Tuesday, October 21, 2014

Kempen Sentuh Anjing: Antara Kemanusiaan dan Anti-Kemanusiaan




Sekali lagi perbahasan tentang hukum menyentuh anjing menyerabuti masyarakat Melayu setelah ia menjadi polemik umum hampir 80 tahun yang lalu. Pada bulan Januari 1937, Sultan Kelantan telah menganjurkan perdebatan terbuka antara golongan kaum Muda yang dibarisi oleh Haji Nik Wan Musa Abdul Samad (bekas Mufti Kelantan), Haji Abbas Taha (Kadi Singapura) dan Dr Burhanuddin al-Helmi dengan golongan kaum Tua yang terdiri dari Haji Ibrahim Yusuf (Mufti Kelantan), Haji Ahmad Ismail (Ketua Kadi Kelantan) dan Haji Abdullah Tahir. Masing-masing telah mengemukakan pandangan dengan dalil dan hujah berpandukan sumber-sumber Islam. Setelah masing-masing mengemukakan pandangan, maka Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih pandangan yang sesuai.

Kaum Muda telah mengemukakan pandangan mereka dengan dalil dan hujah yang wibawa, bahawa boleh berpegang kepada pandangan mazhab Maliki (Talfiq) bahawa anjing tidak najis, tidak sebagaimana pegangan tradisi masyarakat Melayu berpandukan mazhab Shafie. Perdebatan itu juga diketahui umum, terutama di kalangan masyarakat Melayu Kelantan. Namun demikian, sehingga hari ini setelah hampir 80 tahun perdebatan itu berlaku, sukar untuk mencari sebuah keluarga Melayu termasuk yang berpegang kepada mazhab Maliki memelihara anjing untuk tujuan keselamatan, apatah lagi sebagai binatang peliharaan. Jelaslah, ada satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam pengamalan Islam selain daripada dalil dan hujah, iaitu budaya atau ‘uruf.

Budaya adalah satu proses evolusi yang panjang membentuk cara hidup sesebuah masyarakat berinspirasikan pandangan semesta (worldview), hukum (termasuk adat) dan sistem nilai untuk disesuaikan dengan persekitaran mereka. Tempoh evolusi cara hidup yang kemudiannya membentuk budaya ini sememangnya sukar untuk ditentukan, tetapi lazimnya ia berlaku secara tidak disedari malah seperti semulajadi (natural) sifatnya. Revolusi cara hidup untuk membentuk budaya adalah satu pemaksaan terhadap masyarakat, yang lazimnya pula akan mencetuskan konflik malah boleh juga membawa kepada persengketaan yang serius. Demikian juga, revolusi cara hidup lazimnya tidak mapan.

Seorang tokoh Sosiologi Amerika, Charles A, Ellwood, pernah menulis panjang lebar teori-teori yang berkaitan dengan evolusi cara hidup, yang menurut pandangannya tidak sama dengan evolusi sosial. Boleh disimpulkan, beliau cuba mengemukakan teori evolusi cara hidup yang bersifat organik. Dalam konteks tradisi keilmuan Islam, evolusi budaya ini telah lebih dahulu dibahaskan oleh Ibn Khaldun sehingga beliau dikenali sebagai bapa sosiologi oleh para ilmuan moden. Salah satu teori yang menarik juga tentang perubahan budaya ialah Structuralism, yang menyarankan bahawa budaya itu adalah interaksi manusia dengan sistem dan struktur yang lebih menyeluruh dan luas.

Berdasarkan pandangan-pandangan tersebut, dekonstruksi budaya bukan satu perkara yang mudah malah ada yang melihat lebih sukar dari dekonstruksi ilmu atau epistemologi. Perdebatan isu anjing 80 tahun yang lalu boleh dilihat usaha untuk dekonstruksi ilmu, walaupun gagasan Dekonstruksinisme (Deconstructionism) ini dikemukakan lewat sedikit oleh Jacques Derrida. Dekonstruksi ilmu secara aktif melibatkan para ilmuan melalui wacana dan debat yang dilingkungi oleh etika berbahas, justeru dampaknya terkawal. Bagaimanapun, dekonstruksi budaya atau ada yang menyebut Pasca-strukturalisme akan turut melibatkan masyarakat bukan ilmuan yang akan menatijahkan dampak yang sukar dikawal malah boleh membawa kepada persengketaan, sehingga ada yang menyebutnya anti-kemanusiaan.

