Wednesday, June 14, 2017

Tips Bijak Berbelanja di Bazaar Ramadhan




Kerana datangnya setahun sekali, Bazaar Ramadhan menjadi tumpuan umum lapisan masyarakat, tidak kira orang Islam atau bukan Islam. Kedatangan mereka sekadar mendapatkan makanan yang beraneka jenis yang sebahagian darinya hanya dijual pada bulan Ramadhan saja.


Orang-orang Islam yang berpuasa datang ke bazaar kerana mahu mendapatkan makanan berbuka puasa. Peniaga-peniaga pula sudah tentu melihat inilah masanya mereka mendapat keuntungan bermusim sepanjang bulan Ramadhan.


Jika mahu melihat gelagat sikap, memek muka, senyuman bibir, cara berjalan, cara berpakaian dan cara memilih makanan, cari dan lihatlah di Bazaar Ramadhan.


Namun begitu, sikap keterujaan kita yang membuak-buak untuk memenuhi kehendak berbuka, boleh menyebabkan mudharat kepada diri kita, samada dari segi kewangan dan kesihatan.


Di sini, suka abam berkongsi tentang tips membeli-belah di Bazaar Ramadhan.


  •        Fikirkan menu sebelum ke Bazaar Ramadhan. Sebelum  anda keluar ke bazar, fikirkan menu yang anda mahu makan untuk berbuka. Cara ini membantu anda untuk fokus ketika membeli.
  •         Sediakan senarai makanan yang hendak dibeli. Cara ini dapat membantu kita merancang juadah berbuka puasa, di samping mengelakkan diri daripada membeli makanan yang tidak diperlukan serta membuat pilihan yang sihat dan tepat.
  •         Tetapkan bajet pembelian setiap hari atau bawa duit cukup-cukup sahaja. Cara ini dapat mengelakkan kita daripada dipengaruhi nafsu lapar yang menjurus ke arah ‘terlebih beli’.
  •         Beli 2-3 juadah sahaja. Beli 1 juadah berat dan 2 juadah ringan untuk berbuka. Juadah ringan boleh simpan untuk moreh. Dengan cara ini anda boleh menikmati menu yang berbeza setiap hari. Jika teringin untuk membeli lebih dari 3 juadah, ingatkan diri sendiri bahawa 'esok masih ada'. Puasa ada 30 hari, jadi ada 30 pilihan menu untuk di cuba. Bersabar dan bertabahlah.
  •         Beli makanan yang sihat dan berkhasiat. Kurangkan makanan berminyak, berlemak, tinggi kandungan gula dan garam. Ini kerana makanan mempengaruhi tahap kesihatan kita.
  •         Beli daripada penjual yang mengamalkan kebersihan. Pilih gerai yang bersih dan makanan bertutup. Makanan yang bersih dapat menghindarkan diri daripada penyakit.
  •         Catatkan pembelian. Catat dalam buku kecil berapa yang telah anda belanja setiap hari di bazaar. Ini bagi memastikan kita tahu 'level' pengeluaran duit semasa di bazaar.



Jom kita mulakan langkah pertama dengan berbelanja secara berhemah.


Duit lebih tu nanti boleh digunakan untuk derma pada surau atau perbelanjaan untu hari raya nanti. Ingat, banyakkan ibadat, kurangkan pembaziran dan dosa. Bijak berbelanja mulai hari ini, insya-Allah takdelah poket kering-kontang lepas raya nanti.

Semoga tips-tips di atas dapat memberi manfaat kepada kita semua.


Senyum..=)


faizalMS
Dietitian,

Hospital USM.

Tuesday, June 06, 2017

Rokok: Nikmat Asap Mudharat di Bulan Puasa



'Intuisiku' ingin mengucapkan, TAHNIAH kepada para perokok yang berjaya menepis bisikan syaitan untuk tidak merokok dari tempoh matahari terbit sehingga waktu berbuka puasa. Tahukah anda, dalam hanya tempoh 14 jam bebas rokok, paras karbon monoksida akan mula menurun, kadar oksigen di dalam darah mula meningkat..

Namun penangan ketagihan nikotin ini cukup kuat sehingga menyebabkan perokok tegar kembali mencapai rokok, menghidupkan api dan menghembuskan asap makanan syaitan sebaik sahaja azan maghrib di laungkan.

Sesungguhnya, 
Dalam tempoh berpuasa,
Sebarang kebaikan yang di lakukan akan di beri ganjaran berlipat kali ganda, begitu juga dengan sebarang keburukan dan kejahatan.

Sekiranya anda merokok semasa tempoh berpuasa, ia akan mendatangkan kesan yang lebih serius berbanding hari hari biasa.

Semasa berpuasa, 
Tubuh badan akan melakukan dua perkara. 
Pertama, ia meningkatkan pengeluaran radikal bebas .
Kedua, ia mengurangkan pengeluaran antioksidan endogen (antioksidan yang dihasilkan oleh badan apabila dirangsang oleh pengambilan makanan).

Jadi, 
Apabila kita berbuka puasa kita, kita perlu makan lebih banyak makanan yang mengandungi antioksidan (antioksidan tidak dihasilkan oleh tubuh, tetapi yang terdapat dalam makanan) untuk mengimbangi radikal terkumpul dalam badan kita. Contoh makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi vitamin A, C dan E, dan kombinasi daging atau ikan untuk menambah protein.

Rokok mengandungi bahan-bahan aktif yang menyumbang kepada dua kali ganda jumlah radikal bebas dalam badan. Aktiviti merokok semasa bulan Ramdhan sebenarnya menyebabkan lebih banyak radikal tambahan di bebaskan dan ia boleh membahayakan tubuh badan.
Radikal bebas yang berlebihan ini akan mencederakan dan membunuh sel sel tubuh badan dan mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Selain itu,
Tubuh badan orang yang berpuasa sentiasa memerlukan lebih banyak cecair, glukosa tambahan dan oksigen. 
Merokok semasa berpuasa menyebabkan saluran darah menguncup dan ia menghalang aliran oksigen yang di perlukan dalam badan.

