PAS menang
di Kelantan adalah sebagaimana jangkaan awal. Kekalahan dengan tambahan kerusi
kepada BN juga sudah dijangka. Tetapi PAS gagal dalam usaha mengurangkan jumlah
kerusi dimenangi BN kurang daripada 10 kerusi.
PAS
memenangi kerusi bandar, kerusi maju ilmu (kecuali Kok Lanas yang memiliki undi
pos tentera yang besar di Kelantan), undi Cina dan yang paling ketara, undi
anak muda dan perantauan. PAS memperolehi majoriti besar yang ketara di
Parlimen Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa, 3 kawasan yang padat,
maju dan berpelajaran.
Aura TGNA
adalah antara faktor utama yang boleh difahami dengan mudah. Faktor penindasan
oleh Putrajaya terhadap Kelantan juga menjadi antara faktor utama selain
persembahan pentadbiran kerajaan negeri yang berjaya mengurangkan kesilapan dan
kesalahan walaupun berhadapan beberapa cabaran yang agak rumit.
Kekalahan
dengan tambahan beberapa kerusi kepada BN adalah faktor bersifat tempatan. Di
daerah selatan dan hulu seperti Gua Musang dan Jeli, PAS masih gagal memecah kebuntuan
dengan kalah di semua kerusi DUN dan parlimen. Masyarakat di sana masih kurang
pendedahan media baru yang menjadi senjata utama PAS memasuki setiap rumah. BN
terus berjaya memerap pemikiran rakyat untuk kekal menyokong mereka.
Persembahan
calon atau wakil rakyat terdahulu adalah juga menjadi faktor utama. Rakyat
menunjukkan protes mudah dengan tidak mengundi calon tersebut atau parti
sendiri. Ia tindak balas yang menjadi budaya politik rakyat Kelantan. Yang
mengurangkan keketaraannya adalah kefahaman umat Islam Kelantan yang jelas dan
sebati bahawa parti Islam perlu dijunjung dan parti sekular mesti ditolak.
PKR kurang
menyengat di Kelantan. Rakyat Kelantan hanya mengenal PAS dan BN. Kefahaman
lama dan selesa ini gagal diubah walaupun rakyat Kelantan menerima kehadiran
PKR dan DSAI dalam politik tanah air. Kelantan adalah cerita Islam lawan
sekularisme. Hijau atau biru tua. PKR kalah di semua 3 kerusi parlimen dan
hanya menang di 1 kerusi DUN.
Faktor
yang kekal adalah penipuan dan manipulasi undi oleh BN. Undi pos, politik wang,
ugut dan kelemahan SPR terus menjadi senjata BN memenangi undi secara khianat.
PAS
Kelantan perlu kekal membangun bersama Islam dalam memajukan negeri Kelantan.
Ketelusan perlu ditambah baik. Ada beberapa aspek pentadbiran dan pengurusan
yang lebih baik di negeri Selangor dan Pulau Pinang yang perlu ditiru dan
dipelajari. Kejayaan memenangi PRU selama 6 penggal berturut-turut (double
hatrict) mungkin boleh melemahkan, jika tiada islah yang ketara.
Dengan
kepimpinan baru menggantikan TGNA, pembaharuan mesti dilakukan dalam beberapa
aspek yang acap ditegur dan dikritik agar parti tidak lagi terlalu bergantung
kepada aura tuan guru untuk kekal diterima rakyat Kelantan yang berani dan
dinamik.
Wakil-wakil
rakyat (saya juga) perlu kerap diberi peringatan dan teguran di dalam
menunaikan kerja dan amanah parti dan rakyat. Pemilihan calon PRU perlu
diteliti dan ditimbang sebaiknya demi mengurangkan kesilapan.
Adalah
baik jika PAS bertanding di semua kerusi parlimen di Kelantan demi menjamin
pertambahan kerusi PAS dan PR dalam PRU akan datang. Baik juga untuk peringkat
DUN walaupun keperluannya tidak begitu meruncing. PKR masih boleh berperanan di
dalam pentadbiran negeri Kelantan.
Masyarakat
perlu didekati dengan ilmu, kemudian khidmat dan kemudiannya adalah bantuan
kewangan. Ia kaedah mengekalkan sokongan yang padu dan kekal, bukan longgar dan
sementara sifatnya.
Semoga PAS
Kelantan kekal menerajui perubahan dan kemaraan rakyat ke Putrajaya demi
Malaysia baru yang lebih bebas dan adil.
Ini adalah
pandangan awal saya. Semoga bermanfaat.
Sumber;
Ustaz Nik
Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz,
Ahli
Parimen Pasir Mas.
No comments:
Post a Comment