Kempen “I Want to Touch Dog”  pada pandangan saya bukanlah satu bentuk dekonstruksi ilmu sebagaimana perdebatan yang dianjurkan di Istana Sultan Kelantan hampir 80 tahun yang lalu. Perdebatan tentang isu anjing ini berterusan berlaku sehingga hari ini, kadang-kadang suhunya tinggi dan kadang-kadang suhunya rendah. Malah perdebatan seperti ini akan berterusan sehingga bila-bila atas asas, perkara ini adalah khilaf yang sifatnya tidak berkesudahan. Pada pandangan saya kempen “I Want to Touch Dog” ini satu usaha untuk dekonstruksi budaya yang dampaknya boleh melewati sensitiviti dan mencetuskan suasana tidak terkawal. Sebelum suasana tidak harmoni berlaku dalam masyarakat, usaha anti-kemanusiaan seperti ini termasuk “Pesta Arak Oktoberfest” yang lalu perlu diberhentikan.

Nukilan;
Dr Mohd Zuhdi Bin Marzuki
21 Oktober 2014
26 Zulhijjah 1435

Pegang Anjing: Hukumnya Jelas, tetapi Digunakan untuk Tujuan yang Salah



Isu pegang anjing yang heboh sehari dua ini bukan sekadar dibincangkan dari sudut hukum atau dari sudut fiqh, tetapi lebih dari itu ia perlu dibincangkan dari sudut pemikiran moden yang berkembang dalam kalangan generasi baru. 

Dari sudut fiqh, ada mazhab yang ketat dalam isu pegang anjing dan pula mazhab yang memberikan ruang dan kelonggaran seperti mazhab Hanafi. Ia sepatutnya tidak menjadi masalah yang besar kerana wujud kelonggaran dari sudut agama. 

Masalahnya ialah ia bercanggah dengan adat dan tradisi orang Melayu di negara ini yang berasa canggung dengan anjing. Ia dikukuhkan dengan mazhab fiqh orang Melayu yang berasaskan kepada mazhab kurang mesra dengan anjing. Kalau pegang pun, hanya perlu basuh sahaja bukanlah haram.

Dari sudut pemikiran, mengetengahkan isu pegang anjing merupakan suatu jenis pemikiran yang dinamakan sebagai post modernism iaitu pemikiran yang sentiasa mengkritik apa yang telah mapan atau yang sudah biasa diamalkan dalam masyarakat atau melakukan sesuatu menyanggah kebiasaan masyarakat. Ia menjadi trend semasa kepada generasi masa kini yang dipercayai atas alasan itu adalah hak mereka.

Banyak aktiviti kehidupan generasi masa kini yang cuba menyalahi amalan kebiasaan pada masa lalu yang dianggap sebagai inovasi. Malah, menyanggahi amalan kebiasaan dalam sesetengah keadaan sangat digalakkan atas nama inovasi. Memang tidak semua sanggahan terhadap tradisi itu haram melainkan sekiranya menyanggah perkara yang diwajibkan di dalam agama. 

Sikap suka menyanggahi amalan tradisi termasuk agama adalah sifat utama kepada liberalisme dan pluralisme yang cuba membebaskan diri dari sebarang ikatan autoriti. Sifat agama yang mengikat tidak membenarkan penganutnya membebaskan diri dan melakukan amalan ikut hawa nafsu. 

Namun, bagi seorang pluralis dan liberalis, tradisi dan agama telah mengongkong kehidupan mereka. Maka, menyanggahi tradisi termasuk agama adalah suatu keperluan. Mereka mengkritik biarpun perkara yang sudah tetap di dalam agama. Fenomena inilah yang disebut sebagai post modernism.

Isu pegang anjing merupakan suatu usaha yang halus yang boleh dikaitkan dengan usaha untuk meruntuhkan pegangan umat Islam terhadap tradisi, termasuklah agama. Setakat ini, pegang anjing bukanlah suatu isu penting yang perlu diangkat sebagai bahan perbincangan oleh umat Islam. Banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian oleh orang Islam seperti isu akidah, isu arak dan sebagainya. Tetapi ia diangkat sebagai isu yang penting dipercayai mempunyai agenda yang tertentu dan sebahagian dari kempen besar contestation dalam “politik baru” yang ingin dibawa masuk ke dalam negara ini. Kali ini mungkin pegang anjing, mungkin akan datang lain pula isunya. 