Lebih memburukkan keadaan, 
Nikotin dan tar dalam rokok boleh memekatkan darah dan boleh menyebabkan penyumbatan arteri, meningkatkan tekanan darah dan mengganggu denyutan jantung.

Bahan kimia yang terdapat dalam rokok adalah lebih berbahaya kepada badan anda semasa tempoh berpuasa kerana badan anda mula beralih kepada bahan kimia ini untuk sumber nutrien.
Bahan bahan bertoksik seperti nikotin, karbon monoksida dan nuklid radioaktif akan merosakkan sistem saraf pusat anda dan menyebabkan gejala seperti pening kepala, loya, muntah dan kebas kebas.

Selain itu, 
selepas seminggu berpuasa dan merokok, badan anda adalah lebih mudah terdedah kepada kesan karbon monoksida kerana kini tubuh badan anda menggunakan lemak yang disimpan dan ia boleh meningkatkan risiko serangan jantung atau strok.

Semasa berpuasa,
Badan anda menjadi lebih responsif kepada kesan bahan kimia dan gas, ia akan meningkatkan kesan-kesan sampingan kepada komponen radioaktif seperti bismut dan plumbum. Racun merbahaya seperti Ammonia, formaldehid, oksida hidrogen dan cyonide gas juga wujud dalam rokok menyebabkan impak kepada bahan bahan punca penyebab kanser ini lebih menganas.

Menurut Dr Riaz Ahmad Minhas, Pakar Perubatan di Emirates Clinic dan Makmal di Al Ain, 

"Merokok selepas makan atau minum adalah sesuatu yang merbahaya untuk badan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak merokok selepas berbuka puasa kerana ia mengatakan bahawa ia adalah perkara yang paling teruk yang boleh memusnahkan kesihatan mereka.

Dr Minhas berkata Ramadan menawarkan peluang keemasan kepada perokok untuk menghilangkan tabiat untuk kebaikan.

"Jika seseorang itu boleh menahan diri daripada merokok semasa tempoh berpuasa, apa yang bokeh menghalang untuk mereka terus berhenti merokok?”

Senaman adalah salah satu alternatif untuk membantu membendung ketagihan nikotin. 

Apabila keinginan untuk merokok datang, pergi untuk berjalan-jalan atau melakukan senaman bersantai seperti yoga sehingga keinginan reda. Solat dan melakukan ibadah merupakan terapi yang baik.

Terdapat kumpulan sokongan yang akan membantu untuk anda berhenti merokok. Anda boleh sertai kumpulan sokongan khas yang di lakukan untuk membantu perokok berhenti di sepanjang bulan Ramadhan

https://www.facebook.com/groups/AzamRamadhan2017

atau hubungi

MQUIT USM Tobacco Quitline - Perkhidmatan Berhenti Merokok

cc

Selangor Bebas Asap Rokok - Selbar
SMOKE FREE MELAKA
Malaysian Green Lung Association
Nicotine Addiction Research & Collaborating Centre - NARCC
Suara Tanpa Rokok
Bebas Asap Rokok
Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok
Johor Bebas Asap Rokok (JBAR)

Tuesday, May 16, 2017

Dietitian Vs ‘Pakar Pemakanan’..~


Kata 'Dietitian Jadian':

Jangan makan daging dan ayam. Sebab dia boleh menyebabkan penyakit dan kegemukan! Kalau nak makan pun, 1-2 kali je sebulan!

Jawab Dietitian Sebenar:

Tiada salah pun kalau mahu makan daging atau ayam, kecuali sumbernya terbukti ada pencemaran dan haram. Yang jadi masalahnya, bilamana sampai berkilo-kilo sekali makan. Dan pilihlah bahagian daging atau ayam yang kurang berlemak, elakkan makan organ dalaman, 'visible fat', kulit, atau bahagian yang majoriti bersalut dengan lemak seperti 'keropeh'.

Kata 'Dietitian Jadian':

Banyakkan makan buah dan sayuran. Elakkan makanan berkanji macam nasi dan mee! Baru badan boleh kurus.

Jawab Dietitian Sebenar:

Makan biar variasi dan seimbang, jangan hanya bergantung pada sesuatu jenis makanan sahaja kerana setiap makanan ada zat tersendiri yang diperlukan badan. Kalau boleh, setiap kali makan, jumlah dan kekerapan biar dalam kesederhanaan (lagi bagus kalau ikut piramid makanan).

Kata 'Dietitian Jadian':

Makan makanan organik sahaja kalau anda mahu sihat! Semua makanan yang biasa-biasa ini banyak bahan kimia!

Jawab Dietitian Sebenar:

Kalau mahu makan makanan organik, dipersilakan. Tapi jika tidak mampu, cukuplah dengan makan makanan seperti orang kebanyakan. Cuma seeloknya, cuba elak makanan terproses seperti sosej, nugget, burger, mee segera, jajan dan sebagainya. Semua makanan ada bahan kimia, bezanya samada kita sebut dia dalam bahasa saintifik ataupun tidak sahaja.

Kata 'Dietitian Jadian':

Makanlah produk ini. Ia bagus untuk detox!

Jawab Dietitian Sebenar:

Tiada istilah makanan detox, sebabnya badan kita sendiri (melalui hati, buah pinggang, peparu, kulit dsb) yang menjalankan fungsi detox itu.

Kata 'Dietitian Jadian':

Saya orang kimia, saya lebih tahu apa yang ada dalam makanan daripada Dietitian sebenar!

