Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati
Allah
Firman Allah
s.w.t. :
"Tahukah kamu
(orang) yang mendustakan agama? (1) Itulah orang yang mengherdik anak yatim, (2) dan tidak menganjurkan memberi
makan orang miskin.(3) Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (4) (iaitu) orang-orang
yang lalai dari solatnya, (5) orang-orang yang berbuat riak,(6) dan enggan (menolong dengan) barang
berguna (7)"
Surah
al-maa’un yang saya bacakan tadi adalah satu surah yang diturunkan oleh Allah
s.w.t. lebih kurang 1400 tahun yang lalu, antara lain bertujuan untuk
membetulkan pemikiran nasionalis arab makkah dari kalangan pembesar quraish
dalam menanggapi makna beragama. Dan
ayat ini dahulu, kini dan selama-lamanya sangat menarik untuk dirujuk dan
dijadikan panduan dalam memahami hakikat makna beragama dan siapakah mereka yang sebenar-benarnya
bergelar pendusta agama .
Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati
Allah
Kaum
musyrikin makkah sebelum dan semasa Nabi diutus sebagai Rasul bukanlah
masyarakat yang kosong dari agama dan kepercayaan kepada tuhan. Walaupun mereka
disebut sebagai musyrikin, bukan bermakna mereka tidak percaya kepada tuhan.
Musyrik kerana mereka menjadikan adanya sembahan atau rakan kongsi yakni sekutu
selain dari Allah s.w.t. : Firman Allah s.w.t. :
"Dan
sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik)
itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan
menjawab: " Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad):
"Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang
demikian tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui
(hakikat tauhid dan pengertian syirik)." [Surah Luqman. Ayat 25] Mereka tahu
Allah cuma mereka jahil tentang hakikat Allah.
"Dan sesungguhnya
jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:
Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya
tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab:
Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah, bahkan kebanyakan mereka
tidak memahami" [Surah Al'Ankabut. Ayat 063]
Ayat-ayat ini
membuktikan bahawa musyrikin Makkah itu mempercayai adanya Allah dan mengakui
bahawa Allah adalah pencipta langit dan bumi, menurunkan hujan serta menghidupkan
tumbuh-tumbuhan. Musyrikin Makkah mempercayai adanya makhluk ghaib seperti
malaikat dan jin yang didakwa berada di dalam tubuh patung berhala yang mereka
sembah sebagai penyampai hasrat dan permintaan mrk kpd Allah.
Ada di
antara mereka yang digelar golongan ahnaf yang telah melakukan ibadat solat di
pagi dan petang. Mereka juga bersungguh
memelihara kaabah dan berkhidmat kepada para tetamu luar yang datang melakukan
upacara haji yang diwarisi dari Nabi Ibrahim dan Ismail yang telah mereka ubahsuai
bercampur aduk antara baik dan buruk. Antara upacara ibadat dan maksiat.
Akan tetapi,
itulah sahaja yang mereka faham tentang makna beragama. Beragama di sisi mereka
semata-mata mewarisi kepercayaan kepada Allah dan perkara-perkara ghaib walau telah
bercampur aduk dengan khurafat dan syirik. Di samping kepercayaan warisan
tersebut, beragama di sisi mereka berlegar sekitar solat, masjid, kaabah dan
musim haji. Tidak lebih dari itu. Sedang dalam masa yang sama mereka menganiaya
anak yatim, makan harta anak yatim atau orang lain secara batil.
Mereka
menipu dan memperhamba orang miskin serta menghalang dan memusuhi mereka yang
menolong dan membela orang-orang miskin. Mereka mahu mengekalkan status quo
yang ada. Biar golongan miskin terus miskin, anak yatim terus dianiaya, agar
mereka boleh bermaharajalela mengekalkan penguasaan dalam politik dan monopoli
ekonomi di Makkah pada ketika itu.