Saidina Ali pernah berkata; “kata-kata yang betul, tetapi digunakan untuk tujuan yang salah.” 


p/s:  Post modern adalah asas kepada Islam liberal dan post Islamism. Mereka suka mengkritik walaupun perkara yang tetap di dalam Islam.



Nota Siku:

Pesta arak.
Pesta anjing.
Pesta-pesta maksiat yang lain....

Usaha terancang untuk tanam kebencian masyarakat kepada para ulama' dan ustaz-ustaz. 

Akan timbul satu ungkapan;
"Para ulama', ustaz-ustaz.....asyik tahu HARAM sahaja !!"

Senyum..=)


Monday, October 20, 2014

I Want To Touch A Dog




“I Want To Touch A Dog”. Sebuah program yang dilaksanakan oleh mereka yang jahil agama. Jahil ilmu fiqh mazhab Syafie. Jahil ilmu 'uruf. Jahil ilmu fitnah khilafatul 'uruf. Jahil ilmu fiqh Aulawiyat. Dan segala kejahilan yang terkandung di dalamnya.

Program yang mampu mencipta fitnah (kekacauan dan kekeliruan) di kalangan orang awam yang kurang ilmu fiqh. Contoh fitnahnya, akan wujud mereka yang ingin sesuka hati menyentuh dan membelai anjing tanpa sebab, akan wujud mereka yang berniat untuk membela anjing sebagai haiwan dalam rumah untuk bermanja (asalkan boleh sertu lepas pegang, kononnya), dan bermacam fitnah lagi.

Kita menghormati pendapat mazhab lain yang menyatakan tubuh anjing bukan najis jika tiada didapati najis mughallazah (air liur dan tahi) pada tubuhnya. Namun kita juga harus menghormati pegangan 'uruf masyarakat setempat di mana Malaysia berpegang pada pendapat mazhab Syafie. Bila anda ada di rumah orang, anda tak boleh buat rumah dia macam rumah sendiri, tak gitu? Walaupun tuan rumah tu hormati perilaku dan perbuatan anda, namun tak bermakna dia redha anda melakukannya di dalam rumahnya.

Di sini saya menjelaskan kembali hukum mengenai anjing. Program pelik itu telah melanggar dua point yang saya berikan di bawah, iaitu point pertama dan kedua:

Hukum Menyentuh Anjing

1. Memang wujud khilaf di kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Secara ringkasnya, dalam mazhab syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah (Imam Nawawi, Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini), selain mazhab Syafie (yakni mazhab Hanbali, Maliki, Hanafi) menyatakan hanya air liurnya sahaja najis. Ini berdasarkan hadis:

“Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.”

[Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

Jadi, hukum menyentuh anjing memang ada khilaf. Yang pasti, haram SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis ke atas tubuh kita. Jadi, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita basah/lembap/berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.

Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab Syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya.

**Dalam program tersebut, adakah peserta dan trainer yakin sepenuh jiwa anjing tersebut tidak menjilat tubuhnya? Dan adakah semua mereka yakin benar anjing atau tangan mereka dalam keadaan kering? Jika tak yakin, bodoh namanya. Jika pegang pada "alaaa.. lepas pegang boleh sertu (samak ikut sesetengah pemahaman orang)", ikut hukum fiqh, sengaja meletakkan diri dalam keadaan menyusahkan juga dibenci agama.

Hukum Membela Anjing

2. Namun tiada khilaf dan telah ijmak (sepakat) antara semua ulama-ulama muktabar muttaqaddimin dan mutaakhirin bahawa, tidak dibenarkan seorang Islam untuk membela anjing menjadi haiwan belaan, sebagaimana kita bela kucing, yang kita peluk, cium, belai dan sebagainya, KECUALI membela atas 5 sebab yang dibenarkan, iaitu:

i. Untuk menjaga harta
ii. Untuk menjaga tanaman
iii. Untuk menjaga ternakan
iv. Sebagai anjing untuk memburu
v. Menjaga keselamatan keluarga

Nabi SAW bersabda:

 "Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath."

[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: 

"Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya."

[Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]

Juga daripada Ibnu Umar berkata:

"Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak."