Jawab Dietitian Sebenar:

Kami Dietitian juga belajar kimia, malah biokimia, farmakologi, toksikologi, patofisiologi, epidemiologi, anatomi, fisiologi, 'research', biostatistik, selain daripada subjek yang berkaitan dengan nutrisi dan dietetik. Malah pendekatan kami berdasarkan 'evidence-based' kajian terkini, selain daripada 'guideline' yang dikemaskini secara berkala.

Senyum.. =)

p/s: untung 'Dietitian Jadian'.. tak perlu belajar teori, 'community service', 'clinical attachment', viva, 'case presentation', buat FYP bagai..tuptup boleh claim sebagai 'Pakar Pemakanan', kita pun tak berani nak claim sebagai 'pakar' sedemikian..~

Disclaimer: post ini ditulis untuk memberi pencerahan mengenai kekeliruan maklumat yang ditimbulkan oleh mereka yang 'berkepentingan'..


faizalMS,
Dietitian,
Hospital USM.

Monday, April 17, 2017

Orang Tercari-cari Manikam Kita Pula Mencari-cari Cara Membuangnya


Sebentar tadi ada seorang pelajar bertanya pada dr. Hiroko mengapa orang Melayu kuat berpegang kepada adat yang menyusahkan. Dr dalam jawapannya yang mengkagumkan saya berkata, "saya tak nampak orang Melayu kuat berpegang dengan tradisi, yang saya nampak mereka hari ini kuat berpegang kepada modenisme".

Persoalan sebegini biasanya datang dari individu-individu yang dipengaruhi sentimen Barat yang datang dahulu membawa pemikiran bahawa apa sahaja yang bertentangan dengan konsep modenisme mereka sebagai mundur dan terkebelakang antaranya elemen adat Melayu dan Islam. Kita sebagai peribumi sedikit sebanyak terjebak apologetik dengan sub-altern sedemikian. Puncanya adalah kejahilan dan sikap inferioriti kompleks yang tinggi.

Mereka yang membawa premis ini sebenarnya dipengaruhi bahasa pemikiran era kolonial. Pola pemikiran penjajah neo-kolonialisme sebegini kini memarak kembali setahun dua ini misalnya melalui pelbagai nistaan yang menjengkelkan yang kita dapati daripada netizen-netizen di laman Malaysiakini mahupun Free Malaysia Today. Misalnya mereka tak habis-habis membandingkan Singapura dan Pulau Pinang bak sebuah utopia terulung ala Atlantis manakala Kelantan sebagai backwater yang dihuni masyarakat 'Malay savage' dan 'corrupt clerics' meminjam memori Reformasi Eropah yang sememangnya diluar konteks masyarakat Melayu-Islam kita di rantau ini.

Kata dr. lagi, "Orang Malaysia saya selalu dengar mahu pergi ke Jepun, kononnya sebuah negara maju, rakyatnya happy sedangkan mereka orang Jepun sendiri sudah mula mempersoalkan halatuju moden mereka, sains dan teknologi ternyata gagal memberi kebahagian."

Mereka mencari semula tradisi dan kita orang Melayu Islam mahu membuang apa yang masih tersisa sedikit ini kerana terpengaruh dengan kayu ukur kemajuan dan kebahagiaan modenisme yang gagal. Apa yang diwarisi sebagai adat itu dianggap menyusahkan sedangkan kita sendiri tidak pernah mengamalkannya untuk layak memberi justifikasi sedemikian. Berapa susah sebenarnya kesusahan yang dikatakan susah itu?


Kegagalan Barat perlu dipelajari dan apabila datang zaman dan ejen-ejen pasca-moden seperti kelompok liberal demokrat, feminis, LGBT, anti-autoriti dan persamaan hak asasi manusia dasawarsa ini maka kita ada sentimen yang kuat untuk menolak agenda terbaharu untuk menjadikan kita sebagai bahan ujikaji makmal ideologi mereka. Berpadalah sudah dengan modenisme, kita orang Alam Melayu dan Islam ada pengalaman dan kearifan tempatan kita sendiri.

Wednesday, April 05, 2017

Islam Memacu Kehebatan Segala Landasan di Sebalik Persepsi Ketinggalan Zaman


Manusia secara lahiriah tidak mahu dikongkong. Setiap manusia akan berasa kurang selesa apabila segala tindak tanduk terkongkong atas faktor-faktor seperti agama, tradisi dan adat istiadat. Melanggar tradisi dan adat istiadat adalah perbuatan yang paling mudah. Tetapi membelakangi agama akan mengundang dosa serta padah. Dosa sebenarnya boleh dilihat berdasarkan refleksi cerminnya iaitu padah. Tetapi itu tidak sama sekali memberikan apa-apa hak untuk menghakimi sesiapa pun.

Dua perkara yang Islam haramkan adalah arak dan daging babi. Sekalipun darurat, hukum masih kekal haram, cuma tidak berdosa untuk makan agar hukum lain yang lebih agung iaitu “menjaga kesihatan (nyawa)” tidak dibelakangi. Sebelum berhujah mengenai arak dan daging babi, perlu juga tekankan tentang kepentingan nyawa berdasarkan pandangan Islam. Salah satu sumber yang mudah digunakan adalah perbuatan bunuh diri.

Di dalam Sahih Bukhari, Jilid 2, Kitab 23, dan Ayat-Ayat 445-446, Islam menekankan bahaya dosa bunuh diri, serta ancaman yang mesti dibuat pedoman apabila berdepan dugaan besar.

Diriwayatkan oleh Thabit bin Ad-Dahhak:

Sabda Rasulullah SAW, “barangsiapa yang sengaja bersumpah (secara palsu) atas agama selain Islam, maka dia telah menjadi apa yang dia berkata, (contohnya, jika dia berkata, ‘kalau perkara ini tidak benar, maka aku adalah Yahudi,’ dia telah menjadi seorang Yahudi). Dan barangsiapa yang membunuh diri dengan besi akan dihukum dengan besi yang sama di Neraka.”