Apabila Nabi
s.a.w. datang membawa wahyu dan mengaku sebagai utusan Allah, lantas Nabi
s.a.w. membaca ayat-ayat seperti ayat dari surah Al-Maa’un yang terang-terang
membela orang miskin dan anak yatim yang tertindas serta pemulihan
sosio-ekonomi masyarakat, mereka para pembesar musyrikin quraisy merasa pelik
dan tertekan. Pelik kerana mereka tidak memahami makna agama diluar konteks
kepercayaan dan ritual semata2 seperti yang mrk warisi sebelum ini. Dan
tertekan kerana ayat-ayat ini membongkar pengkhianatan dan kebobrokan mereka
kepada golongan marhaen atau mustadhafin di Makkah pada zaman itu di samping
suburnya perdagangan manusia dalam bentuk perhambaan, berleluasanya hiburan
melampau, persundalan dan arak.
Maha
Bijaksananya Allah yang telah mencengangkan mereka dengan pendidikan kefahaman
beragama yang sebenar dan sempurna. Inilah bashirah – hujjah dan bukti –
pedoman
langit yang amat menakjubkan, merentasi zaman dalam membongkar watak manusia.
Manusia adalah pengulangan watak-watak yang sama dalam merentasi perjalanan
zaman, hanya pelakonnya sahaja yang berbeza.
Ayat-ayat
dari surah Al-Maaun ini masih sangat releven dan sentiasa segar utk diambil
faedah hingga ke hari ini. Surah ini tidak hanya ditujukan kepada musyrikin
Quraiy tetapi juga kepada umat islam yang berpura-pura. Sebab itulah diancam
dengan neraka Wail atau kecelakaan kepada orang yang solat. Betapa ramai hari
ini umat Islam yang solat tetapi lalai dari mengingati Allah dalam mengisi
kehidupannya. Membangunkan binaan masjid yang indah sebagai tempat solat dalam
masa yang sama suburnya tempat-tempat judi, pusat-pusat hiburan dan program2
hiburan yang melampaui batas.
Berbangga
dengan program dan majlis memperdengar serta melagukan bacaan Al-Quran tetapi
Al-Quran diletak ke tepi dalam urusniaga dan aktiviti kehidupan. Di mana
letaknya Al-Quran ketika urusniaga bergelumang dengan riba dan penipuan? Di
mana Al-Quran ketika rancangan joget dan tari menari bercampur baur bebas
lelaki perempuan? Di mana Al-Quran ketika berekreasi atau sukaneka tanpa peduli
aurat dan bersentuhan lelaki perempuan.
Di mana
letaknya Al-Quran dalam menunaikan amanah sebagai penjawat awam tatkala
bercampur penyelewengan, ketirisan dan rasuah? Dek kerana rasuah, nyawa
terkorban di jalanraya, kerana rasuah, vcd lucah terjual berleluasa, disebabkan
rasuah, pendatang tanpa izin masuk bermaharajalela, oleh kerna rasuah, akhirnya
ancaman keselamatan dan sempadan Negara jadi huru-hara.
Apa gunanya
meyambut upacara hari-hari kebesaran Islam, jika dalam masa yang sama berlakunya
ketirisan dalam amanah mengurus dana awam? Pemimpin dan pemerintah dalam
sesebuah negeri dan Negara adalah sama seperti pengurus harta anak yatim di
dalam surah Al-Maaun. Mereka bukan pemilik harta tersebut. Harta Negara adalah
harta awam yang diamanahkan kepada para pemimpin untuk diuruskan dengan dibayar
elaun dan gaji yang tidak sedikit sesuai dengan beban amanah berat yang mereka
pikul.