[Riwayat Muslim no. 1571]

"Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan (harta/keluarga/diri/ternakan/ternakan), maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari"

[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: 

“Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar"

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Syaratnya:

1) HARAM bela anjing di dalam rumah
2) WAJIB beri makan minumnya
3) HARAM mendera atau mencederakannya
4) HANYA atas 5 sebab di atas sahaja

**Peserta-peserta program tu dah peluk, sentuh, belai anjing. Adakah ia dibenarkan? Tidak sama sekali.

3. Walaubagaimanapun, anjing tetap bukanlah haiwan yang wajar dicaci, dihina, dibelasah, dibunuh sewenangnya, dipukul, diseksa atau apa sahaja salah laku. Anjing tetap haiwan yang wajar diberi kasih sayang dan belas ihsan, kerana ia tetap makhluk Allah. Telah ada hadis panjang mengisahkan tentang seorang yang banyak dosa, yang memberi anjing minum, dimasukkan ke syurga kerana pahalanya memberi minum kepada anjing itu. Namun dalam hadis tu takde pun kata si pemberi minum tu peluk cium belai anjing tu. Cukup sekadar memberi keperluan kepada anjing kita dah dapat pahala.



Rujukan:

Halal wa Haram fi al-Islam (Prof Dr Yusof al-Qaradhawi)
Mughni Al-Muhtaj (Imam Nawawi)
Haza Halal wa Haza Haram (Abdul Qadir Ahmad 'Ata)


Sumber: Ustaz Khairul Afendy

Tuesday, October 14, 2014

Bajet 2015: Mampukah Anak Muda Akhirnya Membeli Rumah?!




Kelihatannya Bajet 2015 adalah suatu bajet yang menarik, seperti menariknya juga warna jingga terang Baju Melayu yang dipakai oleh YAB Perdana Menteri di Parlimen Jumaat lalu. Satu persatu insentif, bantuan dan ‘hadiah’ diumumkan dalam Bajet 2015 untuk rakyat. Saya pasti, seperti juga saya pada mulanya, ramai anak muda yang teruja dengan pengumuman yang dibuat minggu lalu. Perluasan program MyBrain, pengurangan kadar cukai pendapatan dan juga projek 1Malaysia Youth City adalah antara cadangan Bajet 2015 yang menarik minat ramai anak muda.

Skim Perumahan Belia: Suatu Inisiatif Baru?

Sebetulnya, kandungan Bajet 2015 yang paling disebut-sebut ialah Skim Perumahan Belia (SPB) iaitu sebuah skim pembiayaan pemilikan rumah yang ditawarkan kepada belia berkahwin dan berumur 25 hingga 40 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000. Skim ini disediakan untuk pembelian rumah pertama yang bernilai tidak melebihi RM500,000 dengan tempoh bayaran hingga 35 tahun, tanpa perlu mengeluarkan deposit. Selain daripada syarat skim ini yang agak ‘ringan’, kerajaan juga berjanji akan memberi subsidi RM200 sebulan kepada peminjam selama 2 tahun pertama bagi mengurangkan beban ansuran bulanan. Semuanya kelihatan sungguh mengiurkan.

Namun, mari kita mengimbau kembali Bajet 2011. Ketika itu Dato’ Sri Najib Razak juga ada mengumumkan suatu skim yang hampir sama seperti SPB iaitu Skim Rumah Pertamaku (SRP). SRP ditawarkan kepada belia dengan pendapatan bawah RM3,000 sebulan untuk membeli rumah bernilai tidak melebihi RM220,000 tanpa perlu mengeluarkan deposit. Skim ini juga mendapat reaksi yang cukup positif seperti juga reaksi belia terhadap SPB kali ini. Persoalannya, adakah SRP berjaya untuk membantu anak muda memiliki rumah sendiri?!