Diriwayatkan oleh Jundab:

Sabda Rasulullah SAW, “Seorang lelaki telah tercedera (atau jatuh sakit), dan dia telah membunuh diri. Maka Allah berfirman: hamba Aku telah mencepatkan kematian baginya, maka Aku mengharamkan Syurga buatnya.”

Diriwayatkan oleh Abu Huraira:

Sabda Rasulullah SAW, “barangsiapa yang membunuh diri secara mencekik akan kekal mencekik dirinya di Neraka selama-lamanya, dan barangsiapa yang membunuh dirinya dengan tikaman akan kekal menikam dirinya di Neraka.”
(Terjemahan daripada bahasa Inggeris)

Betapa besarnya nilai nyawa dalam pandangan Islam. Jadi, atas kebesaran inilah diturunkan al-Qur’an, agar manusia dapat mengamalkan gaya hidup bersesuaian. Hari ini satu laporan kesihatan telah diterbitkan perihal penyebab-penyebab kanser perut. Dan dua (atau tiga) pencetus utama adalah apa yang diharamkan Islam: daging babi (bacon) dan obesiti. Boleh faham sentimen golongan yang berilmu dalam bidang perubatan apabila obesiti dikaitkan dengan dua perkara berdosa. Terdapat pendapat mengatakan obesiti adalah semulajadi daripada genetik.

Kod-kod genetic di dalam zarah tubuh manusia mampu menyebabkan obesiti dalam sindrom-sindrom Bardet-Biedl dan Prader-Willi. Walaubagaimanapun, kod-kod ini tiada kuasa menentukan halatuju kesihatan dalam masa yang akan datang. Atas penentuan ini, obesiti dijangka akan berlaku atas faktor genetik dan gaya hidup. Dalam kes-kes terkini, punca obesiti ditambah lagi, bahawa bekalan makanan tidak terbatas dan aktiviti fizikal yang kurang dikaitkan sekali.

Allah berfirman, “dan makanlah dan minumlah, jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.” (Qur’an 7:31) Dan disini terdapat satu kepincangan dalam amalan gaya hidup rakyat Malaysia. 20 tahun lepas, hanya 4.4% rakyat Malaysia dianggap menghidapi obesiti. Kini perkataan ini telah menjadi keramat sehingga 14%. Berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan Negara, “jenis-jenis makanan yang banyak dan budaya makan” makanan yang berkalori tinggi seperti bahan minyak kelapa dan sawit, serta kuih-muih berbahankan beras dan gula “telah menjadi sebahagian daripada hidup kita.”

Tahap obesiti Malaysia dicatatkan lebih tinggi daripada sahabat-sahabat Asia negara. Dalam sebuah jurnal medikal British, the Lancet, Malaysia menjuarai lumba obesiti (siapa cakap obesiti tidak boleh berlumba) iaitu sebanyak 45.3% (44% lelaki – 49% wanita) kepada bilangan populasi.

Selain daripada perut, beberapa jenis kanser yang lain didapati tercetus akibat tiga perkara ini. Antaranya adalah kanser payu dara dan kolon.

Tetapi bukan tiga pencetus ini sahaja yang dibincangkan. Daging proses turut dikaitkan juga. Tetapi kajian yang lebih mendalam diperlukan untuk mengenalpasti sama ada daging-daging proses Malaysia boleh dikaitkan bersama. Ini kerana, laporan kesihatan yang diterbitkan menggunakan lombong emas kepada penyakit iaitu rakyat Amerika Syarikat sebagai asas kajian. Kanser perut adalah yang kelima paling kerap secara global, 950,000 orang setahun. Dan pemprosesan yang disebutkan turut mengaitkan kemasukan bahan pengawet. Antara yang disebut adalah berkaitan babi seperti bacon, ham dan yang lain seperti pastrami, salami, dan sosej. Daging proses juga dikatakan mampu menyebabkan kanser pankreas dan prostat.

Juga dikaitkan adalah makanan-makanan yang diawet garam, tetapi sekali lagi, pencetus kanser perut ini boleh dinafikan kerana bangsa Melayu sudah biasa dengan ikan masin sejak dahulu lagi, tetapi catatan sejarah mengenai “sakit perut” langsung tidak disebut dengan banyak. Tetapi yang paling perlu diperhalusi adalah amalan merokok, yang dipersalahkan atas 11% kanser perut.

Kajian ini juga menyatakan bahawa pemakanan sayur-sayuran, kacang dan buah-buahan mampu bantu jaminkan kesihatan yang terbaik. Amalan pemakanan yang digalakkan sains adalah diet Mediterranean berdasarkan piramid: http://www.diet-blog.com/wp-content/…/mediterranean-diet.jpg

Amalan pemakanan Mediterranean mengutamakan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, dan kacang. Diet ini juga menggantikan mentega dan garam dengan minyak zaitun dan herba rempah. Daging merah pula dijamah tidak lebih daripada beberapa kali sebulan. Dan yang paling utama sekali, diet Mediterranean menggunakan makanan Sunnah.

Daripada Sayyid al-Ansari:

Sabda Rasulullah SAW, “ambillah (makanlah) minyak zaitun dan sapukanlah kepada badan, kerana ia datang daripada pohon yang suci (Mubarak).” – Tirmidhi At’ima, 43; Ibnu Majah.

Boleh dibaca mengenai minyak zaitun dan Islam disini: http://www.islamicvoice.com/february.2000/medicine.htm



Artikel Asal: The Patriots

Wednesday, March 22, 2017

Bahana Testimoni



Sedang berjalan-jalan menuju ke kaunter sebuah wad, tiba-tiba terpandang kelakuan pelik seorang penjaga pesakit.

Dt: Assalamu'alaikum. Wak gapo tu, cik?

Pt: Wa'alaikum salam. Nie mokcik bubuh ubat kat luka pokcik nie, doketo.

