Biodata YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.
Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga
yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka,
Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat
bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan
Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat
Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di
Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai
Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal
bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara.
Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang
muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya
Hajah Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz
dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah
Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ
selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian
dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru
berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar
dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan
Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran
Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran
secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih
muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang
agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.
Pada
tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota
Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum
di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an,
Hadis dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga telah berguru
dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu
Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad
seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara
semasa penjajahan Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung
pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung
pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah
sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung
pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman
dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma
pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.
Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang
diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul
Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat
di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada
sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2
tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau
menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir
(sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk
bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.
Pada 1971 beliau
dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian
dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh
Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai
Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober
1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan
serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.
Beliau
telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk
Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri
kuliah dan ceramah.
Pendakwah :
Dengan pengalaman
yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan
menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang
sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di
Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu
dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau
telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu
lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang
jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau
mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan
khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan
Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi
bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.
Keistimewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok
bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar
rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang
kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang
pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis
beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi
beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan
pekerjaan para Anbia’.
Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia
peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30
Mac 1995.
Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau
mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin
Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962.
Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima
perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar,
Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik
Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau
sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya
tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah
pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab
agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang
perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan
ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk
belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi
beliau.
Ahli Parlimen Yang Komited :
Sebelum terpilih
menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya
terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan,
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS
bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea,
saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan
Rakyat.
Kerajaan Contoh :
Selaku Menteri Besar negeri
Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah
itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk
menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan
kepada negeri Kelantan itu.
Satu hal yang menarik ialah di
samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan
negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan
luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah
mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad
Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu
negeri Serambi Mekah itu.
Di sinilah di Dewan Zulkifli
Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada
setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji
Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan
dihormati itu.
No comments:
Post a Comment