Harta negara
itu semestinya diurus, diagih dan diperturunkan sebaik dan seadilnya untuk
dinikmati oleh seluruh warga rakyat dalam sesebuah Negara. Itu adalah hak
mereka yang selayaknya untuk dinikmati bukan pemberian simpati atau bantuan
ihsan. Larangan agar harta itu tidak hanya berlegar dalam kalangan orang-orang
kaya sahaja. Firman Allah s.w.t. :
“Apa saja
harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda)
yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum
kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam
perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di
antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang
dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya,” (al-Hasyr, 59: 7)
Adalah sumbang
sekiranya harta anak yatim itu dinikmati sewenang-wenangnya oleh pengurus harta
secara bermewah-mewah sedangkan anak yatim sebagai pemilik sebenar menderita
kemiskinan dan apabila mereka menyuarakan hak mereka, lalu pengurus tersebut
mengherdiknya seperti peminta sedekah. Inilah yang berlaku dalam reality
masyarakat musyrikin quraisy dahulunya sehingga Allah menegur mereka dalam
surah Al-Maaun ini.
Usah biarkan
kemungkaran ini berulang. Jangan biarkan pengurus harta awam yang dibayar upah
oleh rakyat dibiarkan berwenang-wenang dan bersenang-lenang dengan harta awam tersebut
untuk mengkayakan diri, anak beranak, kaum kerabat dan rakan terdekat sahaja.
Apabila rakyat sebagai pemilik sebenar bersuara, maka dilayan sebagai peminta
sedekah, dihulur sedikit wang kemudian diulang-ulang agar tahu berterima kasih
dan jangan lupa mengenang budi.
Demikianlah
Maha Bijaksananya Allah dalam membetulkan makna beragama dalam kehidupan
manusia. Lihatlah masyarakat kita dan bertanya secara ikhlas. Apa pendapat
mereka sekiranya ada orang yang menipu dalam ibadat. Katakanlah menipu dalam
solat. Menjadi imam tetapi tidak berwudhuk selama seminggu, jika diketahui
pasti akan menjadi isu gempar dan huru-hara. Andaikan ada orang yang
menceritakan si polan dan si polan sebenarnya menipu ketika haji. Mereka
sebenarnya tawaf hanya sebanyak 3 pusingan sahaja. Kalau pembohongan ini
terbongkar, pasti akan menjadi tajuk berita utama. Bayangkan jika ada pegawai
tertentu menyeleweng wang kutipan zakat, pasti keluar muka depan semua akhbar
harian. Mereka sangat marah jika penganut agama lain ingin memakai nama Allah
walaupun para ulamak sendiri berbeza pendapat tentangnya.
Masyarakat
kita sangat sensitif jika berlakunya penipuan dalam penyelewengan dalam ibadat
tertentu seperti itu dan mereka beranggapan penipu dan penyeleweng dalam
urusan2 tersebut sebagai pendusta agama.
Mereka marah
kalau menipu dalam solat, puasa, zakat dan haji tetapi sebahagian mereka
berdiam jika berlaku penipuan dan penyelewengan dalam urusan yang lain seperti
pilihanraya sebagai contoh. Seolah-olah menipu dalam tawaf haji dan menipu
dalam pilihanraya itu dua jenis penipuan yang berbeza. Satunya dicatit malaikat
satu lagi diabaikan oleh para malaikat. Sedangkan menipu ketika haji hanya
melibatkan seorang individu, sementara menipu dalam pilihanraya melibatkan
ramai manusia dan kerosakan berpanjangan.
Ada yang
marah dan mengamuk kerana penganut agama lain ingin menggunakan nama Allah,
tetapi mereka berdiam tatkala ramai umat islam sendiri mengamalkan cara hidup bebas sama seperti
penganut agama lain dalam seluruh aktiviti kehidupan hampir tiada beza halal
dan haram, dari segi pemakaian, pergaulan, dan
membelakangkan hukum hakam Allah dalam kehidupan. Jika dimuhasabahkan
dengan sesungguhnya surah Al-Maaun itu, jelaslah siapakah sebenarnya PENDUSTA
AGAMA!
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan". Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (Al-Baqarah 2:11-12)
p/s: Intuisiku pelik bagaimana khutbah yang begitu berkualiti ini boleh disalah erti sebagai manifestasi politik kotor dan berunsur hasutan sehingga membawa kepada penggantungan khatib yang membacanya daripada memberi khutbah..hmmmm...~
No comments:
Post a Comment