Dt: Ubat gapo tu, cik?

Pt: Gula ajaib. Dio buleh sembuh luka ore kato.

Dt: Kito nok tengok supik dio, buleh?

Pt: Nie supik dio. Mokcik tengok kat testimoni dio kato buleh sapu ko luka. Dio buleh sia luko cepat.

Dt: Mokcik weh, nie gulo biaso jah. Jange duk bubuh ko luko lar. Keno hurung ko semut nati. Kalu mokcik nok suruh pokcik sia luko cepat, kno bui makane hok banyok protein supo lauk, bla..bla..bla.. (bebelan panjang pun bermula).

Nota Kaki

Kepada penjual 'so-called' produk kesihatan, cukup-cukuplah memperdayakan pelanggan dengan testimoni 'fake' untuk melariskan produk jualan anda.

Mungkin anda dapat keuntungan yang lumayan. Tapi ingatlah, keuntungan yang anda gunakan untuk membeli harta, makan minum, membesarkan anak-anak itu tidak akan sesekali berkat.
Senyum.. =)

faizalMS,
Dietitian,
Hospital USM.


Tuesday, February 28, 2017

Sihat kah Sup Bebola Ayam?


Makan proses ('processed food') adalah makanan yang sangat 'femes' di negara kita. Semua benda pun nak letak processed food, dari steamboat sampai la ke tomyam. Macam-macam jenis pun ade, sosej, 'fish ball', 'meat ball', isi ketam, daging burger/cincang.. bla bla bla..



Tapi persoalannya, adakah ia 'benar-benar' sihat?



Walapun dimasak sup atau bakar kosong skali pun..hakikatnya, ia masih tidak sihat kerana processed food itu sendiri bukan benda yang sihat.



Kebanyakannya dibuat bukan dari daging sebenar. Ia dibuat dari bahan buangan seperti lemak,kulit,urat, organ dalaman yang tidak mahu dibuang. Oleh kerana nak jimatkan kos dan tambah pendapatan, maka terciptalah benda alah ini supaya ianya boleh dijual.



Untuk menyedapkan,ditambah pula garam,gula dan perasa supaya kita makan pun yum yum nom nom nom. Kualiti protein? Sangat rendah. Tinggi kandungan lemak, kolesterol, garam, purin, gula, 'carcinogenic agent' dan bahan pengawet.



Jadi elakkan makan makanan proses. Semoleknya, makan daging betul atau buat processed food sendiri (ala-ala 'home-made'). Yang 'pure' punya.



Senyum..=)

#NutritionIntelligence
#HealthyLifestyle
faizalMS,
Dietitian,
Hospital USM.


Tuesday, February 07, 2017

Rahsia Kuruskan Badan..~


Nak kuruskan badan? Nak tahu rahsianya? Kalau anda jawab ya, sila baca statement saya ini dengan teliti.

Percaya tak kalau saya cakap, satu-satunya method nak kuruskan badan di dunia ini secara azalinya adalah dengan "jaga makan"? Bila saya maksudkan azali, maksudnya itulah hukumnya, tidak akan terubah dan boleh diubah.


1) kalau nak kurus dengan bersenam, kena jaga makan.

2) kalau nak kurus tanpa bersenam, kena jaga makan.
3) kalau nak kurus dengan pil ajaib alibaba, kena jaga makan.
4) kalau nak kurus dengan shake-shake 'meal replacement', kena jaga makan.
5) kalau nak kurus dengan gelang magnetik ajaib, kena jaga makan.
6) kalau nak kurus dengan krim sapu bakar lemak tembus ke kulit, kena jaga makan.
7) kalau nak kurus dengan bersauna, kena jaga makan.
8) kalau nak kurus dengan program-program 'bootcamp', kena jaga makan.
9) kalau nak kurus dengan subscribe 'weight management program' bernilai ribu riban, kena jaga makan.
10) kalau nak kurus dengan diet-diet tertentu, lagilah kena jaga makan - melibatkan modifikasi 'timing' makan, nutrient yang diambil dan juga 'volume' mereka.

Senang cerita, semua pun kena jaga makan. Sebab apa jawapannya macam tu? Sebabnya, anda semua, tuan-tuan, puan-puan menjadi gemuk disebabkan "tidak jaga makan".

Tak percaya? Balik nanti, sila tanya kawan-kawan famili-famili anda yang dah kurus. Ada tak mereka yang berjaya turun berat secara ajaib tanpa jaga makan? (Bukan disebabkan mereka sakit, tetapi mereka memang niat untuk kurus).

Masih tak percaya lagi?

Saya menyeru anda semua, tolonglah percaya, tolonglah percaya, dan silalah percaya.

Senyum..





=)

faizalMS, 
Dietitian 
Hospital USM.



Sunday, January 08, 2017

Sisi Gelap Produk Kesihatan..~


"Produk nie ada oat. Sebagaimana kita tahu, oat ini bagus untuk kesihatan..
bla..bla..bla..bla.."

Terang seorang promoter kecantikan dalam sebuah rancangan TV mengenai kelebihan oat yang ada dalam produk yang dikeluarkan syarikatnya, dengan tidak sedikit pun menyentuh mengenai keburukan 'butter cocoa' dan gula yang tinggi dalam produknya itu.

Tu belum masuk lagi yang mendakwa produk kesihatan mereka mengandungi 'anti-oxidant' dan 'kolagen' yang boleh meremajakan kulit sesiapa sahaja yang mengambilnya, tanpa mempedulikan kandungan vitamin K dan 'potassium' tinggi yang boleh memberi mudarat kepada pesakit jantung dan buah pinggang.

