntut PTPTN free, terbabit demonstrasi anjuran NGO dan bermacam-macam lagi.

Menariknya seperti sebelum ini, pilihan raya kampus diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Mungkin ada ‘isyarat’ dan tanda yang boleh dilihat. Mungkin juga ada keputusan yang boleh ‘dibaca'.

Tidak keterlaluan jika dikatakan mahasiswa turut berminat dengan pengaruh partisan, sekali gus menjadikan parti politik luar sebagai idea dan landasan mengangkat hala tuju masing-masing. Ternyata juga mahasiswa tidak bertepuk sebelah tangan. Pengaruh dan ‘campur tangan’ politik luar (tidak kira NGO, kerajaan ataupun pembangkang) secara tidak langsung berlaku secara senyap dan tidak kelihatan. Keadaan ini dapat dilihat jelas daripada gaya, pembawaan serta manifesto yang diangkat oleh kepimpinan mahasiswa.

Biasalah anak muda, belum masak sempurna. Bukan sukar menelaah pemikiran dan kecenderungan mereka. Namun, itu bukanlah perkara pokok yang terus-terusan harus dikesali memandangkan mereka sudah diberi kebebasan berfikir dan telahpun ‘dibenarkan’ berpolitik.

Mahasiswa Benci Politik Berkepentingan


Cabaran hari ini ialah bagaimana puluhan ribu mahasiswa di 25 IPT ini bersedia sebelum membuat pilihan masing-masing. Rata-rata mahasiswa mempunyai pemikiran ‘suci’, ‘bersih’ serta benci akan permainan politik berkepentingan.

Tanyalah mana-mana mahasiswa pun, pasti yang mereka mahukan ialah kebajikan mereka terbela. Persoalannya, bagaimana membela kebajikan itu menjadi titik tolak kepada hala tuju memenangi hati pengundi. Adakah kebajikan dapat terbela dengan harapan dan laungan angan semata-mata melalui suara amarah atau segala budi yang telah dibakti melalui janji dan komitmen tanpa henti?!

Sebagai pengundi, mahasiswa wajar meneliti setiap calon yang menawarkan diri. Bukan sekadar asal undi atau mengundi kerana ‘kebetulan’ melintas di dewan pengundian. Personaliti calon menggambarkan pembawaan kendiri dan sifat peribadinya.

Bagaimana kita mampu memilih calon yang keliru pemikirannya, apatah lagi sekiranya seseorang itu hanya petah berhujah bicara sedangkan komitmennya tiada?! Sekejap dikata itu dan sekejap lagi dikata ini tetapi hasilnya nyata tidak pernah yang menjadi. Siapakah pula yang mahu pemimpin dari kalangan yang tidak tetap pendiriannya, diibarat ‘katak’ yang ‘melompat’ ke sana, ‘melompat’ ke mari?!

Selain itu, latar belakang akademik turu memainkan peranan penting. Calon yang bakal dipilih wajar dalam kalangan mereka yang tersohor akal pemikirannya. Latar belakang akademik yang baik mencerminkan kebolehfikiran, komitmen dan daya juang dalam bidang pelajaran serta ‘kecerdikan’ dalam memilih aulawiyat untuk diutamakan.

Apapun keadaanya, keputusan ada di tangan mahasiswa. Inilah platform awal mereka didedahkan dengan proses pengundian, pemilihan dan pembentukan kepimpinan sebelum terbabit serta membuat pilihan untuk satu pilihan raya yang lebih besar, iaitu PRU-13 yang akan datang.

Akhir kata, ‘Intuisiku’ tinggalkan para pembaca dengan bait-bait kata lagu yang pernah didendangkan oleh kumpulan The Zikr dan SaffOne ini:

Pilihlah pemimpin yang takutkan Allah
Yang minta dibantu menegak kebanaran
Yang minta ditegur kalau ia bersalah
Yang tidak menyebut apa jua jasanya
Yang tidak banyak membuat janji manis

Biasanya seorang pemimpin itu
Ia mempunyai ilmu yang sederhana
Jiwanya kental dan juga gigih
Dapat pengalaman dari hidup
Kalau kita nak tahu
Pemimpin yang sejati ia tak berjawatan pun masih dihormati
Oleh semua pengikutnya

Biasanya pemimpin yang sejati itu
Ia tersendiri ada panduan yang diberi
Ada karisma semulajadi
Mendidik pengikut hingga taat setia
Tidak berbelah bagi

(Pemimpin Sejati - Ashaari Muhammad, 1987)




p/s: Selamat menjalankan tanggungjawab buat seluruh mahasiswa/i dalam PRK yang akan tiba tidak lama lagi. Buat pemimpin yang bakal bertanding, tunaikanlah tanggungjawab anda sekiranya berjaya beroleh mandat dan sekiranya anda gagal, usah berduka lara. Bantulah pemimpin yang dipilih dalam menjamin kemaslahatan bersama.. ^_^y

No comments: