Sekali lagi perbahasan tentang hukum menyentuh
anjing menyerabuti masyarakat Melayu setelah ia menjadi polemik umum hampir 80
tahun yang lalu. Pada bulan Januari 1937, Sultan Kelantan telah menganjurkan
perdebatan terbuka antara golongan kaum Muda yang dibarisi oleh Haji Nik Wan
Musa Abdul Samad (bekas Mufti Kelantan), Haji Abbas Taha (Kadi Singapura) dan
Dr Burhanuddin al-Helmi dengan golongan kaum Tua yang terdiri dari Haji Ibrahim
Yusuf (Mufti Kelantan), Haji Ahmad Ismail (Ketua Kadi Kelantan) dan Haji
Abdullah Tahir. Masing-masing telah mengemukakan pandangan dengan dalil dan
hujah berpandukan sumber-sumber Islam. Setelah masing-masing mengemukakan
pandangan, maka Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih
pandangan yang sesuai.
Kaum Muda telah mengemukakan pandangan mereka
dengan dalil dan hujah yang wibawa, bahawa boleh berpegang kepada pandangan
mazhab Maliki (Talfiq) bahawa anjing tidak najis, tidak sebagaimana pegangan
tradisi masyarakat Melayu berpandukan mazhab Shafie. Perdebatan itu juga
diketahui umum, terutama di kalangan masyarakat Melayu Kelantan. Namun
demikian, sehingga hari ini setelah hampir 80 tahun perdebatan itu berlaku,
sukar untuk mencari sebuah keluarga Melayu termasuk yang berpegang kepada
mazhab Maliki memelihara anjing untuk tujuan keselamatan, apatah lagi sebagai
binatang peliharaan. Jelaslah, ada satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam
pengamalan Islam selain daripada dalil dan hujah, iaitu budaya atau ‘uruf.
Budaya adalah satu proses evolusi yang panjang
membentuk cara hidup sesebuah masyarakat berinspirasikan pandangan semesta (worldview), hukum (termasuk adat) dan
sistem nilai untuk disesuaikan dengan persekitaran mereka. Tempoh evolusi cara
hidup yang kemudiannya membentuk budaya ini sememangnya sukar untuk ditentukan,
tetapi lazimnya ia berlaku secara tidak disedari malah seperti semulajadi (natural) sifatnya. Revolusi cara hidup
untuk membentuk budaya adalah satu pemaksaan terhadap masyarakat, yang lazimnya
pula akan mencetuskan konflik malah boleh juga membawa kepada persengketaan
yang serius. Demikian juga, revolusi cara hidup lazimnya tidak mapan.
Seorang tokoh Sosiologi Amerika, Charles A, Ellwood,
pernah menulis panjang lebar teori-teori yang berkaitan dengan evolusi cara
hidup, yang menurut pandangannya tidak sama dengan evolusi sosial. Boleh
disimpulkan, beliau cuba mengemukakan teori evolusi cara hidup yang bersifat
organik. Dalam konteks tradisi keilmuan Islam, evolusi budaya ini telah lebih
dahulu dibahaskan oleh Ibn Khaldun sehingga beliau dikenali sebagai bapa
sosiologi oleh para ilmuan moden. Salah satu teori yang menarik juga tentang
perubahan budaya ialah Structuralism,
yang menyarankan bahawa budaya itu adalah interaksi manusia dengan sistem dan
struktur yang lebih menyeluruh dan luas.
Berdasarkan pandangan-pandangan tersebut,
dekonstruksi budaya bukan satu perkara yang mudah malah ada yang melihat lebih
sukar dari dekonstruksi ilmu atau epistemologi. Perdebatan isu anjing 80 tahun
yang lalu boleh dilihat usaha untuk dekonstruksi ilmu, walaupun gagasan
Dekonstruksinisme (Deconstructionism)
ini dikemukakan lewat sedikit oleh Jacques Derrida. Dekonstruksi ilmu secara
aktif melibatkan para ilmuan melalui wacana dan debat yang dilingkungi oleh
etika berbahas, justeru dampaknya terkawal. Bagaimanapun, dekonstruksi budaya
atau ada yang menyebut Pasca-strukturalisme akan turut melibatkan masyarakat
bukan ilmuan yang akan menatijahkan dampak yang sukar dikawal malah boleh
membawa kepada persengketaan, sehingga ada yang menyebutnya anti-kemanusiaan.
Kempen “I
Want to Touch Dog” pada pandangan
saya bukanlah satu bentuk dekonstruksi ilmu sebagaimana perdebatan yang
dianjurkan di Istana Sultan Kelantan hampir 80 tahun yang lalu. Perdebatan
tentang isu anjing ini berterusan berlaku sehingga hari ini, kadang-kadang
suhunya tinggi dan kadang-kadang suhunya rendah. Malah perdebatan seperti ini
akan berterusan sehingga bila-bila atas asas, perkara ini adalah khilaf yang
sifatnya tidak berkesudahan. Pada pandangan saya kempen “I Want to Touch Dog” ini satu usaha untuk dekonstruksi budaya yang
dampaknya boleh melewati sensitiviti dan mencetuskan suasana tidak terkawal.
Sebelum suasana tidak harmoni berlaku dalam masyarakat, usaha anti-kemanusiaan
seperti ini termasuk “Pesta Arak
Oktoberfest” yang lalu perlu diberhentikan.
Nukilan;
Dr Mohd Zuhdi Bin Marzuki
21 Oktober 2014
26 Zulhijjah 1435
No comments:
Post a Comment