Begitu juga ada yang mendabik dada mendakwa produk kopi segeranya sangat bagus untuk kesihatan lelaki dan wanita kerana mengandungi ektrak tongkat ali, kacip fatimah dan pelbagai garam mineral yang lain, dengan mengabaikan kesan sampingan 'trans-fatty acid', 'dextrose', 'diglyceride' 'dipotassium phosphate', 'sodium aluminosilicate' yang ada dalam krimer bukan tenusu, 'kandungan bersekutu' produk itu.

Itu baru diberi satu dua contoh, banyak lagi 'so-called' produk kecantikan dan kesihatan yang hanya menekankan sisi cerah tetapi 'menghijabkan' sisi gelap produk mereka.

Pendek kata, baca dan kaji dahulu 'ingredient' sebelum mengambil sesuatu produk supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.

Senyum..=)


faizalMS,
Dietitian
Hospital USM.


Disclaimer: gambar sekadar hiasan.

Monday, December 19, 2016

Nak Jaga Makan, Tak Boleh Hadiri Majlis Keraian Ke?!


"Pokcik bukei toksey kawal pemakanei, awe weh..tapi gak, time male tu masalahnya.. sokmo ore panggil ngatik, smaye hajat..pah lepah tu pehe-pehe lar..ado jamu makei..tokkei kito toksey gi pulok dei ore ajok.. "

Luahan seorang jiran yang menghidapi penyakit 'tiga serangkai' di majlis tahlil tempoh hari. Luahan seperti ini juga turut dikongsi sama dengan sebilangan pesakit yang terlantar di dalam wad dan yang datang ke klinik sebagai pesakit luar akibat komplikasi penyakit yang tidak terkawal.


Sebenarnya, tiada masalah pun untuk kita hadir majlis tahlih, solat hajat, 'Maulud Nabi' dan yang seangkatan dengannya kerana ia adalah tuntutan sosial dan agama. Akan tetapi, adalah garis panmduan yang boleh diambil untuk mengawal pemakanan ketika berada di majlis seperti ini.



Pertama, jadikan jamuan kecil selepas majlis keraian tersebut sebagai makan malam. Maksudnya di sini, tidak dibenarkan untuk 'makan berat' sebelum atau selepas majlis tersebut. Jikalau tidak tahan juga, bolehlah diambil 2-3 keping biskut atau 1-2 keping roti sebagai alas perut.


Kedua, jaga porsi atau kuantiti makanan yang diambil. Untuk porsi karbohidrat, ambil nasi, kuay teaw, bihun, spagheti atau laksa tidak melebihi 3 senduk/sudip rata atau 1 1/2 cawan, tanpa menambah.


Untuk pilihan lauk, cuba pilih lauk yang berkuah seperti sup, singgang, gulai, dalca, masak pedas (jika ada) tetapi ambil hanya isi sahaja dengan saiz paling banyak sebesar tapak tangan. Jika mahu diambil juga kuah lauk tersebut, hadkan hanya 1-2 sudu besar sahaja.


Maksimumkan pengambilan sayur (acar, ulaman, sayur campur dsb) yang ada, paling kurang 1/2 cawan. Untuk air, sebolehnya pilihlah air kosong. Jika mahu mengambil air manis, hadkan pengambilan hanya 1 gelas sahaja.


Ketiga, jangan tidur terus seusai balik dari majlis. Cuba lengahkan waktu tidur dengan membaca al-Quran atau lain-lain bahan bacaan, meluang masa bersama keluarga berbual, menonton TV, melakukan senaman ringkas (workout). Cukup sekurang-kurangnya 3 jam selepas makan, barulah dibenarkan untuk tidur.


Itu sahaja tips yang mungkin boleh diamalkan. Mungkin pada permulaan, kita akan berasa kekok untuk mengamalkannya, tapi lama-kelamaan insya-Allah kita akan terbiasa dengannya.


Semoga kita mencapai tahap musleh, bukan sekadar soleh spiritual mahupun soleh soleh sosial.




faizalMS,
Dietitian,
Hospital USM.

Wednesday, December 14, 2016

Public Shaming..Bagus Ke?



Dua-tiga hari ni, macam ada satu trend pelik, di mana, orang gunakan gambar wajah orang yang sedikit ganjil, kemudian tulis 'Tolong Tag Ain, Pakwe Dia Panggil Ni'. Baik yang berbahasa Melayu, baik yang berbahasa Inggeris.

Benda ni kalau tengok sepintas lalu, memang kelakar. Iyalah, seronok tengok kawan kita dipanggil insan yang berwajah tidak cantik dan menggelarkan dia sebagai pakwe.

Benda ni bukan terjadi dalam Facebook sahaja, malah ia terjadi di dunia luar. Lihat saja perempuan gempal, "Haaa. Tu mak kau." Lihat saja lelaki berkulit hitam, "Pakwe kau la tu." Lihat perempuan gigi rongak, "Hahahaha tu makwe engkau. Tu makwe engkau."

Apabila kita amati balik perbuatan ni, benda ni tak kelakar pun. Yang gelaknya engkau dan kawan yang kau tag. Sebenarnya, jikalau kita amati dan fikir, benda ni bukan saja tak kelakar. Malah ia memalukan 'watak' di dalam gambar tersebut.

Adat ak kita terfikir , gambar yang kita post itu adalah manusia yang betul? Ada tak terfikir orang hodoh yang kita permainkan tu adalah orang yang wujud di dunia nyata? 

Sebagai contoh salah seorang mangsa yang gambarnya diambil untok tujuan trend bodoh ni: Lizzie Valasquez. Kebanyakan daripada kita  mesti tak kenal siapa wanita  ini bukan? 'Intuisiku' cadangkan  cuba Google Images dia ni, dan kemudian segera sambung balik baca tulisan  ni.
Ok.
Dah tengok?

Kalau dah tengok,  'Intuisiku' percaya yang semua akan terkejut tengok wajah dia. Untok pengetahuan, wajah dia ni dijadikan bahan lawak di seluruh dunia. Bahkan pada hari ini, bertalu-talu gambar dia dijadikan bahan jenaka 'tagging friends' yang bodoh ni.