Pencapaian Skim Rumah Pertamaku

Pada 14 Mac 2012, Bank Negara telah mengumumkan bahawa selepas setahun dilancarkan, hanya 1,062 permohonan telah diterima. Daripada jumlah ini, cuma 37% permohonan telah diluluskan, manakala 48% lagi permohonan ditolak kerana tidak mencapai kelayakan kredit yang minimum. Perkara ini sebenarnya sudah dijangka memandangkan syarat had pendapatan RM3,000 adalah terlalu rendah untuk membolehkan seseorang membeli rumah sendiri, lebih-lebih lagi dengan beban kewangan lain seperti hutang PTPTN, pinjaman kereta dan pembayaran kad kredit. Sebagai contoh, pinjaman sebanyak RM220,000 selama 30 tahun pada kadar 4.8% (iaitu BFR-1.8% semasa BFR berada pada 6.6%) akan memerlukan peminjam membayar sebanyak RM1,154 sebulan, iaitu sebanyak hampir separuh daripada gaji bulanan seorang anak muda yang berpendapatan RM2,500 sebulan. Malah, jika ditambah dengan komitmen kewangan sedia ada untuk membayar hutang PTPTN dan pinjaman kereta, semakin sedikit anak muda yang mampu untuk mendapat kelulusan bagi pinjaman tersebut. Oleh sebab itu jugalah kerajaan telah bertindak untuk menaikkan had kelayakan gaji kepada RM5,000 sebulan dan had jumlah pembiayaan kepada RM400,000.

Faktor Kos Pembiayaan

Selain itu, Skim Rumah Pertamaku juga agak kurang menarik minat anak muda kerana kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan adalah sangat tinggi berbanding pembiayaan perumahan biasa. Kebanyakan bank menawarkan kadar keuntungan sekitar BFR-1.8% (BFR bermaksud Base Financing Rate, iaitu terma perbankan Islamik yang sama maksud dengan BLR, Base Lending Rate). Kadar BFR-1.8% adalah tinggi jika dibandingkan dengan BFR-2.5% yang dapat ditawarkan oleh bank bagi pembiayaan perumahan biasa, iaitu berbeza sebanyak 0.7%. Sebagai contoh, berdasarkan kadar keuntungan di atas dan BFR semasa pada 6.85% , jumlah bayaran bagi pembiayaan sebanyak RM300,000 selama 30 tahun adalah seperti berikut:

Skim Rumah Pertamaku - RM1,620 sebulan, RM583,000 keseluruhan
Pembiayaan rumah biasa – RM1,340 sebulan, RM514,000 keseluruhan (termasuk 10% deposit yang dibayar di awal pembiayaan).

Dengan perbezaan bayaran bulanan sebanyak RM280 dan bayaran keseluruhan sebanyak RM69,000, jelaslah bahawa Skim Rumah Pertamaku adalah jauh lebih mahal. Justeru, Skim Rumah Pertamaku kelihatan umpama sebuah usaha gajah putih yang bertujuan untuk menunjuk-nunjuk bahawa kerajaan telah membantu anak muda, walhal sebenarnya ‘bantuan’ ini lebih banyak menekan mereka.

Faktor Harga Rumah


Faktor kos pembiayaan juga bukanlah satu-satunya punca tidak ramai anak muda yang mampu membeli rumah. Walaupun wujudnya skim pembiayaan mudah untuk anak muda seperti Skim Rumah Pertamaku dan Skim Pembiayaan Belia, harga rumah yang melampau tetap merupakan faktor utama ketidakmampuan anak muda untuk memiliki rumah. Skim pembiayaan rumah ini cumalah suatu alat untuk membeli rumah. Jika harga rumah yang ada adalah di luar jangkauan kadar gaji mereka, bagaimana anak muda mampu membeli rumah?

Di sebalik keghairahan bercerita tentang Skim Perumahan Belia, PR1MA, Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat, Rumah Idaman Rakyat, Rumah Aspirasi Rakyat, serta Rumah PPA1M, Bajet 2015 sebenarnya gagal untuk memperkenalkan langkah drastik untuk mengawal kenaikan harga rumah yang semakin mambantutkan kemampuan anak muda memiliki rumah di negara sendiri. Kami sebenarnya jangkakan kerajaan melalui Bajet 2015 akan mengawal harga rumah yang melambung naik akibat pengaliran modal asing dan aktiviti spekulasi dengan mengenakan “Real Property Gains Tax” (RPGT) yang lebih ketat dan juga dengan memperkenalkan “Capital Gains Tax” (CGT). Anak muda pastinya amat gembira jika golongan spekulator hartanah dikekang dengan dikenakan RPGT sehingga 50% jika mereka menjual rumah dalam tempoh yang singkat (contohnya dalam masa 5 tahun dari tarikh pembelian). Namun, jangkaan kami meleset sama sekali, dan nampaknya selepas ini kami akan terus menjadi penonton sahaja di kala golongan kaya dan hartawan asing menikmati untung dari pelaburan hartanah di Malaysia yang sangat lumayan ini. YAB Perdana Menteri juga berkata CGT akan menyebabkan pelabur asing lari, sedangkan negara-negara maju yang punya CGT terus menikmati kemakmuran ekonomi.