Valasquez merupakan seorang pesakit Sindrom Marfan dan penghidap satu penyakit yang amat ganjil, yang membuatkan dia tidak mampu menambahkan lemak di dalam badan dia. Sebab itulah tubuh dia amat cengkung. Ini terjadi secara semula jadi. 

Poin 'Intuisiku' sekarang adalah, manusia yang kau permainkan itu wujud di dunia ini. Dan kecacatan yang kita gelakkan dan gelarkan ia sebagai wajah hodoh itu adalah kecacatan yang perlu kita kasihani, bukan untok dibuat main. Kalau bahasa Inggeris, orang panggil ia sebagai 'Public Shaming'.

Jadi, tidakkah kita rasa ke kita sedang menghina manusia yang kita tak kenal? Tak rasa ke yang kita sedang menghina kecacatan yang Tuhan turunkan?

Cuba  bayangkanlah, waktu kita tengah surfing internet, ada orang letak gambar mak kita yang berbadan besar tu, lepas tu letak caption 'Panggil Farid, awek dia tengah tunggu sambil tahan berak ni', kemudian beramai-ramai orang share sambil menggelak-gelakkan muka dan tubuh badan mak kita yang tak sesempurna orang lain.

Agak-agak kita suka tak orang hina mak kita?

Kalau tak suka, kita patut fikirkan perasaan suami Velasquez. Kita patut fikirkan perasaan mak bapak Velasquez. Apa agaknya perasan diorang, bukak internet, tengok-tengok satu dunia tengah menggelakkan orang yang dia sayang.

Sedih yang teramat.

Tapi sayangnya, kita mana nak faham perasaan orang. Kita  buat kat orang boleh. Orang buat kat kita, kita mengamuk. Hiduplah dengan perangai setan tu.

Ini baru Valasquez. Dia insan yang dikenali. Dia terkenal di serata dunia sebab dia ni selalu bagi talk motivasi.
Tapi bagaimana dengan insan lain? Yang gambarnya digunakan bagi tujuan hiburan celaka? Diorang ni takde maruah ke?

Kalau orang guna gambar kita buat bahan jenaka, malah buat bahan untok menghina, takkan kita rileks je? Maruah jatuh kot! Satu dunia gelakkan kita, even diorang tak kenal pun kita! Jiwa kita runtun. Estim kita rendah. Mental kita akan tertekan. Sehinggakan kita rasa nak bernafas pun dah tak guna.

Kita dahlah tak kenal orang yang kita bawak main tu. Lepas tu kita malukan dia.

Even kita tak malukan orang dalam gambar tu seperti mengatakan 'lelaki ni hodoh' atau 'buruk nak mampus dia ni', tetapi perbuatan kita guna gambar dia tu, satu, dah salah. Kedua, keadaan dan tulisan kita dengan meletakkan nama kawan untuk menganjing kawan kita tu pun dah dikira menghina pemilik muka dalam gambar tu.

Macam contoh point nombor 1 tadi tu lah. Nampak orang hodoh, kita menganjing kawan kita dengan mengatakan kawan kita tu ada hubungan dengan orang tu. Kita jadikan orang tersebut sebagai tempat untok kita ketawa. Tapi sikit pun kita tak fikir pasal maruah dia.

"Eleh, dia ni. Tak cool lah. Orang nak buat lawak je pun. Benda nak suka-suka. Bukannya nak hina ke apa. Tu pun nak gelabah tulis pepanjang macam isu besar sangat."

Aduh.

Kalau cakap 'Intuisiku' gelabah, maknanya kita ni jenis manusia yang langsung tak fikir maruah orang lain lah nampaknya.

Cuba  tanya diri sendiri, elok ke tidak orang macam kita ni? Kita gunakan kelemahan orang lain untok dibuat jenaka, kita gelak-gelakkan kecacatan orang lain. Kita rasa post gambar orang hodoh tu benda yang kelakar. Ini adalah adalah sifat pembuli. Benda yang kita sedang buat ini adalah perlakuan orang yang suka membuli.

Kalau  rasa isu ni tak payah diheboh sangat, maknanya kita ini kaki buli yang wajib dibanteras sebelum menular.

Walaupun isu ini nampak remeh, tapi ia sangat berat kerana perbuatan netizen ini akan beri kesan besar pada masa akan datang. Kita sedaplah rasa benda ni kelakar. Tapi orang dalam gambar tu, rasa benda ni kelakar ke? Agak-agak rasa adil ke, kelemahan yang diorang dapat secara tidak rela, tapi dibuat main oleh pembuli macam kita semua?

Tatkala benda jadi trend, tak ramai yang sedar benda ni perlu dihentikan. Orang di dalam gambar tu perlu ada sokongan. Dan sebagai orang yang faham kesan buruk dan ada kesedaran dalam isu public shaming ini, kita perlu menyebelahi mereka.

Oleh itu, 'Intuisiku' menyeru  pada siapa-siapa yang dah ter-publish atau share benda tag nama guna muka orang yang kita rasa hodoh tu, tolonglah padam semula.

Benda ni tak kelakar tau, malah ia memalukan individu. Rugi je share. Dah lah tak kelakar, dosa pun dapat.

Kalau kita malukan orang hari ini,
Esok akan ada suatu masa, kita pula dimalukan.

Wednesday, September 28, 2016

Supplement? Perlu ke?!


"Supplement apa yang bagus untuk saya?"

Soalan 'favourite' daripada netizen apabila bersua muka dengan Dietitian, Pegawai Dietetik, Perunding Pemakanan dan seangkatan dengannya.

Bagi yang sedang memasarkan produk, inilah masa yang sesuai untuk mempromosikan produk mereka. Sebaliknya bagi yang tidak berkepentingan, tiada jawapan terhadap soalan ini.

Sebenarnya, supplement tidak diperlukan bagi mereka yang sihat walafiat, melainkan sebilangan yang mengalimi keadaan di mana memerlukan zat tertentu lebih daripada biasa.

Sebagi contoh, mereka yang mengalami luka atau melecur, adalah digalakkan bagi mengambil supplement yang mengandungi tinggi protein dan vitamin C.

Bagi yang sering angin badan pula, adalah digalakkan untuk mengambil supplement yang berasaskan halia atau 'habbatus sauda'.

Sementara untuk yang mengalami masalah sembelit yang teruk pula disarankan unuk mengambil supplement yang mengandungi tinggi 'probiotic', 'prebiotic' dan serat seperti yogurt, 'psysillium husk', 'chia seed' dan 'wheat grass'.

Akan tetapi, harus diingat.. zat yang ada dalam bentuk asal (dalam makanan) adalah lebih cepat dan 'efficient' dalam penyerapannya berbanding dengan zat yang telah diproses (dalam tablet/kapsul).

Senyum..=)=)



p/s: berpakaian kemas, selalu senyum, ramah dan lembut dalam bertutur bukan bererti kami tidak punyai masalah atau stress..cumanya sudah terbiasa dilatih dari segi psikologi untuk tidak mengekspressikannya dalam urusan kerja sehari-hari..~

Tuesday, August 16, 2016

Kurus, Protein dan Kalori


"Saya nak kurus, protein apa yang patut saya makan?"

Acap kali juga pertanyaan ini diajukan orang awam kepada yang bergelar dietitian atau perunding pemakanan/kesihatan. Mungkin disebabkan kita sering 'diasuh'' dengan ideologi kurus dan pengambilan sumber protein yang tinggi.

Sebenarnya, protein bukanlah prioriti untuk kita mencapai berat badan ideal.

Apa yang perlu ditekankan adalah KALORI. Kerana kalorilah yang menyebabkan penyimpanan lemak secara berlebihan dalam badan jikalau tidak digunakan.

Dan makan yang tinggi kalori selalunya datang daripada makanan yang tinggi gula (contoh: aiskrim, kuih/air manis, dessert, coklat dan sebagainya) serta lemak (contoh: kari, gulai, roti canai, 'junkfood/fastfood, susu pekat manis, 'cheese' dan sebagainya).

Manakala sumber protein (contoh: ikan, ayam, daging, telur, susu dan kekacang) hendaklah dimakan sekadarnya, iaitu 2-3 sajian sehari (rujuk Piramid Makanan) untuk mengelakkan komplikasi lain yang tidak diingini.

Tidak diupa juga, aktiviti fizikal perlu dipertingkatkan (>45 minit per sesi, 2-5 kali seminggu) bagi membakar lemak yang sedia ada dan kalori yang kita ambil setiap hari.

Capailah berat badan unggul (BMI: 19.5 - 24.9), insya-Allah kita akan automatik menjadi kurus.

Senyum..

Sunday, July 31, 2016

Kenapa Ketum, Bukannya Poppy?




Tersembur air kopi semasa minum pagi tadi, pabila terbaca headline kebanyakan berita akbar bahawa Risda akan tanam ketum untuk eksport. Kononnya alasan bahawa daun ketum amat berguna dalam industri perubatan di Barat. Mungkin diluar pengetahuan saya terdapat bukti terbaharu bahawa ketum ini mempunyai khasiat kesihatan yang mendesak sehinggakan agensi rasmi kerajaan ingin mengusulkan kelulusan penanaman ketum di negara kita? Atau keadaan terdesak dengan harga getah yang semakin hari mengcengkam para pekebun getah, lalu diusul tanaman gantian baru- ketum? Saya tidak pasti!

Terfikir dalam minda nakal saya, kenapa nak komersialkan ketum? Tidak Opium Poppy. Poppy adalah tanaman asas kepada morfin yang digunakan secara luas dalam bidang perubatan. Pesakit serangan jantung, guna sebagai ubat bius, ubat tahan kesakitan sewaktu nak bersalin dan banyak lagi manfaat lain. Sudah banyak kajian yang mengkaji keberkesanan morfin ini. Ia sejenis dadah terkawal yang juga termaktub dalam undang² negara. Dibawah akta racun Negara 1952. Sama juga dengan ketum.

Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam 'Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952'. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003. Cuma ketum ini tidak ada lagi bukti perubatan, boleh berubat dalam penyelamatan nyawa manusia. Kecuali ia digunakan secara tradisi bagi menghilangkan sakit urat, penambah tenaga seks dan beberapa petua tempatan. Petua tersebut terbukti secara amalan ramai, tetapi tidak mengikut dos standard yang tertentu. Itu sahaja, tidak lebih dari itu berbanding dengan keberkesanan morfin.

Ironinya, ketum telah disalah guna bagi kepentingan nafsu golongan muda dengan dicampur bersama bahan yang tidak masuk dek akal seperti ubat nyamuk, tahi lembu dan macam² lagi. Lagi sedih, jika anda berada di sof hadapan perubatan, anda akan melihat para pemabuk ketum ini bermasalah besar dari sudut fizikal, mental dan sosial.

Sekian

Dr Suhazeli Abdullah 
_Insan Faqir_


28.7.2016.

P/s: posting ini bukan bermakna saya menyuruh atau bersetuju utk tanam opium poppy dalam negara. Saya hanya membawa perbandingan antara kedua tumbuhan tersebut.

Rujukan 
[1] Ketum. http://onlinelibrary.wiley.com/d…/10.1111/adb.12185/abstract
[3] Mitragynine In Thailand.http://www.tandfonline.com/d…/abs/10.1080/10826080701205869…
[4] Khratom in Medical Use.http://www.emcdda.europa.eu/publicatio…/drug-profiles/kratom