Faktor Pendapatan

Antara sebab lain anak muda hari ini gagal untuk membeli kediaman mereka sendiri ialah kerana jumlah pendapatan yang mereka terima. Kadar kenaikan gaji dari tahun 2010 ke 2013 secara puratanya cuma sekitar 4% sahaja, dan tersangat rendah jika dibandingkan dengan kadar kenaikan harga rumah yang mencecah 40% antara tahun 2010 dan 2014. Berdasarkan kiraan ringkas saya, seorang anak muda bergaji RM4,000 dan memiliki pinjaman bagi kereta Proton Persona hanya akan mampu untuk membayar ansuran bulanan di bawah Skim Rumah Pertamaku bagi rumah berharga RM320,000 sahaja. Pada hari ini, adalah amat sukar untuk mencari kediaman yang selesa dalam lingkungan harga tersebut.

Dalam Bajet 2015, disebut bahawa kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan komponen gaji daripada keseluruhan KDNK kepada 40% menjelang 2020. Berdasarkan laporan ekonomi pada tahun 2013, saiz komponen gaji per KDNK adalah sejumlah 33.6% sahaja. Jadi, kerajaan sebenarnya meletakkan sasaran untuk menaikkan saiz komponen gaji per KDNK hanya sebanyak 6.4%, dan ia akan mengambil masa selama 6 tahun! Angka 40% itu sebenarnya adalah sangat rendah jika hendak dibandingkan dengan Norway (51.3%), Sweden (53.8%) dan Australia (48.7%). Justeru, sebagai negara yang mempunyai aspirasi untuk menjadi Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2020, adalah mengejutkan apabila agenda meningkatkan pendapatan rakyat dalam bentuk gaji dan upah tidak menjadi elemen utama dalam pembentangan Bajet 2015 baru-baru ini. Malah, sasaran 40% itu pula tidak disertakan dengan sebarang rancangan yang jelas tentang langkah yang perlu diambil untuk mencapainya.

Saya kira tidaklah perlu saya panjangkan isu ini kerana dengan gaji minimum yang dijangkakan sekitar RM700-RM900 dan gaji graduan yang hanya RM1,500-RM2,500, sudah terang lagi bersuluh bahawa ramai anak muda tidak akan mampu untuk menikmati faedah yang ditawarkan oleh bajet kali ini.

Mata Kami Sentiasa Terbuka

Anak muda hari ini tidak sama lagi seperti anak muda sebelum ini. Anak muda hari ini lebih terdedah dengan pelbagai perspektif di samping maklumat yang sentiasa di hujung jari. Walaupun kerajaan melalui Bajet 2015 menawarkan pelbagai ‘hadiah’ yang tampak menarik, kami tetap akan menilainya secara objektif. Setiap perincian bagi tawaran dalam Bajet 2015 akan kami tekuni demi untuk memastikan yang kami sebenarnya beroleh manfaat, bukannya mudarat, terutamanya untuk jangka masa panjang. Seperti yang telah diketahui tentang kebanyakan projek-projek lain di Malaysia, semua perkara biasanya nampak bagus bila di atas kertas, namun bila tiba masa pelaksanaannya, satu persatu masalah akan timbul.

Akhir kata, kami menyambut baik pengumuman usaha kerajaan dalam Bajet 2015 untuk membantu anak muda memiliki rumah sendiri. Tetapi kami juga berharap agar pihak kerajaan meneliti setiap usaha yang telah diumumkan dengan lebih rapi, dan dapat mendatangkan penyelesaian yang lebih utuh dan menyeluruh. Jangan biarkan pengumuman bantuan perumahan dalam Bajet 2015 kali ini sekadar menjadi gajah putih sekali lagi. Yang pasti, anak muda hari ini akan terus memerhati.

 

Nukilan,
Ikmal Ameen,
Presiden,
Halaqah of Young Professionals in Management, Economics and Finance (HANEEF)